https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mencanai peguam berwibawa

UMUM mengetahui dalam setiap tindakan di mahkamah sama ada mahkamah syariah atau sivil, peguam adalah pihak tidak kurang pentingnya membantu perjalanan sesuatu kes itu.

Sebenarnya peranan peguam tidak hanya terhad di mahkamah kerana peguam adalah suatu profesion amat dihormati masyarakat. Saranan dan nasihat seorang peguam biasanya diambil kira dalam membuat sesuatu keputusan di dalam dan di luar mahkamah. Apatah lagi sekiranya ia membabitkan hal ehwal perundangan.

Secara umumnya, profesion kepeguaman berpaksikan kepada minat, kesungguhan dan kecintaan kepada bidang guaman itu sendiri. Seseorang peguam berusaha memiliki kualiti seperti integriti, sabar, suka mencari ilmu, meluangkan masa, tenaga dan kepakaran untuk membantu pihak yang memerlukan tanpa menjadikan wang sebagai matlamat utama.

Antara ciri yang perlu ada pada peguam ialah:

A. Mempunyai sikap positif dalam menjalankan tugasan. Peguam wajib menjalankan tugasan dengan penuh integriti di mana tugasan itu memerlukan mereka bersikap jujur, amanah terhadap pelanggan, menjalankan profesion dengan penuh kesungguhan tanpa menolak nilai profesional tinggi peguam.
Peguam mesti bertindak dengan penuh keyakinan, menghormati orang lain sama ada pelanggan, peguam lain dan mahkamah dalam menegakkan keadilan.

B. Mengambil berat dan sabar dalam berurusan. Sikap ini menghendaki peguam untuk sentiasa menghormati dan melayan semua pihak, sama ada pihak lawan dan peguam mereka dengan adil, baik dan sewajarnya serta menjauhi daripada bertindak tidak adil dan prejudis terhadap mana-mana pihak sepanjang proses undang-undang dilaksanakan. Ia bermakna, walaupun peguam mewakili pelanggannya, pada masa sama, peguam di pihak lawan tetap dianggap kawan dan boleh berbincang dengan sebaiknya demi kesejahteraan kes dan pihak yang diwakili.

C. Cintakan ilmu dan sentiasa berusaha menambah ilmu. Peguam perlu sentiasa berusaha menambah ilmu dengan menggunakan pelbagai kaedah sama ada menghadiri seminar undang-undang, membaca buku atau bertanya kepada peguam lebih berpengalaman perkara yang belum difahami. Dengan bekerjasama, kita akan lebih cepat memahami dan menyelesaikan sesuatu kekusutan yang belum diketahui. Peguam berpengalaman juga perlu terbuka untuk mendidik peguam baharu sebagai pelapis profesion ini.

D. Bersikap baik dan mengambil berat. Peguam yang mengambil berat profesion ini akan mengambil pendekatan baik dan mengambil berat serta menghormati bukan saja kepada mahkamah dan rakan sekerja, tetapi juga seluruh manusia yang digaulinya. Menghormati mereka memerlukan kita menepati setiap mesyuarat yang diputuskan, temu janji dibuat, mengambil berat kepada jadual tugasan dan memberi komitmen tinggi kepada apa yang perlu dilaksanakan.

E. Peguam mesti mewakili pelanggan dengan penuh kesetiaan dan kesungguhan, komited dalam tugasannya serta menghormati kepercayaan diberikan terhadapnya. Pada masa sama, kesungguhan dan kesetiaan kepada pelanggan tidak pula menyebabkan dia melakukan tindakan tidak benar, kasar dan biadab apatah lagi menzalimi lawannya. Setiap peguam perlu menjadi contoh kepada kebaikan, kepatuhan undang-undang dan menjaga sistem keadilan yang diperjuangkan.

F. Bersungguh dan tekun. Peguam perlu sanggup berkorban masa, tenaga, kepakaran untuk memahami dan menguasai setiap fakta kes serta peruntukan undang-undang yang dibentangkan di hadapannya. Dengan menguasai fakta dan undang-undang, ia akan membantu peguam menjalankan tugasan dan mencari hujah yang perlu, bersesuaian dan mendalam untuk kebaikan pelanggannya.

G. Suka berkhidmat dengan hati yang luhur dan ikhlas. Peguam tidak wajar terbabit dalam urusan undang-undang saja, tetapi perlu turut sama dalam urusan memberi kebajikan kepada masyarakat, membantu dalam soal membabitkan perundangan, pendidikan, khidmat sosial, kebajikan dan sebagainya.

Ketika berurusan dengan pihak lawan serta peguam mereka atau mana-mana pihak yang terbabit dalam sistem perundangan negara, peguam mesti berusaha menjadikan sistem keadilan itu dapat berfungsi dengan baik dan cemerlang.

Matlamat utama prosiding di mahkamah ialah  mencari kebenaran, menamatkan perselisihan  dan memberi hak kepada yang berhak dengan penuh keadilan seperti diperuntukkan hukum syarak.
Sebelum memilih untuk membawa sesuatu kes ke muka pengadilan dan meneruskan perbicaraan, peguam wajar mencari jalan dan mencadangkan kepada pelanggan alternatif untuk menyelesaikan pertelingkahan dan masalah seperti menggunakan kaedah sulh, mediasi dan sebagainya.

Alhamdulillah cara alternatif ini atau yang lebih dikenali sebagai ‘alternative dispute resolution (ADR) ini telah berkembang baik dalam sektor perundangan syariah.

Berbalik kepada peranan peguam syarie di mahkamah syariah, sudah tentu kita perlu merujuk kepada sumber asal perundangan syariah iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Untuk tujuan itu eloklah kita merenung sepotong hadis yang begitu relevan dengan maksud perbincangan kita hari ini.

Hadis tersebut diriwayatkan Abu Dawud yang bermaksud: “Hakim itu ada tiga jenis. Satu di dalam syurga dan dua lagi akan ke neraka…”

Jika kita mengkaji hadis tersebut kita akan dapati ia sangat memberi penekanan mengenai konsep integriti. Hadis itu sebenarnya bukan saja ditujukan kepada hakim, malah untuk peguam kerana hakim yang akan ke neraka itu sudah pasti akan mengheret peguam yang berhujah secara palsu di depannya bersama mereka.

Oleh itu, peguam hendaklah menjadi pembantu kepada kebenaran bukan kepada kebatilan. Justeru, peranan peguam sangat besar sebagai pembantu mahkamah menegakkan keadilan demi meletakkan hak kepada mereka yang berhak. Bukanlah ukuran seorang peguam  yang cemerlang itu memenangi kesemua kes yang diwakilinya tetapi apa yang lebih penting ialah dapat memberikan keadilan kepada orang yang berhak menerimanya.

Sekiranya peguam  memberikan hak kepada orang yang tidak berhak menerimanya, seolah-olah peguam  tersebut memberikan sepotong api neraka kepada mereka.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.