Sehebat-hebat teknologi robot, “artificial intelligence”, telefon
pintar dan “internet of things” – ia sebenarnya bergantung pada
kehebatan cip yang ada di dalamnya.
Ilmu dan seni rekacipta cip dipanggil IC atau “integrated circuit
design”. Dalam bidang elektronik dan teknologi serba canggih hari ini,
di situlah segala nilai, ilmu dan teknologi sebenar berada.
Setiap peranti elektronik hari ini mengandungi cip IC yang diletakkan
bersama-sama di atas satu papan litar untuk menjalankan fungsi
tertentu. Kecanggihan sesuatu peranti bergantung pada kehebatan inovasi
pereka dalam menggabungkan cip IC dan memprogramkan cip tersebut untuk
melaksanakan sesuatu algorithm atau fungsi.
Contoh paling mudah ialah telefon pintar. Di dalamnya terdapat
pelbagai jenis cip IC yang digabungkan bersama untuk melaksanakan fungsi
telefon pintar – contohnya cip IC yang menerima data tanpa wayar, cip
“microprocessor” yang melaksanakan segala tugas dan arahan, cip IC yang
mengendalikan penggunaan kuasa setiap peranti dan sebagainya.
Segalanya tidak akan menjadi jika tiada cip yang sesuai untuk melaksanakan operasi yang diinginkan.
Kualiti cip IC ini bergantung pada tempat kegunaannya. Jika ia
digunakan di pasaran konsumer, kebiasaannya cip hanya berada pada
kualiti biasa. Ia akan mudah rosak dan perlu digantikan selepas beberapa
tahun.
Sekiranya digunakan dalam bidang ketenteraan, automatif atau angkasa
lepas, maka sudah tentu cip perlu berada pada kualiti tertinggi, yang
membolehkannya berfungsi di dalam lingkungan suhu -55 ke 140 darjah
Celcius, kejituan yang tinggi dan menggunakan kuasa yang rendah dalam
pengoperasiannya.
Di manakah Malaysia dalam bidang rekacipta cip IC ini?
Tun, maaf dikatakan, kita sebenarnya berada terlalu jauh di belakang
negara membangun lain. Seperti projek kereta nasional Proton, Malaysia
boleh berbangga kerana kita mempunyai kereta nasional sendiri, tapi
sebenarnya kita hanyalah “tukang pasang” kereta (assembler), tanpa
menguasai teknologi sebenar seperti pembuatan enjin yang menjadi jantung
dalam “seni” pembuatan kereta.
Seperti juga bidang IC Design, Malaysia hari ini hanya terlibat
dengan pembikinan cip IC melalui Silterra, aktiviti pembungkusan cip IC
yang siap seperti UNISEM dan CARSEM, dan menjadi pembekal tenaga buruh
kepada syarikat gergasi dari Amerika Syarikat untuk membantu mereka
menghasilkan cip rekaan mereka sendiri.
Gambar researchgate.net.
Malangnya, penglibatan Malaysia dengan aktiviti IC Design yang
mempunyai nilai tertinggi dalam keseluruhan teknologi semikonduktor yang
menguasai dunia hari ini adalah sangat terhad.
Jika tidak silap, kurang daripada 10 syarikat tempatan terlibat
dengan aktiviti rekacipta cip IC untuk pihak lain hari ini kerana
suasana tempatan yang tidak subur.
Antaranya ialah Symmid di bawah Kumpulan Modal Perdana milik
Kementerian Kewangan dan QRF. Ramai antaranya hanya sekadar pembekal
tenaga buruh kepada syarikat gergasi.
Pendek kata, Malaysia hanya terlibat dengan aktiviti yang mempunyai “value chain” sederhana dalam bidang teknologi tinggi ini.
Tun, perkara ini perlu diubah dengan kadar segera agar negara tidak
jauh ketinggalan pada masa hadapan. Kita sudahpun ketinggalan kini.
Tun,
Malaysia perlu mencontohi inisiatif yang diambil oleh negara China.
China mensasarkan tahun 2025 sebagai tahun “Made in China 2025” untuk
10 sektor teknologi tinggi menggunakan teknologi dan cip yang
dihasilkan syarikat tempatan.
Antaranya bidang robotik, China mengkhususkan pada tahun 2020,
industri robot tempatannya sudah menguasai 50% pasaran tempatan dan pada
2025, robotnya sudah boleh menangani robot yang dihasilkan oleh Amerika
Syarikat dan Jerman.
Dalam bidang telefon pintar, China mewajibkan semua telefon pintar
menggunakan 40% cip tempatan pada 2025 untuk memacu perkembangan
industri rekacipta IC tempatan dan mengurangkan import cip dari negara
pesaing, terutama Amerika Syarikat.
Dalam bidang automotif dan penerbangan, China juga meletakkan sasaran
cip sensor tempatan akan menguasai 60% pasaran tempatan dan juga
menghasilkan enjin kapal terbang sendiri yang pertama.
Adakah cip IC yang dihasilkan China hari ini lebih baik daripada cip
yang dihasilkan oleh Amerika Syarikat dan Jerman yang menguasai industri
teknologi automotif?
Tidak. Tetapi dengan sokongan kerajaan yang mewujudkan pasaran
tempatan untuk cip IC tempatan, mereka yang terlibat akan berlumba-lumba
mengimport teknologi dan ilmu rekacipta cip IC dari luar untuk
dihasilkan secara tempatan.
Diberi masa yang cukup, cip IC yang dihasilkan di China pasti boleh
menggantikan cip IC yang dihasilkan di Barat dan menyaingi mereka di
pasaran dunia dengan testimoni kehebatan cip IC itu berfungsi di pasaran
tempatan.
