Malaysia tandus pemimpin berani bercakap benar?
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr
Jeniri Amir berkata pemimpin di negara ini sudah hilang prinsip moral
untuk bercakap benar.
“Sebab itu sebahagian pemimpin di Malaysia ini tidak berani untuk bercakap benar.
“Dalam konteks ini, pemimpin PH harus menjunjung tinggi integriti itu
dan pada masa yang sama harus mempertajamkan kemahiran kepimpinan mereka
dan memperluaskan pengalaman. Tanpa kriteria berkenaan sukar untuk
mereka ungkapkan pendapat mereka dengan berani,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin
Muizzuddin Shah yang menegaskan kepimpinan hari ini perlu lebih berani
dan berwawasan bagi memenuhi cabaran mendatang.
Mengulas lanjut, Jeniri berkata rata-rata pemimpin tidak berani
bercakap benar kerana menyimpan rahsia seperti pepatah Inggeris, ‘have a
skeleton in the cupboard’ yang bermaksud seseorang mempunyai rahsia
memalukan atau tidak menyenangkan tentang sesuatu yang berlaku pada masa
lalu.
“Saya melihat, orang hanya berani kalau beliau seorang pemimpin yang
mempunyai integriti dan prinsip moral yang tinggi. Orang itu tak akan
berani kalau dia ada tulang dalam almari.
“Jadi, keberanian itu datang daripada perwatakan dan peribadi yang
mulia dan nilai integriti yang tinggi serta nilai moral yang tidak ada
tolok bandingnya. Kalau tak ada unsur berkenaan bagaimana mungkin beliau
boleh jadi pemimpin yang berani mengkritik atau berkata sesuatu sebab
orang akan pertikaikan kenyataannya itu?,” katanya.
Menurutnya, dalam konteks tersebut, pemimpin haruslah berani melakukan
sesuatu perubahan dan memperkenalkan dasar yang tidak popular namun
penting untuk membawa manfaat kepada rakyat di negara ini.
“Dari segi pemikiran harus ada keberanian intelektual kerana hanya
dengan itu akan berlaku anjakan pada rakyat dan dasar-dasar utama
negara. Kalau pemimpin itu bersifat populis dan tidak berani melakukan
sesuatu yang dilihat tidak popular maka pada jangka masa panjang akan
merugikan rakyat.
“Namun berani itu tetap harus berlandaskan Perlembagaan negara, menjaga
adab dalam bertutur dan ayat yang digunakan haruslah mengikut adab
serta budaya Melayu sesuai dengan sikap seorang pemimpin.
“Keberanian bukan bermakna harus membuat kenyataan atau melakukan
sesuatu tanpa berasaskan undang-undang, adab budaya Melayu dan
nilai-nilai Islam.
“Apa yang dituntut sekarang ialah berani melakukan sesuatu yang benar
walaupun tidak popular. Bercakap benar ini kadang-kadang menghiris hati
orang,” katanya.
Mengambil contoh keberanian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
sebelum ini mengkritik Kesultanan Johor, beliau akui tindakan itu bukan
satu perkara mudah.
“Macam Tun Mahathir berani mengkritik Sultan Johor. Ini bukan sesuatu
yang mudah hanya pemimpin yang ada keberanian intelektual, berjiwa
besar, bergerak di atas landasan undang-undang dan berpendirian apa yang
dikatakan itu ialah sesuatu yang benar walaupun tidak disenangi pihak
yang menjadi sasarannya.
“Itu saya fikir akan menyebabkan kita dapat melakukan perubahan di negara ini demi kemakmuran, kemajuan di negara ini.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.