Tetapi dalam politik segalanya berkemungkinan. Yang ada kuasa boleh melakukan apa sahaja bagi mempertahankan kekuasaan di samping ‘menghalalkan’ sebarang tindakan atas nama rakyat dan negara manakala yang tiada kuasa cuba bertahan sedaya untuk melawan mereka yang berkuasa. Namun begitu berdasarkan maklumat, berlakunya kejutan politik akhir tahun ini tidak boleh dipinggirkan. Tiada siapapun boleh menjamin ia tidak akan berlaku.

Biarpun kelompok yang dirisik sudah diberi peringatan mereka perlu melutut jika mahu diterima menyertai kelompok yang merisik. Apatah lagi, khabarnya, tekanan demi tekanan terus diberikan.

Ada yang sudah dikunjungi oleh pihak tertentu dan diberi kata dua, apa kata dua tersebut, biarlah penulis rahsiakan dulu sebab banyak lagi episod kejutan politik akhir tahun akan berlaku termasuklah episod tahan menahan, dakwa mendakwa.

Khabarnya pada bulan ini, adegan politik lebih mengasyikkan bakal dihidangkan oleh ahli politik yang masih ‘gila berpolitik’ biarpun pilihan raya umum sudah berlaku. Tindakan haram, mengharamkan sudah sedia untuk dilaksanakan. Kata orang suratpun sudah siap.

Cerita orang, itu sahaja caranya bagi memastikan impian untuk mengukuhkan kedudukan satu kelompok dalam kerajaan di Dewan Rakyat menjadi realiti. ‘Taiko’ kelompok itu terpaksa bersandiwara dengan mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah menampakkan (kononnya) kelompoknya tidak bersedia menyembah kumpulan yang dirisik.

Sementara itu, kelompok yang dirisik dan berada kedudukan bersedia beralih angin kini agak resah kerana banyak maklumat berhubung perancangan mereka sudah terdedah. Dalam satu pertemuan, salah seorang yang tidak dirisik memberi amaran kelompok yang dirisik jangan mengkhianati perjuangan serta amanah rakyat.

Berikutan itu ramai dalam kumpulan dirisik tidak senang duduk bimbang ‘pelamin angan-anganku musnah’. Mereka kini mencari jalan bagaimana mahu merealisasikan hasrat menyertai kelompok merisik sehingga terpacul cadangan haramkan sahaja organisasi kelompok dirisik supaya mudah ‘lompatan beruk’ (meminjamkan kata Datuk Ibrahim Ali) dilakukan.

‘Ops risik merisik’ itu juga dikatakan ada kaitan dengan satu lagi kelompok dalam kerajaan yang kini rancak mengadakan pemilihan parti. Ketua kelompok merisik mahu individu pilihannya menang dalam pemilihan tersebut bagi memudahkan ‘kejutan politik akhir tahun’ berlaku.

Malah khabarnya, kalau ikut kepada perancangan, individu tersebut menjadi pilihan untuk menduduki salah satu jawatan tertinggi dalam kerajaan. Maneuver ini dikatakan sudah diketuai oleh kepemimpinan parti terlibat yang semakin resah kerana calon pilihan mereka kini berada di ambang kekalahan.

Justeru secara tiba-tiba kita melihat ada pemimpin melawat kawasan di sebuah negeri atas alasan ‘menunjukkan keprihatinan kerajaan pusat’, biarpun ada negeri lebih sesuai dilawati menjelang musim tengkujuh ini.

Hakikatnya, semua adegan ini berangkai dan mempunyai kaitan antara satu sama lain dalam memastikan ‘kejutan politik akhir tahun’ tercetus. Masa sudah tidak ada kata mereka, semuanya harus dipastikan berlaku pada tahun ini juga.

Tambahan pula khabarnya semua maneuver ini ada kaitan dengan pemimpin-pemimpin tertentu dalam kerajaan yang sudah tidak tahan lagi dengan sikap ‘naik tocang’ rakan-rakan sepakatan mereka. Sebab itulah ‘Ops risik merisik’ itu terpaksa dilaksanakan dengan misi ‘baling satu batu, bunuh dua ekor burung’.

Sebenarnya, banyak lagi adegan politik yang sedang berlaku melibatkan kelompok dalam kerajaan mahupun pembangkang. Kononnya senyap tetapi satu dunia sudah tahu. Tetapi paling seronok untuk dilihat ialah apakah kesudahannya?

Inilah bahananya apabila kerjasama atau pakatan politik hanya berlandaskan mahu merebut kuasa sahaja. Lanjutan itu apa sahaja akan dilakukan bagi memperkukuhkan kedudukan waima terpaksa ‘melutut’ kepada musuh ketat sekalipun.

Yang akan menjadi mangsa politikus ialah rakyat. Mereka setakat ini tidak mendapat apa-apa. Kalau ada orang mengetengahkan isu kesengsaraan rakyat maka muncullah individu angkuh yang menganggap ia isu basi. Maklumlah orang sudah ada kuasa maka mereka merasakan boleh berkata dan melakukan apa sahaja. Lagipun rakyat yang diperdaya tidak boleh buat apa-apa mereka harus menunggu lima tahun lagi untuk menentukan kerajaan.

Demikianlah ‘kejam dan tidak bermoralnya’ dunia politik. Sebenarnya politik itu tidak kejam, politik itu tidak kotor, tetapi yang menyebabkan ia menjadi kejam dan kotor ialah politikus-politikus munafik dan oportunis.

Kelompok ini ada dalam kerajaan mahupun pembangkang. Kalau tidak, mana mungkin wujudnya risik merisik dan kita di ambang ‘kejutan politik akhir tahun’. Siapa individu dan kelompok tersebut, kita boleh menilainya.

Penulis percaya menjelang 31 Disember yang akan menutup tirai 2018, banyak kejutan politik akan berlaku kecualilah politikus-politikus terbabit insaf bahawa mereka sepatutnya lebih bermoral dalam pertarungan melibatkan kekuasaan. Tidak kira sama ada mahu mengukuhkan kuasa, menumpang untuk berkuasa atau menghalang seseorang daripada berkuasa.