https://critoxium.com/shop/

Terkini

Gegak gempita ICERD lantaran ummah tidak membaca?

Oleh SORAYA SALIM

Saat Rasulullah SAW diutus menjadi rasul sekalian alam, wahyu pertama yang diturunkan Allah SWT kepada baginda ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-‘Alaq:
“Bacalah! Dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan. Menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah! Dan Tuhan engkau itu adalah Maha Mulia. Dia yang mengajarkan dengan pena dan tulisan. Mengajarkan manusia apa-apa yang tidak diketahuinya.” (Surah Al-’Alaq: 1-5). 

Ibn Kathir dalam tafsirnya tentang kelima-lima ayat pertama ini menjelaskan antara kemurahan Allah SWT adalah Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya dan dengan demikian Allah SWT telah memuliakan manusia dengan ilmu. Hakikat inilah yang menjadikan Nabi Adam sebagai bapa umat manusia ini mempunyai kelebihan atas para malaikat. Ilmu pula, kata Ibn Kathir lagi, terkadang berada dalam akal fikiran dan terkadang juga berada dalam lisan mahu pun tulisan.

Dalam era digital ini, ilmu kini berada di hujung jari. Dengan satu klik, segala cabang ilmu boleh diakses tanpa sempadan. Maka sepatutnya masyarakat menjadi lebih berilmu, mampu mengkaji dengan mendalam, menganalisis, kritis dan objektif hasil pembacaan dalam memahami sesuatu isu.

Membaca dan menuntut ilmulah yang mengeluarkan manusia daripada kejahilan ke arah pencerahan.
 
Melalui ilmu dan pembacaan jugalah para pembantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sewajarnya akan mengetahui hakikat sebenar konvensyen ini dan sama ada dakwaan mereka kononnya ICERD ini mengancam hak-hak istimewa Melayu dan Bumiputera Sabah Sarawak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan dakwaan yang berasas atau tidak.

Sebaliknya jika dilihat pelbagai kenyataan, pandangan, kritikan, cacian dan tohmahan dilemparkan para penentang cadangan ratifikasi ICERD, jelas menunjukkan mereka ini tidak membaca. Kerana jika mereka membaca, demonstrasi 8 Disember tidak berlaku dan gegak gempita ICERD bakal terdiam lenyap. Jika diamati pendapat-pendapat yang dikeluarkan dilihat hanya berasaskan pengetahuan cetek atau mungkin juga cakap dengar (hearsay) semata-mata tanpa menelusuri teks dan perbincangan akademik tentang konvensyen ini. Tidak keterlaluan untuk menyimpulkan bahawa mereka ini tidak membaca sepenuhnya teks asal ICERD yang sebenarnya boleh didapati dengan begitu mudah di laman web United Nations Human Rights.

Komen-komen yang dibuat untuk menjustifikasikan bantahan terhadap ratifikasi ICERD ini menzahirkan kejahilan dan kedangkalan pemikiran akibat kelemahan menganalisis setiap fasal dalam ICERD secara tuntas dan objektif. Hal ini juga berkemungkinan berpunca daripada keengganan mereka untuk mengakui fakta-fakta sebenar tentang ICERD demi memanjangkan hayat politik parti-parti yang telah hilang arah selepas kekalahan dalam PRU. Lalu timbul pelbagai pendapat yang tidak bersandarkan hujah yang logikal tapi sarat emosi dan sentimen menebal perkauman – talian hayat popular untuk golongan yang kalah dalam gelanggang politik Malaysia.

Bagi mereka yang malas membaca keseluruhan teks ICERD, di sini dipetik beberapa fasal utama ICERD agar masyarakat membuka mata bahawa isu ini tidak lebih daripada sekadar permainan politik terdesak yang tidak berlandaskan hujah ilmiah yang kukuh.

