Esok akan bermula Kongres Nasional PKR yang melabuhkan tirai kepada pemilihan parti kali ini.
Keputusan untuk Majlis Pimpinan Pusat mungkin hanya akan diumumkan kemudiannya.
Saya
dimaklumkan, secara tidak rasmi beza undi di antara saya dan saudara
Azmin Ali ialah lebih kurang 2,500 undi, iaitu kurang 2 peratus dari
jumlah keseluruhan yang mengundi (sekitar 141,000 orang anggota parti).
Saya
fikir saudara Azmin bakal diumumkan timbalan presiden dengan undi
popular yang tidak melebihi 51 peratus, berbanding dengan undi saya
sekitar 49 peratus.
Jumlah undi ini berlatar belakangkan persoalan
mengenai integriti dan ketelusan proses pemilihan yang dipersoalkan
oleh semua calon yang bertanding.
Ada beberapa isu yang menjadi
kontroversi, termasuklah kebebasan pengawas-pengawas oleh Jawatankuasa
Pemilihan Pusat (JPP) yang daripada awal lagi dipersoalkan kerana
aduan-aduan yang mereka berat sebelah.
Begitu juga dengan masalah
sistem e-pengundian. Ada bukti yang kukuh bagaimana undi-undi telah
hilang secara sistematik seperti yang dibentangkan oleh saudara Akmal
Nasir (ketua Pemuda PKR yang baru) melibatkan undi di cabang-cabang
besar yang dilihat berpihak kepada saya.
'Talian Celcom dipotong di Pensiangan'
Kita juga dikejutkan dengan peristiwa “penghadang isyarat” (jammer) di Kuala Selangor dan talian Celcom dipotong di Pensiangan.
Paling
kontroversi ialah kejadian data dihapuskan di Julau dan kehadiran
aplikasi Prey di dalam peranti tablet yang digunakan untuk undian. Pada
hari kejadian, JPP mengakui peranti tablet telah dicerobohi dan
mengumumkan menggantung keputusan di Julau.
Selepas itu, JPP menukar pendirian dan bertegas tiada data yang terkesan walaupun kejadian itu benar-benar berlaku.
Dengan
perbezaan undi sekitar 2,500 sahaja atau kurang dari 2 peratus dari
jumlah keseluruhan yang keluar mengundi, pengundian di Julau (yang
mempunyai lebih 13,000 anggota) boleh mengubah keputusan untuk jawatan
Timbalan Presiden dan jawatan-jawatan lain.
Saya
ada asas yang kukuh untuk berkeras supaya diadakan semula pemilihan.
Tambahan pula JPP memang mengakui berlakunya pencerobohan dan Ketua Unit
IT JPP, Alvin Teoh memang ditahan polis untuk siasatan berhubung kes
ini.
Namun, saya juga sedar bahawa kepentingan perjuangan dan
parti mengatasi segala-galanya. Kita menawarkan diri untuk memikul
amanah dengan hasrat boleh membawa parti ke peringkat yang lebih baik
dan meningkatkan khidmat parti kepada rakyat.
Jika dalam usaha
kita mendapatkan amanah itu, parti dijerumuskan ke dalam ketidaktentuan
dan persengketaan yang berpanjangan, itu bertentangan dengan niat asal
kita untuk berkhidmat.
Saya mengambil kira kesan kekalahan kepada
saudara Azmin adalah lebih besar berbanding jika saya mengalah. Beliau
seorang menteri kanan, penyandang jawatan sebagai dua penggal dan bekas
menteri besar. Kekalahan beliau di tangan seorang penganggur akan
dijadikan alasan untuk beliau berundur terus dari persada politik.
Sebab itu, saya menjangkakan penyokong-penyokong beliau lebih sukar menerima kekalahan berbanding dengan saya.
Mungkin menang di Julau jika pemilihan semula
Saya
juga telah melihat bagaimana penyokong kuat beliau, saudara Vernon
Kedit telah bertalu-talu membuat laporan kepada SPRM mengenai
keanggotaan di cabang Julau (yang sebelum itu tidak pun dibantah)
sehingga menyebabkan kakitangan parti ditahan SPRM.
Saya yakin,
jika pemilihan semula diadakan di Julau (dan besar kemungkinan saya akan
menang), akan ada watak seperti ini yang akan mengheret parti ke
peringkat Pendaftar Pertubuhan dan mahkamah.
Akhirnya, kita tidak ubah seperti pepatah Melayu “menang sorak, kampung tergadai”.
Apabila
pergolakan dari pemilihan parti ini berpanjangan melangkaui Kongres
Nasional hujung minggu ini, bebannya akan ditanggung oleh Anwar Ibrahim,
presiden kita.
