https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pemuda: Umno ada ‘Tony Blair’ untuk tewaskan ‘Margaret Thatcher’

PETALING JAYA: Umno sudah mempunyai individu seperti Tony Blair yang sedia untuk berubah mengikut kesesuaian dengan pengundi alaf baru, namun cabarannya adalah sama ada pemimpin seperti itu sedia diberikan ruang oleh parti atau tidak.

Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Sufian Hamdan berkata demikian berdasarkan kiasan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim bahawa Umno memerlukan Tony Blair untuk menentang Margaret Thatcher.

“Kalau ikut analogi Tony, Umno sudah ada individu seperti Tony ala 1997 iaitu dinamis, segar dan lebih mendepani perubahan berbanding parti, mahir dengan pendekatan lenggok bahasa, cadangan dan visi berhaluan tengah yang sesuai dengan pengundi alaf baru.

“Cabarannya adalah sama ada Umno mahu cuba beri ruang kepada individu seperti ini untuk menjadi jurucakap parti atau mahu kekal ‘playsafe’ dengan retorik biasa yang serasi dan selesa dengan zon Umno,” katanya
Zaid dalam satu kenyataan di blognya berkata tidak sukar untuk Umno menentang kerajaan Pakatan Harapan (PH) memandangkan manifesto mereka yang disifatkannya dihasilkan oleh “idealis dan ahli ekonomi” yang “menjanjikan semua perkara”.

Ia adalah sebagai panduan kepada Umno mengenai cara meremajakan parti selepas kekalahan mengejut pada pilihan raya umum lalu.

“Tun Dr Mahathir Mohamad ialah Margaret Thatcher versi Malaysia, jadi untuk melawannya memerlukan seorang Tony Blair dalam Umno,” kata Zaid.

Shahril berkata, hal ini kerana pendekatan yang dibawa Tony ketika itu dilihat berbeza dengan tradisi lazim dari pemimipin Parti Buruh walaupun ada yang melihat ia sebagai tindakan bersifat radikal.

“Tapi akhirnya ahli akar umbi berani pilih Tony kerana mereka sedar Britain pada waktu itu mahu individu sepertinya dan sudah tidak minat dengan jenama tradisi parti. Dengan keberanian itulah Parti Buruh kembali menang setelah sekian lama menjadi pembangkang.

“Hal ini kerana mereka sedar popular dengan rakyat lebih penting daripada popular dalam parti. Kini terpulang kepada pemimpin dan ahli Umno sama ada sedia dan setuju melaksanakan pembaharuan. Itulah hak ahli, masa akan menjadi saksi,” katanya.

Tony merupakan perdana menteri United Kingdom dari Parti Buruh yang memerintah selama 10 tahun. Beliau berjaya membawa partinya kembali berkuasa selepas 18 tahun berturut-turut di bawah pemerintahan Parti Konservatif.

Ia susulan tindakan Tony mengubah dasar parti dengan meningkatkan imej Parti Buruh sebagai parti yang cekap dan moden. Beliau menggunakan istilah “Buruh Baru” untuk membezakan partinya dengan masa lampau.

Manakala, Margaret pula perdana menteri United Kingdom dari Parti Konservatif yang memerintah dari 1979 hingga tahun 1990. Beliau merupakan perdana menteri British yang paling lama berkhidmat dalam abad ke-20.

Margaret memperkenalkan dasar ekonomi bertujuan memperbaiki kadar pengangguran yang tinggi. Falsafah politiknya adalah dengan mengurangkan peraturan terutamanya dalam sektor kewangan, penswastaan syarikat milik negeri dan mengurangkan kuasa dan pengaruh kesatuan sekerja.-FMT

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.