https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pengurusan hutang cabaran besar

Oleh A Kadir Jasin

SALAH satu ciri ekonomi yang kurang disedari dan oleh yang demikian tidak banyak dibincangkan ialah peranan keyakinan. Tanpa keyakinan, manusia tidak akan digerakkan untuk melakukan sesuatu.
Dalam ekonomi pun sama. Keyakinan sangat penting. Sebab itulah sesiapa saja yang bergiat menjana ekonomi akan memulakannya dengan keyakinan.

Mula-mula sekali meyakinkan dirinya sendiri bahawa yang akan dilakukan itu berfaedah dan akan membuahkan hasil. Kemudian meyakinkan orang yang akan membeli hasil usahanya.

Apabila sudah ada jaminan pasaran barulah dia boleh meyakinkan institusi kewangan untuk memberi pinjaman kepadanya bagi membiayai projeknya.

Itu pun bukan semua. Dia wajib menyediakan modalnya sendiri dahulu sebelum bank bersetuju menokok tambah. Hanya along atau ceti saja sanggup beri pinjaman 100 peratus, itu pun dengan syarat yang sangat ketat.

Sebab itulah banyak orang jadi muflis atau nyawa terancam apabila tidak mampu bayar balik hutang along dan ceti.

Kerajaan pun sama. Kalau kerajaan sesebuah negara diyakini kerana rekod pencapaian ekonomi yang cemerlang dan pentadbiran yang berwibawa, ia mudah meminjam dari dalam dan luar negara.

Tetapi sebaliknya kalau sesebuah negara tidak diyakini kerana rekod pencapaian ekonomi yang
buruk dan pentadbiran yang tidak berwibawa, ia sukar berhutang di dalam dan luar negara.

Atau kerajaan mempunyai muslihat lain apabila berhutang seperti yang telah berlaku dengan 1MDB. Skandal 1MDB sudah pun menjadi skandal kewangan terbesar di dunia.

Kalau di Malaysia bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor serta beberapa konco mereka sudah pun dihadapkan ke mahkamah, di tempat-tempat lain pula pelbagai bentuk siasatan dan pendakwaan sedang berterusan.

Demikianlah besarnya skala jenayah dan konspirasi 1MDB ini. Yang terbaru ialah pihak ber­kuasa Amerika sedang mengambil tinda­kan ke atas sebuah bank pelaburan negara itu yang bernama Goldman Sachs kerana terlibat dengan skandal tersebut.

Seorang bekas eksekutifnya yang terlibat langsung dengan skandal itu, Tim Leissner telah pun mengaku salah di Amerika, manakala rakan sejawatnya, seorang warganegara Malaysia bernama Roger Ng, telah ditangkap di Malaysia.

Leissner inilah yang mengatur pinjaman AS$6.5 bilion (kira-kira RM26 bilion) kepada 1MDB pada tahun 2012/13 dan dibayar komisen sekitar AS$600 juta (RM2.4 bilion) atau hampir separuh kos membina Menara Kembar Petronas.

Sekarang bank itu sendiri sedang menyiasat bagaimana ia dibayar yuran yang begitu besar untuk mengatur pinjaman tersebut.

Selain mengaku bersalah, Leissner juga bersetuju memulangkan wang sebanyak AS$43.7 juta (RM174.8 juta) hasil pendapatan haram di bawah Akta Rasuah Luar Negara Amerika.

Inilah negara yang selalu kita sebut sebagai kafir tetapi mereka lebih bersih daripada kita apabila menentang rasuah. Mereka bukan saja mencegah rasuah di negara mereka sendiri, malah menghukum syarikat serta warganegara mereka yang melakukan rasuah di luar negara.

Maka dalam konteks membina semula keyakinan terhadap negara inilah kita perlu menilai kejayaan ­kepemimpinan baharu kita yang diketuai oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, memperoleh pinjaman murah daripada Jepun.

Kalau di bawah kerajaan lama kita berhutang secara besar-besaran dan dengan cara yang amat meragukan, khususnya dari China, kini kita berjaya memperoleh pinjaman istimewa yang rendah kadar faedahnya.

Dalam lawatan ke Tokyo untuk menerima anugerah tertinggi Maharaja Jepun, Dr Mahathir dan rakan sejawatannya, Shinzo Abe, bersetuju mengenai penjualan bon Yen berjumlah 200 bilion atau kira-kira AS$1.8 bilion (RM7.2 bilion) oleh kerajaan Malaysia. Pinjaman tersebut membawa kadar kupon 0.65 peratus untuk tempoh matang 10 tahun.

Ini bukan hutang untuk bayar hutang tetapi akan digunakan membiayai bidang-bidang pendidikan, pengangkutan dan pertukaran lawa­tan antara Jepun dan Malaysia.

Dalam konteks lain pula, kerajaan mungkin meminjam dari sumber dalam dan luar negara pada kadar faedah yang lebih rendah untuk membayar balik hutang kerajaan lama yang diperoleh pada kadar tinggi.

Memandangkan kewangan kerajaan yang dibebani hutang dan jaminan melebihi RM1 trilion, maka penyusunan semula hutang menjadi antara tugas mencabar dalam pengurusan ekonomi dan kewangan negara buat beberapa tahun akan datang. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin Tokoh Wartawan Negara

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.