Kenapa Malaysia jadi begini?
Oleh
Malaysia dalam sejarahnya telah
mengalami pahit maung zaman penjajahan, zaman darurat, gerakan pengganas
komunis dengan matlamat menubuhkan Republik Komunis Rakyat Malaya,
peristiwa hartal di Pulau Pinang, siri-siri demonstrasi dan yang cukup
dahsyat meletusnya ‘peristiwa berdarah’ 13 Mei 1969. Semuanya masih
dalam ingatan kita dan ramai pemimpin politik masa itu yang masih hidup.
Ada antara mereka menyalakan api perkauman dan kebencian kepada tuan
asal Tanah Melayu ini.
Kini, selepas sahaja Pilihan Raya Umum Ke-14
(PRU-14), Mei lalu, belum pun sampai setahun bermacam perkara mulai
timbul. Cubalah anda lihat sebuah negara lain dan bandingkan dengan
Malaysia. Di sinilah segala kesenangan diperoleh. Negara lain tidak
terlawan dengan tanah air ini dari segi kemurahan rezeki dan
keharmonian, keselamatan dan kedamaian.
Di
sinilah semua rakyat mendapat faedah ekonomi, kesejahteraan sosial,
kehidupan budaya dan bebas mengambil bahagian dalam politik dan merebut
kuasa. Rupa-rupanya kerana jiwa perpaduan bangsa tidak sekukuh yang
disangka, apabila tampuk kuasa bertukar tangan, maka belang atau cula
makin kelihatan. Sebelum ini di bawah majoriti pemerintahan yang
berganding bahu dengan dikepalai parti kepimpinan Melayu, Malaysia
menjadi negara yang selamat, makmur dan sejahtera. Di sana sini tentu
ada kelemahannya. Inilah masa untuk pembaharuan. Tetapi sekarang, kenapa
Malaysia jadi begini?
Sesekali merenung
zaman sesudah enam dekad kemerdekaan ini, penulis rasa hiba,
mengenangkan semacam kita sudah sesat jalan. Perlembagaan Persekutuan
sekarang itulah perlembagaan terbaik untuk Malaysia. Seluruh rakyat ada
hak, tidak ada pun diskriminasi dan selama ini dasar-dasar negara
digubal berpandukan perlembagaan tersebut. Tentulah hak-hak kenegaraan
seperti institusi Raja-raja dan jawatan Yang di-Pertuan Agong, kumpulan
etnik dan kaum-kaum lain semuanya ada protokol dan peraturan
undang-undang yang menjaganya.
Segala
perkara pancang diabadikan dan pembahagian kuasa jelas diperturunkan,
bukan sahaja antara perundangan, kehakiman dan eksekutif tetapi bidang
kuasa Persekutuan dengan negeri dan perkara-perkara lain yang melibatkan
kerakyatan dan kebebasan asasi. Kini perlembagaan itu mahu dirobek.
Kenapa dipertikaikan?
Kini timbul isu hangat
pasal kenyataan seorang menteri untuk mengiktiraf Konvensyen
Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum
(ICERD), mungkin Kabinet belum pun bincang. Malaysia tidak pernah
menandatanganinya apa lagi meratifikasikannya. Kenapa sengaja
dilontarkan kekeliruan dan kecelaruan?
Apakah
Malaysia sebuah negara zalim, menghapus etnik dan menyekat kebebasan
beragama, menyekat amalan adat dan budaya kaum? Lihat apa jadi di
Myanmar, Israel, China? ICERD itu banyak bercanggah dengan Perlembagaan
negara kita.
Maknanya tidak munasabah dan
rasional untuk disahkan atau diratifikasikannya. Kenapa tidak difikirkan
akibatnya yang akan membawa kemusnahan berpanjangan kepada struktur dan
sistem kenegaraan.
Malaysia akan tinggal
kulit tanpa isinya lagi. Niat itu tidak betul, jika seseorang itu
berpegang kepada “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”.
