Bagi
sesiapa yang sensitif, tentu dapat merasakan kekecewaan di kalangan
penyokong Harimau Malaya yang tidak dapat tiket perlawanan akhir pertama
Piala AFF Suzuki di Stadium Bukit Jalil tempoh hari. Terutama bagi
penyokong tegar.
Selain sistem penjualan tiket yang
dikritik, juga muncul apa yang disebut sebagai 'bangsa final' yang
mendapat tiket melalui pelbagai cara luar biasa. Termasuk dikatakan
melalui ‘pintu belakang’.
Istilah 'bangsa final' merujuk orang
yang hanya sibuk apabila Malaysia berjaya ke perlawanan akhir. Dalam
semua jenis sukan popular, bangsa tersebut wujud.
Sedangkan
sebelumnya, mereka tidak peduli pun tentang nasib dan perkembangan sukan
seperti bola sepak, badminton, takraw dan lain-lain. Tidak endah sama
sekali.
Bangsa final sanggup ke stadium dengan tujuan memetik
gambar, berswafoto dan bersoraklah barang mana perlu. Semua itu perlu
dirakam dan dimuat naik ke media sosial.
Namun barang diingat,
jenis manusia bangsa final juga berjangkit di kalangan politikus atau
menteri. Ada yang sanggup menyiapkan grafik untuk menunjukkan sokongan
segera.
Dan ada kalanya, aksi—atau lebih tepat boleh dikatakan
sebagai lakonan—begitu berlebih-lebih. Kalau ditanya nama pemain atau
jurulatih, silap haribulan mereka tak tahu.
Oleh
itu, kita boleh faham mengapa penyokong tegar meluat, bukan kerana
tidak mahu ramai orang ke stadium, tetapi biarlah ada keikhlasan.
Fokus adalah kepada pasukan kebangsaan. Bukan nampak sangat kepura-puraan, atau dalam bahasa anak zaman sekarang sebagai “fake sangat!”
'Bangsa final' dilihat hanya kemaruk populariti, gilakan RT (ulang ciap Twitter) dan like. Mereka mahukan kejayaan—juga kesenangan—tanpa susah-payah, resah-gelisah atau lebih tepat, tanpa erti sebuah perjuangan.
Bagi bangsa final, tiada kesetiaan apa-apa, kepada sesiapa pun, kalau tidak dapat “tumpang glam” sekali. Semudah dan semurah itu.
Berlakon jadi YB bebas
Sikap
sebegitu cerminan manusia yang rendah tamadun sampai hilang perasaan
segan. Sering 'bangsa final' atau manusia palsu menganggap pihak lain
tak tahu atau tidak reti menilai sikap. Kini 'bangsa final' juga
bermunculan di dalam arena politik. Dari pelbagai sudut.
Selepas
pilihan raya umum lalu, jumlah bangsa final jenis politik bertambah hari
ke hari. Seorang demi seorang mula meninggalkan, misalnya, Umno-BN yang
kalah. Terbaru dengan apa yang dapat kita saksikan di Sabah, dan juga
di serata tanah air.
'Bangsa final' di dalam politik Malaysia
tentulah lebih ‘bijak’ daripada kelompok sebangsa di stadium perlawanan
akhir. Mereka tidak terus menyertai Bersatu misalnya, tetapi berlakon
untuk beberapa bulan—atau mungkin sahaja beberapa minggu—sebagai YB
bebas sebelum menyertai parti dalam Pakatan Harapan.
Oleh kerana
otak pemikiran mereka berteraskan politik kaum, maka Bersatu merupakan
parti pilihan yang ada dalam gabungan kerajaan semasa. Kalau pun ada
pilihan lain di Sabah, tidak lain ialah Warisan yang ditubuhkan dengan
sentimen kenegerian berapi-api.
Jenis 'bangsa final' sebelum
pilihan raya pula dapat dikenal pasti kepada yang sejak bertahun konon
bercakap tentang penting politik antiperkauman, berjiwa liberal atau
propasaran bebas, tetapi demi jadi calon PRU atau menteri, mereka pun
menyertai parti yang bersifat sebaliknya.
Maknanya yang diucapkan selama ini adalah palsu. Mungkin boleh digunakan istilah 'main ngelat'—kalau pun bukan menipu.
Main
ngelat bukanlah sifat seorang yang budiman. Di UK atau Jepun, selalu
saya diberitahu mengelat adalah antara perbuatan yang dipandang jelek.
Selalu
diingatkan dan diajar dari anak sekolah, pegawai kerajaan sampai kepada
para menteri agar jangan main ngelat demi mencapai maksud apa pun.
Kepercayaan rakyat jadi mainan
Buat
masa ini, Bersatu kelihatan terdesak untuk memperkukuhkan kedudukan
dalam PH. Maka jalan pintas untuk menjadi kuat ialah mengambil seberapa
ramai bangsa final dari, misalnya dari Umno.
Di sinilah satu cara main ngelat dipaparkan dan tidak dianggap bersalah. Kepercayaan rakyat mainan semata.
Etika
atau rasa tidak bermaruah diketepikan dengan menyatakan bahawa mereka
melompat demi “memastikan kemajuan negeri”, atau untuk kedengaran lebih
muluk disebut, “demi perpaduan Melayu.” Matlamat membenarkan cara.
Sepertimana di dalam bola sepak, bangsa final di dalam politik juga tidak perlu berjuang atau berkorban apa-apa.
Mereka
tidak pernah faham ertinya susah-payah dan perih getir perjuangan.
Sebab itu hampir mustahil bagi mereka untuk menjiwai erti dan makna
reformasi sepertimana yang menjadi cita-cita rakyat yang mencetuskan
perjuangan perubahan, dua dekad lalu.
