https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kami Telah Bersuara - Agus Yusoff

Oleh Mohammad Agus Yusoff

Berucap semasa memberi syarahan Za’ba 2018 di Universiti Malaya, DSAI, Presiden PKR melahirkan rasa kecewanya dengan sikap pensyarah yang sebelum ini membisu berhubung isu yang melanda negara.

Saya ingin katakan tidak semua pensyarah begitu. Ramai dalam kalangan kami bersuara dan tegur salah laku kerajaan, namun suara kami tidak diendahkan. Ini kerana pemimpin menganggap suara kami tidak penting.

Tidak mengapalah. Sekarang kerajaan telah bertukar. Ayuh, kita tengok ke depan. Kita tengok adakah kerajaan PH ini dengar suara dan teguran kami.

Kami bertanya: Mana janji pilihan raya? Kenapa mahasiswa yang gaji pun RM1000 sudah perlu bayar PTPTN? Mana peluang pekerjaan untuk anak muda? Kenapa harga barang belum turun?

Bila hendak bantu petani yang tersepit dengan harga kelapa sawit dan getah yang jatuh? Bila hendak luluskan permohonan guru yang mohon bertukar untuk berdekatan dengan pasangan masing-masing?

Pekerja kontrak bila hendak diserapkan ke jawatan tetap? AUKU bila hendak dipinda atau dimansuhkan? Akta-akta lain yang dijanji hendak dipinda atau dimansuhkan, bila hendak dilaksanakan?

Pensyarah telah bersuara hal ini. Kami bersuara kerana kami juga ada hati nurani untuk membantu rakyat. Namun, apa tindakan kerajaan PH sekarang?

Jawapan yang kami terima klise sahaja. Beri peluang. Kerajaan PH baru enam bulan berkuasa.
Tiada jauh bezanya dengan kerajaan dahulu? Jika ada pun beza, pemimpin sekarang belum terlibat dalam salah laku rasuah, pemerintahan masih telus, dan rakyat boleh menikmati kebebasan media.

Selain itu, banyak yang lebih kurang sama sahaja. Perangai menteri, ramai dalam kalangan mereka setelah menjadi menteri sudah lupa daratan.

Mereka sukar mendengar pandangan rakyat, pegawai mereka pula sombong dan tidak cekap. WhatsApp atau panggilan telefon belum tentu berjawab. Ditegur tentang kesilapan, kami akan dipinggirkan.
Ini kerana menteri dan ahli politik hanya suka dipuji.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.