https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mentafsir Lawatan Kerja Dr Mahathir Ke Kelantan

Oleh Mohd Sayuti Omar

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan lawatan kerja sehari ke Kelantan pada Sabtu 10 November. Beliau akan menghadiri tiga program, pertama berjumpa dengan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob, kemudian berjumpa dengan pimpinan Pakatan Harapan Kelantan dan berjumpa dengan pimpinan Bersatu Kelantan. Semua perjumpaan itu ekslusif.

Kunjungan Dr Mahathir ini dilihat penting dan memberi signifikan tertentu. Bersama Ahmad Yakob beliau akan memuktamadkan pemberian atau perlepasan apa-apa projek atau peruntukan untuk Kelantan berdasarkan semangat federalisme. Isu royalty Petroleum akan menjadi isu utama, disamping beberapa isu berbangkit seperti pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kelantan (MPKK).

Diharap pertemuan dan perbincangan dua wakil kerajaan itu mencapai hasil yang baik. Ahmad Yakob perlu tidak menyerahkan perbincangan dan tuntutan yang dibuat oleh Nik Mohd Amar Nante. Ahmad perlu menggunakan diplomasi dan sikap sedarhana demi Kelantan dalam pertemuan itu.

Berkaitan pertemuan dengan pimpinan PH Kelantan, mungkin ada sesuatu yang Dr Mahathir hendak umumkan. Mustahil kalau pertemuan itu sekadar untuk berkenalan dengan pimpinan PH Kelantan. Apa diharapkan ialah mengenai kedudukan pimpinan PH Kelantan khasnya pengerusi PH Kelantan, Husam Musa.

Apapun yang menarik dan suspen ialah mengenai partinya Bersatu. Kesungguhan Dr Mahathir untuk berjumpa dengan barisan kepimpinan Bersatu mungkin ada sesuatu mesej penting yang akan disampaikan. Perkara terdesak bagi Bersatu Kelantan ketika ini mengenai organisasinya yang masih longgar. Kepimpinan Bersatu Kelantan perlu diperkemaskan untuk menghadapi cabaran mendatang.

Dalam hal ini seorang ketua yang berwibawa dan memahami hati budi politik Kelantan diperlukan.
Kamaruddin Md Noor yang diberi amanah menjadi pengerusi kini dilaporkan gagal memainkan pernannya sebagai Pengerusi Bersatu Kelantan. Kelemahannya “berpolitik” cara Kelantan dan lebih mempamirkan corak kepimpinan “kertas kerja”, atau tunjuk cerdik “se’orang” tidak banyak membawa kelabaan kepada Bersatu. Setengah daripada sikap beliau meretakkan perpaduan PH di Kelantan.

Penggantian jawatan Ketua Penerangan Bersatu Malaysia yang dipegangnya kepada Dr Radzi Jidin telah memberi isyarat kegagalan dan ketidak mampuan Kamaruddin memikul tanggungjawab politik.

Adalah elok kalau sempena dengan kedatangan Dr Mahathir besok beliau mengumumkan perubahan hirerki kepimpinan dalam Bersatu Kelantan. Kehadiran bekas Pengerusi Umno Kelantan Mustapa Mohamed ke dalam Bersatu mungkin boleh dimanfaatkan. Sekiranya Dr Mahathir mahu melihat kemantapan PH Kelantan, beliau harus menukar Kamaruddin dengan Mustapa. Mustapa dilihat lebih sesuai untuk bersama Wan Rahim Wab Abdullah, Abd Aziz Kadir dan Husam Musa untuk mengurus PH Kelantan.

Untuk membawa Mustapa, bagaimana pun ia bukan sesuatu yang mudah kerana Mustapa dianggap sebagai “pelarian” politik. Soalnya kini apakah PH Kelantan mahu seronok dengan kememangan PH di Kuala Lumpur atau terus menjadikan PH Kelantan seperti perahu sopek di tengah lautan. Hanya PH Kelantan jadi seperti sang buta yang boleh dengar cerita kemenangan tetapi tidak dapat menyaksikan erti sebuah kemenangan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.