Pendek kata, China tahu bahawa tanpa kemajuan dalam IC Design, negara
tidak mungkin menangani negara Barat dalam bidang teknologi tinggi
seperti angkasa lepas, automotif, radio frekuensi, teknologi hijau,
teknologi laut dan sebagainya. Mereka akan terus menjadi hamba teknologi
Barat. Justeru, China bergerak agresif ke arah menguasai teknologi
tinggi melalui IC Design.
Tun,
Beberapa tahun lalu, kerajaan Barisan Nasional pernah mensasarkan
untuk mewujudkan 50 syarikat IC Design. Idea itu bukan sahaja tidak
berobjektif, malah tidak kena cara perlaksanaannya. Apakah gunanya 50
syarikat IC Design, tetapi tiada pasaran tempatan untuk menampungnya?
Sasaran itu tidak disokong oleh polisi kerajaan yang boleh membantu
menyuburkan ekosistem untuk syarikat IC Design yang ada berkembang dan
tumbuh seperti cendawan.
Tapi sekarang Tun boleh membantu dengan memperkenalkan beberapa
polisi baru kerajaan. Berikut ialah beberapa cadangan yang boleh
diketengahkan sebagai permulaan bagi menyediakan tapak yang subur untuk
industri IC Design berkembang secara organik:
1. Kesemua barangan peranti sekuriti elektronik konsumer buatan
tempatan untuk kegunaan kediaman mesti mengunakan 20% cip IC buatan
tempatan menjelang 2025 dengan syarat cip tempatan mesti mencapai 20%
kos lebih rendah berbanding cip IC yang sudah ada di pasaran.
2. Kesemua bangunan kerajaan baru dan penggantian peralatan IoT lama
mesti menggunakan cip IoT buatan tempatan yang melibatkan teknologi
hijau seperti sensor suhu pili air, sensor lampu automatik dan
sebagainya dengan syarat cip tempatan mesti mencapai 20% kos lebih
rendah berbanding cip IC yang sudah ada di pasaran.
3. Semua kereta yang dipasang di sini mesti menggunakan 20% peranti elektronik tempatan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
4. Semua peranti elektronik perubatan tempatan perlu menggunakan 20% cip tempatan menjelang 2028.
5. Mewajibkan projek nasional kereta ketiga menggunakan 30% peralatan
elektronik tempatan sepenuhnya dan mensasarkan negara dapat
menghasilkan enjin kereta pertama tempatan dalam 15 tahun akan datang.
6. Mewajibkan 100% penggunaan cip IC tempatan untuk “smartchip”
kegunaan rakyat seperti kad pengenalan, pasport, kad TouchNGo dan
sebagainya dalam 5 tahun akan datang.
7. Mewajibkan universiti tempatan menaiktaraf silibus elektronik dan
aktiviti IC Design serta mengalakkan kerjasama dengan syarikat tempatan
melalui skim pelepasan cukai ke atas keuntungan yang dijana elalui
penjualan cip IC yang dihasilkan bersama.
8. Mewajibkan peralatan elektronik pertahanan menggunakan 15% peralatan pertahanan buatan tempatan dalam 10 tahun akan datang.
9. Semua pembinaan infrastruktur komunikasi negara mesti menggunakan 20% peranti elektronik tempatan dalam 8 tahun akan tahun.
Cadangan polisi yang diketengahkan ini tidak memerlukan pelaburan
yang banyak daripada pihak kerajaan, malah ia dapat menjimatkan duit
kerajaan dan menambahkan pendapatan dalam jangka masa panjang.
Polisi ini akan mewujudkan permintaan terhadap cip IC buatan tempatan
yang lebih murah dan setaraf kualitinya dengan cip buatan asing.
Tun,
Janganlah kita berakhir pada “value chain” terendah dalam industri
berteknologi tinggi ini sebagai “tukang pasang” seperti pembuatan kereta
nasional pertama satu ketika dulu. Kita gagal menguasai inti sebenar
kemajuan, iaitu ilmu rekacipta.
Ya, kita sudah terlambat, tetapi kita masih sempat. Vietnam sudahpun
mengorak langkah ke arah menguasai teknologi tinggi dengan menceburi
bidang IC Design secara agresif.
“We have to move up on the value chain”. Nilai sebenar teknologi
tinggi ialah dalam IC Design dan kerajaan perlu bertindak cepat untuk
menyuburkan ekosistem yang ada. Ekosistem sudah ada, cuma polisi untuk
menyuburkannya tiada. Inilah mesej sebenar surat ini.
Langkah pertama ke arah ini ialah mewujudkan beberapa polisi untuk
menyuburkan ekosistem dengan mewujudkan pasaran tempatan agar syarikat
IC Design tempatan mempunyai tempat dan permintaan untuk cip mereka
diuji, diinovasi serta diaplikasikan secara meluas supaya dapat
menyaingi cip IC yang berada di pasaran.
Tun,
Sampai bila kita mahu menjadi hamba teknologi Barat, dan dalam 5
tahun akan datang, China? Diharap dengan inisiatif ini, negara akan
dapat menghasilkan jenama sendiri seperti Samsung, Xiao Mi, Apple dan
sebagainya dalam 10 ke 20 tahun akan datang.
Maaf jika ada tersilap kata. Semoga Tun sihat walafiat untuk terus memimpin negara.
Surat kepada PM: Malaysia memerlukan IC Design
Reviewed by editorreformis
on
November 11, 2018
Rating: 5
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.
KOTA KINABALU: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Lajim Ukin mengumumkan pembubaran parti itu hari ini untuk membolehkan 64,000 ahliny...
Bicara Islam
Comments
Recent Comments:
Recent Posts
Email
Teknologi
Wawancara
Notis
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.