Beliau akan dituduh tidak berkemampuan
mengendalikan parti. Beliau akan dikritik kerana dilihat tidak mampu
mendisiplinkan pimpinan parti di bawah.
Selari dengan tuduhan dan
kritikan itu, akan ada suara sumbang dari luar dan dalam parti yang
mempersoalkan kewibawaan beliau menjadi Perdana Menteri ke-8.
Saya
tidak terjun ke persada reformasi sejak 20 tahun lalu dengan niat mahu
merebut kuasa. Saya benar-benar mahu melihat keadaan yang lebih baik
untuk rakyat biasa, kerana saya datang dari keluarga susah dari
Terengganu.
Kemenangan dua peratus
Saya
benar-benar yakin kalau kita bawa perubahan yang mengangkat idealisme
reformasi yang kita perjuangkan, nasib rakyat akan menjadi lebih baik.
Dan
saya juga yakin orang yang paling baik untuk melaksanakan idealisme
reformasi itu ialah Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri yang ke-8.
Oleh itu, saya membuat keputusan lebih awal untuk tidak mendesak melalui biro politik dan mengalah lebih awal.
Lagi
pun, keputusan pemilihan kali ini adalah cukup jelas. Undi popular
saudara Azmin hanyalah 51 peratus, berbeza 2 peratus sahaja dengan undi
popular saya yang melambangkan dua aliran berbeza yang sama kuat dan
sama penting di dalam parti.
Isyarat yang dihantar melalui undi
anggota yang memberi kemenangan kurang dua peratus kepada saudara Azmin
(dalam keadaan beliau menteri kanan, penyandang jawatan selama 8 tahun
dan bekas menteri besar), adalah isyarat yang perlu diperhalusi oleh
beliau sendiri.
Saya
mendoakan Anwar Ibrahim, sebagai presiden parti dan bakal perdana
menteri mendengar dan meneliti segala kemelut serta keluh kesah anggota
di bawah.
Sejujurnya, tidak ada yang menang dan tidak ada yang kalah di dalam pemilihan ini.
Kita
semua menang jika kita menginsafinya dan berazam untuk memperkukuhkan
idealisme reformasi lantas kembali berkhidmat kepada rakyat, di bawah
pimpinan Anwar Ibrahim.
Kita semua kalah jika yang memegang amanah
itu hanya melihat jawatan dipegang sebagai loncatan untuk mencari laba
mengikut puak masing-masing, sehingga bercanggah dengan teladan
kepimpinan Anwar Ibrahim.
Saya mengucapkan jutaan terima kasih
kepada puluhan ribu pendokong kempen saya yang mengorbankan masa, wang
dan tenaga sehingga ke peringkat ini.
Saya tidak berjawatan dan
tidak berwang untuk membayar saudara-saudari, tetapi saudara-saudari
tetap setia berkhidmat sebagai relawan.
Koperasi anggota PKR
Sepanjang
kempen selama empat bulan, saya berjumpa ramai anak-anak muda, ibu-ibu
dan abang-abang yang miskin tetapi kental daya juangnya.
Saya
disambut ikhlas oleh sahabat-sahabat pelbagai bangsa dan budaya: baik
yang Melayu, Cina, India, sahabat-sahabat Kadazan Dusun Murut dari
pedalaman Sabah dan pendokong parti dari seantero negeri Sarawak yang
besar itu.
Saya hargai persahabatan saudara-saudari dan setiakawan yang tidak ternilai itu. Saya terhutang budi dengan saudara-saudari.
Makanya,
saya kini kembali sebagai anggota biasa PKR seperti mana ratusan ribu
saudara-saudari di luar. Saya akan terus turun berjumpa anggota akar
umbi untuk menyusun gerakan kita menjadi lebih baik.
Saya akan
mengusahakan satu koperasi agar saya dapat membantu kedudukan ekonomi
seberapa ramai anggota PKR di seluruh negara, yang tidak mendapat
apa-apa pun dari perjuangan ini.
Saya akan terus setia kepada perjuangan PKR untuk rakyat Malaysia di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim.
Sama-sama kita raikan beliau sebagai presiden baru PKR, kita ketemu di Kongres Nasional esok.
RAFIZI RAMLI ialah calon timbalan presiden PKR dan bekas anggota parlimen Pandan.
Rafizi: Saya mengalah untuk kepentingan parti
Reviewed by editorreformis
on
November 16, 2018
Rating: 5
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.
By TK Chua I am trying to explain, based on my experience and observations, why the RM18 billion that was supposed to be in the “GST r...
Bicara Islam
Comments
Recent Comments:
Recent Posts
Email
Teknologi
Wawancara
Notis
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.