https://critoxium.com/shop/

Terkini

Demonstrasi tidak dapat jatuhkan kerajaan, kata Dr M

KUALA LUMPUR: Demonstrasi tidak akan menjatuhkan sesebuah kerajaan yang dipilih secara demokrasi, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) membenarkan demonstrasi dijalankan, hanya melalui pilihan raya sesebuah kerajaan itu boleh ditukar.

“Kalau pilihan raya diketepikan, sebaliknya kita mengikut kehendak demonstrasi, demokrasi tidak muncul. Sementara kita benarkan demonstrasi, besar atau kecil, demonstrasi sendiri tidak boleh jatuhkan kerajaan.

“Yang boleh jatuhkan kerajaan ialah pilihan raya,” katanya ketika mengulas mengenai himpunan kesyukuran penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di ibu kota, Sabtu lepas.
Katanya, pilihan raya juga boleh diadakan lebih awal untuk tentukan sokongan majoriti rakyat jika terbukti kerajaan sedia ada gagal.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan PH tidak akan menidakkan kebebasan bersuara dan teguran rakyat terhadap pemerintahan baru itu.

“Kita perlu pemerintahan yang kuat, tapi bukan sehingga dapat ketepikan segala teguran dibuat rakyat, umpamanya, atau menidakkan peranan menteri sehingga mereka perlu akur kepada apa saja yang diarah pucuk kepimpinan,” katanya.

Katanya, kekuatan kerajaan adalah penting dan perlu, khasnya dalam menangani masalah yang timbul di dalam masyarakat.

Dr Mahathir berkata, kalau sesebuah kerajaan itu tidak kuat, tidak mungkin ia dapat menangani masalah dan konflik yang timbul dalam masyarakat kerana ada pihak yang tidak akan hormat kepada pemerintahan yang lemah.

“Mungkin tidak ada kehormatan yang diberikan kepada kerajaan. Sebab itu kita perlu ada kerajaan yang kuat tetapi tak lah sehingga boleh mengetepikan teguran oleh mana-mana pihak,” katanya.

Selain itu perdana menteri berkata, pengalaman seseorang pemimpin adalah penting dalam cara beliau mengurus sesuatu masalah yang timbul dalam negaranya.

“Dia harus tahu kalau dalam keadaan apa, tindakan apa yang boleh diambil. Dalam keadaan ini, apa yang tidak boleh boleh diambil kerana kalau tidak bijak memilih pendekatan, besar kemungkinan kerajaan akan gagal,” katanya.

Dr Mahathir berkata, PH memerlukan lebih masa untuk menunjukkan hasil kepada perubahan yang dilaksanakan kerana kerajaan sekarang terpaksa memperbetulkan kerosakan yang dibuat kerajaan sebelum ini.

“(Setelah) 60 tahun jadi pembangkang, nak tukar dari pembangkang kepada pemerintah bukan satu perkara mudah. Saya yang berpengalaman sedikit harus toleran, dan cuba membetulkan kesilapan bila berlaku,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.