Teks konvensyen ICERD ini dimulai dengan pengenalan berikut:
“Considering that the Charter of the United Nations is based on the principles of the dignity and equality inherent in all human beings, and that all Member States have pledged themselves to take joint and separate action, in co-operation with the Organization, for the achievement of one of the purposes of the United Nations which is to promote and encourage universal respect for and observance of human rights and fundamental freedoms for all, without distinction as to race, sex, language or religion,
Considering that the Universal Declaration of Human Rights proclaims that all human beings are born free and equal in dignity and rights and that everyone is entitled to all the rights and freedoms set out therein, without distinction of any kind, in particular as to race, colour or national origin……”

Mukaddimah ICERD ini menyatakan bahawa konvensyen ini adalah berteraskan prinsip-prinsip kemuliaan (dignity) dan keserataan (equality) antara semua insan tanpa mengira kaum, jantina, bahasa dan agama. Selain itu Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat PBB mengisytiharkan bahawa setiap manusia dilahirkan bebas dan sama rata dari segi maruah, kemuliaan dan hak asasi.

Oleh itu, bagaimana pula prinsip-prinsip kemuliaan (dignity) dan keserataan (equality) antara semua insan tanpa mengira kaum, jantina, bahasa dan agama seperti termaktub dalam dua perenggan pembukaan ICERD ini ditentang oleh masyarakat Islam Malaysia sedangkan prinsip-prinsip ini selari dengan prinsip karamah insaniyyah dalam Islam sebagaimana terzahir dalam firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan. Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah Al-Isra’:70)

Allah SWT menegaskan tentang penghormatan-Nya kepada Bani Adam dan kemuliaan yang diberikan-Nya kepada mereka, bahawa Dia telah menciptakan mereka dalam bentuk yang paling baik dan paling sempurna di antara makhluk lainnya. Dalam ayat yang lain disebutkan oleh firman-Nya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” (Surah At-Tin: 4)

Terlalu banyak perbincangan tentang intisari ayat-ayat ini yang menjurus kepada kemuliaan manusia sebagai makhluk yang diangkat darjatnya di sisi Allah SWT. Malah terlalu banyak juga bukti daripada sunnah Rasulullah SAW membuktikan Islam menolak sebarang unsur perkauman, diskriminasi atas nama etnik dan warna kulit, contohnya riwayat yang sahih tentang teguran baginda kepada Abu Dzar yang menggelar Bilal ibn Rabah sebagai “anak wanita berkulit hitam,” selain amanat baginda dalam khutbatul wada’ iaitu tiada kelebihan seorang Arab ke atas bukan Arab dan sebaliknya.

Malangnya penafsiran ayat-ayat ini tidak diambil iktibar dan tidak dikupas secara tuntas terutamanya di kalangan para ulama’ politik, sehingga terdengar pandangan dangkal lagi melucukan bahawa ICERD Ini tidak lebih sekadar ‘undang-undang acuan Barat yang lebih mengutamakan hak-hak haiwan daripada hak manusia.’ Alangkah malangnya penafsiran agama yang tidak berpaksikan neraca keadilan tetapi melalui hawa nafsu politik perkauman semata-mata! Peruntukan seterusnya dalam ICERD yang wajar ditekankan juga ialah Artikel 1 sub-perenggan 4:

 “Article 1” “……

4. Special measures taken for the sole purpose of securing adequate advancement of certain racial or ethnic groups or individuals requiring such protection as may be necessary in order to ensure such groups or individuals equal enjoyment or exercise of human rights and fundamental freedoms shall not be deemed racial discrimination, provided, however, that such measures do not, as a consequence, lead to the maintenance of separate rights for different racial groups and that they shall not be continued after the objectives for which they were taken have been achieved.”

Secara ringkas sub-perenggan 4 dalam Artikel 1 ini bermaksud, apa-apa langkah-langkah khas untuk melindungi hak-hak sekumpulan etnik atau individu yang memerlukan hak istimewa “tidak bolah dianggap sebagai diskriminasi kaum.” Dalam kata lain, dasar-dasar afirmatif seperti yang tersenarai dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak dianggap sebagai satu diskriminasi kaum di sisi ICERD ini. Tidakkah para pimpinan kanan UMNO dan PAS yang turun berarak semalam membaca perenggan 2 dalam Artikel 1 ini?