Bagi sesiapa yang serius di
dalam perjuangan, apa yang lebih utama untuk difahami ialah masalah
sebenar yang mengikat kaki bangsa daripada mencapai kemajuan dan
ketamadunan yang tinggi.
Selain dipenuhi sikap suka mengelat,
pengikat itu tidak lain adalah politik perkauman yang sengaja diwujudkan
oleh pemimpin dan parti-parti tertentu sejak puluhan tahun.
BN
merupakan gabungan terbesar parti-parti perkauman. Pun begitu, kalau
diukur dalam konteks Malaysia lama, dan demi berlaku adil, BN merupakan
gabungan paling sederhana dan progresif dalam sejarahnya.
Sekurang-kurangnya sejak sebelum 1998.
Parti oposisi utama
lainnya, misalnya PAS dan DAP merupakan parti perkauman yang sejak lama
jauh lebih tertutup dan keras, berbanding BN.
Hari ini PAS sudah bersama Umno walaupun tidak secara rasmi; dan DAP pula bersama PH. Oleh itu, barangkali ada pemimpin Bersatu menjadi risau tentang nasib Melayu di dalam PH dan kerajaan semasa.
Politik dua kali lima
Belanjawan
2019 yang dibentangkan oleh menteri kewangan dilihat ada unsur
mengenepikan banyak kepentingan masyarakat luar bandar, khususnya orang
Melayu.
Bukan sahaja bantuan kepada mahasiswa dipotong, bantuan
kepada nelayan yang dilakukan termasuk di banyak negara maju, juga pada
mulanya dihentikan.
Berdasarkan bayang perkauman yang mulai
menjelma, maka disangkakan Bersatu adalah wadah terbaik bagi mewakili
Melayu untuk berhadapan dengan DAP secara dalaman.
Kata mereka, lihat sahaja di Pulau Pinang, DAP mengawal negeri itu hampir sepenuhnya, dan pihak lain ibarat boneka semata.
Perjuangan
sebenar melawan politik perkauman memang perlu, dan nampaknya jalan
masih berliku. Apa yang harus insafi ialah politik perkauman tidak boleh
dilawan dengan perkauman.
Kebijaksanaan dituntut demi menyelesaikannya sekali ini dan buat selama-selamanya. PAS dan DAP tidak boleh menafikan bahawa perjuangan parti masing-masing memang berteraskan politik perkauman.
Meletakkan dua tiga kerat “pasu bunga” dari kaum lain tidak mengubah dasar dan hakikat perjuangan dua parti itu.
Tentu
PAS selalu berhujah, selagi seseorang itu Islam dia boleh menyertai
PAS: maka PAS bukan parti perkauman. Begitu juga DAP yang ada kalanya
berlebih-lebihan menonjolkan satu-dua pemimpin di kalangan Melayu bagi
menutup kenyataan yang sebaliknya.
Semakin ditonjolkan, semakin jelas pula warnanya.
Semua
sandiwara walau sehebat mana skrip dan lakonannya, akan tetap terkesan
serta disedari apabila kita melihat dasar serta kerangka besar setiap
satu parti berkenaan.
Berselindung di sebalik hujah “keadilan
Islam”; atau demokrasi, hak asasi bahkan kemanusiaan sejagat adalah satu
bentuk silap mata yang tidak boleh menutup agenda yang terbentuk dari
jejak sejarah.
Dalam waktu sama, Umno juga mendakwa ada anggotanya
yang terdiri dari yang bukan Islam; hujah yang sama dibawakan Bersatu.
Pada titik inilah Bersatu secara sedar atau tidak, sedang bergerak untuk
memaksakan format lapuk BN, ke dalam PH.
Penentangan paling besar
berhubung perkara itu dijangkakan bukan datang dari Amanah atau
Keadilan, tetapi dari DAP. Parti itu dilihat tidak mahu wujudnya sebuah
“parti Melayu” yang terlalu kuat atau mendominasi PH.
Di luar PH,
tentangan akan datang bukan sangat dari Umno, tetapi dari PAS yang juga
mempunyai cita-cita untuk menjadi parti perkauman bagi Melayu yang
terbesar di negara ini.
Sentimen terbaik bagi PAS tentulah dengan
menjual agama, dan sentimen terbaik bagi DAP ialah ‘mempertahankan’
kepentingan kaum minoriti atas nama demokrasi.
Sekali lagi, semua
politik begitu tetap dua kali lima, dan sekali lagi politik perkauman
tidak boleh dilawan dengan perkauman juga.
Amaran yang perlu
diberikan kepada PH bukan sahaja melibatkan pemimpin Umno yang sudah
ditolak rakyat, untuk diterima ke dalam PH, tetapi mewujudkan “Umno
baharu” dalam PH bukan masa depan Malaysia. Samalah dengan mewujudkan
MCA 2.0 atau MIC 2.0 juga bukan masa depan bangsa ini. Kita perlu lebih
jujur dan rajin untuk menyelesaikan dengan jalan yang tidak pernah
diambil sebelum ini.
Sepertimana yang menyebabkan BN kalah, PH
juga boleh dikalahkan kalau mengambil format sama. Bangsa final dalam
semua keadaan tidak memberi nilai tambah apa-apa, kecuali seperti
bidalan orang tua-tua, golongan ini merupakan “pahlawan kesiangan”
sahaja.
Mungkin lebih teruk lagi.
HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.
'Bangsa final' dalam politik
Reviewed by editorreformis
on
Disember 13, 2018
Rating: 5
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.
Oleh Mohsin Abdullah Pada Khamis 23 April lalu, seorang kawan lama menghantar saya laporan media melalui WhatsApp bertajuk ‘Agong akan pi...
Bicara Islam
Comments
Recent Comments:
Recent Posts
Email
Teknologi
Wawancara
Notis
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.