Sekiranya
itulah konsep Malaysia Baharu yang hendak dibawa, seolah-olah tidak
difikirkan secara mendalam akan kedamaian dan keselamatan negara ini.
Lupakah kaum-kaum lain selain rakyat asal Malaysia dari Semenanjung
hingga ke Sabah dan Sarawak akan ikrar janji kontrak sosial 1957?
Sepatutnya ketaatsetiaan dan kepatuhan kepada ikrar itu kekal zaman
berzaman.
Kenapa Malaysia jadi begini?
Apakah kerana tidak ada ketegasan suara pimpinan atasan semua parti
sehingga citra buruk kian dijolok-jolokkan? Antaranya apabila institusi
Raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong dicaci hina, Islam mahu
disamakan dengan agama lain, bahasa negara diperlekehkan diketepikan,
kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera disindir dan dinafikan.
Apakah perkara-perkara pokok ini isi kepada perjuangan masa kini?
Jika
keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang diperlekehkan
apakah itu menandakan akal budi rakyat Malaysia? Di manakah matlamat
pembinaan satu bangsa Malaysia yang bersatu?
Apakah
sebahagian daripada kita memang jahil sejarah dan tidak berilmu?
Sepatutnya konsep Malaysia Baharu itu ke arah memperbaiki segala
kelemahan sebelum ini dan mendorongkan langkah kemajuan ke hadapan bukan
mundur ke belakang.
Rakyat bukan sahaja
mahu melihat kesejahteraan kehidupan, diri dan keluarga, misalnya selesa
dengan harga barang yang turun, diselesaikan masalah-masalah kerajaan
terdahulu, tetapi kini satu persatu sudah terjadi sebaliknya. Rakyat
berpakat menaruh harapan, tetapi berkecai di tengah jalan.
Rakyat sedang
menyaksikan perspektif yang negatif. Lakukan dahulu tindakan
memperbaiki kehidupan, termasuk taraf hidup petani dan nelayan, bukannya
tanpa henti meluahkan sakit hati atau balas dendam.
Tun
Dr. Mahathir Mohamad selaku ketua kerajaan mengakui sendiri kelemahan
beberapa anggota Kabinetnya yang rendah prestasi. Kenapa Malaysia jadi
begini? Ya, mungkin mereka itu orang baru yang tidak ada ilmu pengurusan
dan pentadbiran, tidak pernah terlibat dengan pelaksanaan dasar-dasar
utama kerajaan seperti ekonomi, perdagangan, pendidikan, kebudayaan,
keselamatan, pertahanan, kemajuan luar bandar dan beberapa dasar lain.
Kenapa
tidak dalam tempoh tiga bulan penubuhan kerajaan baharu dahulu, semua
wakil-wakil rakyat didedahkan kepada aspirasi Perlembagaan, dasar-dasar
negara, program dan peraturan-peraturan yang berkuatkuasa, termasuk
pelbagai Akta, Penyata, peraturan kewangan, perjawatan atau perkhidmatan
dan sebagainya. Apabila semuanya difahami, baharulah sesuatu kenyataan
yang dikeluarkan itu lebih beralas, ada hikmah dan kematangan.
Mungkin
ada sesetengah pemimpin dari aliran politik perkauman atau hala tuju
perbezaan matlamat parti, lebih megah memperjuangkan cita-cita silam
tidak kepada meleraikan isu pembangunan negara dan keutuhan pembinaan
bangsa. Agaknya pada mereka, inilah masanya, sebab perubahan lima tahun
sekali belum tentu menjelma. Rakyat sedang menunggu perombakan Kabinet.
Penulis meminta Dr. Mahathir teruskan dan pilih orang yang terbaik.
Rakyat tidak mahu lihat Malaysia berhadapan dengan risiko dalam banyak
perkara.
DATUK A. AZIZ DERAMAN ialah Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban).
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.