Walaupun bahagian kedua perenggan ini ada juga menyatakan bahawa langkah-langkah istimewa tersebut perlu dihentikan setelah matlamatnya dicapai, perkara ini bukan bermaksud menidakkan dasar-dasar pro-Bumiputera tetapi mengesahkan lagi keperluan sesuatu dasar afirmatif yang berdasarkan keperluan (need based) dan bukannya atas dasar kaum (race based). Seterusnya Artikel 4 sub-perenggan 2 ICERD menyebut:
“Article 4” “………
2. States Parties shall, when the circumstances so warrant, take, in the social, economic, cultural and other fields, special and concrete measures to ensure the adequate development and protection of certain racial groups or individuals belonging to them, for the purpose of guaranteeing them the full and equal enjoyment of human rights and fundamental freedoms. These measures shall in no case entail as a consequence the maintenance of unequal or separate rights for different racial groups after the objectives for which they were taken have been achieved.”

Sub-perenggan 2 ini menjelaskan bahawa negara anggota, sekiranya keadaan memerlukan, harus mengambil langkah-langkah khas sosial, ekonomi, budaya dan bidang-bidang lain, serta hak-hak istimewa dan konkrit untuk memastikan kemajuan dan perlindungan kumpulan kaum atau individu tertentu.
Bandingkan pula sub-perenggan 2 ini dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan:
“Perkara 153. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb. bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.” Lalu di manakah wujudnya percanggahan antara Artikel 4 sub-perenggan 2 dengan dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan? Bagaimana UMNO dan PAS mentafsirkan peruntukan-peruntukan ini sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan orang yang tidak membaca teks ICERD ini, sedangkan tiada langsung konflik dengan Perkara 153
Perlembagaan Persekutuan sebagaimana digembar-gemburkan para pembantah ICERD?

Hakikatnya tiada sebab ratifikasi ICERD ini perlu dirisaukan kerana ICERD juga membenarkan negara yang menandatangani konvensyen ini untuk membuat pengecualian (reservation). Terlalu banyak negara yang telah meratifikasi ICERD membuat pengecualian, antaranya agar peruntukan ICERD tidak mengatasi perlembagaan dan undang-undang domestik di negara masing-masing.

Negara-negara umat Islam seperti Qatar, Iraq dan Yaman pula secara jelas telah membuat pengecualian bahawa ICERD tidak boleh sama sekali mengatasi undang-undang syariah yang diamalkan negara mereka. Bahrain pula secara jelas menyatakan bahawa penerimaan atau ratifikasi mereka terhadapa ICERD ini sama sekali tidak bermaksud mereka menerima atau mengiktiraf entiti haram Israel sebagai sebuah negara yang sah. Pengecualian juga telah sering dilakukan Malaysia dalam ratifikasi konvensyen-konvensyen lain.

Ada juga desas-desus daripada penentang ICERD ini untuk turut menentang cadangan kerajaan meratifikasi lima lagi konvensyen hak asasi manusia iaitu Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Politik dan Sivil (ICCPR), Konvensyen Menentang Penderaan dan Kezaliman (UNCAT), Kovenan Antarabangsa Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (ICESR), Konvensyen Antarabangsa mengenai Perlindungan Hak Pekerja Migran dan Ahli Keluarga Mereka (ICMW) serta Konvensyen Antarabangsa untuk Perlindungan daripada Kehilangan yang Dipaksa (CPED). Disarankan agar para pengkritik terutamanya pimpinan Umno dan Pas untuk membaca, mengkaji dan menelusuri semua teks konvensyen ini secara objektif dengan keadilan akademik, agar tidak menjadi bahan ketawa tatkala berceramah di pentas demonstrasi.

Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan…….


























1 ulasan:

  1. Penulis yg kurang cerdik. Sebelum ni malaysia haru biru ke sebab tak ada ICERD? Malaysia aman je tanpa ICERD. Kenapa tiba2 mahukan ICERD? Mesti ada agenda tertentu. Teks ICERD tak perlu dibaca atau diperhalusi kerana ICERD bukan dicipta khas untuk Malaysia. ICERD dicipta oleh orang2 kafir. Kalau perlu kepada pembaikan undang2 kat Malaysia ni rujuklah al-quran. Tak perlu rujuk ICERD. ICERD ialah agenda orang kafir. Kalau penulis ialah muslim please stick into your mind alquran dan hadith rujukan orang Islam dan kalau penulis bukan muslim please stick into your mind Malaysia is Muslim country but your are free to practice your religion and your ideology without interfere into muslim affair .

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.