https://critoxium.com/shop/

Terkini

Sumber air HSBE rosak perlu dibaiki

Oleh AHMAD TARMIZI SULAIMAN

 DALAM Sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, saya telah meminta agar Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli menyatakan apakah langkah kerajaan untuk memulihkan alam sekitar dan ekosistem yang rosak akibat pembalakan dan penebangan hutan yang berleluasa di Hutan Simpan Bukit Enggang, Rimba Teloi Sik serta jajaran Hutan Simpan Ulu Muda yang menjadi tadahan air untuk penduduk Kedah dan Pulau Pinang, namun masih belum ada sebarang jawapan dari Menteri mahupun tindakan tuntas dari kerajaan.

Penggondolan hutan dan penanaman semula spesis pokok Albizia telah menyebabkan air di kawasan tersebut kotor dan keruh. Pihak penduduk terpaksa menggunakan air yang kotor untuk meneruskan kehidupan seharian mereka, ini menyulitkan urusan seharian penduduk seperti membasuh dan memasak memerlukan air yang bersih.
 
Mengikut perbincangan bersama pihak yang berkaitan, penanaman spesis pokok Albizia di Hutan Simpan Bukit Enggang mesti dilakukan setelah masalah air penduduk kampung yang terlibat selesai. Penanaman pokok Albizia akan menyebabkan sumber air penduduk kampung tercemar dan kotor dengan segala jenis baja dan racun yang digunakan.

Adun Belantek, YB Ustaz Mohd Isa Shafie juga telah melontarkan pertanyaan kepada Kerajaan Negeri Kedah dalam Sidang Dewan Undangan Negeri yang lepas mengenai penggondolan hutan di Bukit Enggang dan telah pun dijawab oleh Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mukhriz Mahathir secara panjang lebar.

Saya bersama Adun Belantek, menuntut supaya pihak kerajaan mengambil langkah yang serius dalam menangani kerosakan sumber air di Bukit Enggang supaya penduduk dapat menikmati air bersih seperti sebelum pembalakan dimulakan.

Untuk makluman, pembalakan di Bukit Enggang diluluskan oleh Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Dato' Seri Mukhriz Mahathir pada sesi terdahulu dan kini beliau masih kekal memimpin Negeri Kedah melalui Kerajaan Pakatan Harapan pula.

Atas semangat Malaysia Baharu yang sering diuar-uarkan, kami mengharapkan pembelaan sewajarnya kepada penduduk yang terlibat supaya mereka kembali menikmati air bersih, lebih-lebih lagi Kerajaan Negeri masih dipimpin oleh orang yang sama sejak bermulanya isu ini hingga kini yang sudah tentu beliau faham benar akan situasi yang berlaku.

"Islam Memimpin"
"Sik Sejahtera Bersama Islam"
YB AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Sik

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.