https://critoxium.com/shop/

Terkini

Berhentilah berdusta, wahai PAS dan Umno

Oleh

SANGAT menyedihkan apabila keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dianggap detik tragedi yang menyebabkan Melayu Islam kehilangan kuasa.

Perubahan yang dilakukan 14 juta pengundi masih dilihat sebagai satu kesilapan dan bencana.

Ahli politik senior masih gagal memahami: Mengapa rakyat bangkit melakukan perubahan!
Ia bukan soal mencipta “tragedi terhadap Islam dan Melayu”. Kebangkitan 9 Mei 2018 adalah kebangkitan undi menyelamatkan Malaysia daripada pemimpin Melayu Islam yang korup dan kleptokrasi!

Itu hakikat yang mesti diterima – bahawa, kleptokrasi dan korupsi menyebabkan Barisan Nasional (BN) dijatuhkan.

Isu kos sara hidup, kejatuhan ringgit, jahanamnya Felda Bhd, lingkupnya Felda Global Ventures (FGV) dan skandal Tabung Haji (TH) – sekadar menyebut beberapa contoh – hanyalah rantaian tambahan yang mencetuskan kemarahan rakyat.

Malah, anak muda bangkit dan berduyun-duyun keluar mengundi demi mengubah negara.

Itu belum ditambah dengan rasa marah akibat timbulnya persepsi kerajaan BN sebenarnya bersekongkol dengan China dalam pelbagai projek gajah putih berkos tinggi. Malah, tendernya sangat mencurigakan.

Api kemarahan rakyat ditambah dengan skandal harta dan aset milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dirampas di Amerika Syarikat daripada tangan penjarah wang milik rakyat Malaysia.

Agak bingung mendengar ceramah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan pemangku presiden Umno, Mohamad Hasan yang bergandingan bahu dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highland baru-baru ini.

Mereka mencipta agenda kempen yang menggambarkan Pakatan Harapan (PH) cuba menghakis Islam dan Melayu setelah berkuasa.

Ceramah dua pemimpin pembangkang di Felda Sungai Koyan, menyifatkan PRU14 sebagai tragedi buat bangsa Melayu dan umat Islam.

“Kita menyaksikan PRU ke-14 yang menjadi pukulan dahsyat kepada umat Islam di Malaysia.
“Tidak semena-mena, umat Islam yang menjadi majoriti besar di negara ini, menjadi tulang belakang politik Malaysia, memilih kerajaan yang didominasi bukan Islam. Sangat malang bagi mereka,” kata Hadi.

Hadi masih tidak melihat realiti. Malah, macam lupa. Bahawa, Melayu Islam di Terengganu juga menolak Umno dan BN kerana marah terhadap skandal 1MDB yang dianggap sebagai ibu bagi segala kleptokrasi dunia.

PAS tidak akan menang di Terengganu kalau bukan kerana Melayu Islam di Pantai Timur turut marahkan Umno dan BN.

PAS tidak akan menang kalau bukan skandal 1MDB menyebabkan pengundi merasakan segala rentetan kemelaratan ekonomi rakyat sejak 2014 adalah bahana skandal tersebut.

Mohamad pula semacam tidak belajar sejarah dan tidak menerima hakikat sebenar: Negeri Sembilan juga jatuh ke tangan PH kerana skandal 1MDB.

BN Negeri Sembilan juga mangsa Ops Sapu akibat protes pengundi pada 9 Mei lalu.
Mohamad nampak cuba melupakan realiti skandal 1MDB. Malah, dalam ceramahnya pemangku presiden Umno ini sengaja mendakwa, era PH menyaksikan Melayu dan Islam diperlekehkan.

“Selepas 9 Mei, iklim politik negara sudah berubah. Bangsa kita diperlekehkan, agama kita diperkecilkan.

“Sehingga doa pun mesti baca untuk lima agama, untuk menyamaratakan agama-agama lain dalam negara ini.

“Ini amat kesali kerana tiada mana-mana agama yang boleh disamakan dengan Islam,” kata Mohamad.

Mohamad lupa. Bukankah selepas kalah PRU 14, Umno mendesak Najib Razak melepaskan jawatan? Najib dan beban kleptokrasi dianggap punca utama Umno dan BN tewas PRU14.

Malah, pengganti Najib, Ahmad Zahid Hamidi juga ditekan untuk berundur kerana dilihat sebagai bayang-bayang warisan kleptokrasi Najib.

Zahid bagaimanapun didesak pergi dengan tuduhan lain, kononnya menjadi pencatur konspirasi “jual beli kerusi BN”.

Namun, nahu tindakan itu berkait rapat dengan kempen membersihkan Umno daripada puak Najib.

Tindakan pembersihan lebih mudah kerana sejak Zahid menjadi presiden, Umno masih gagal diterima rakyat kerana Zahid dilihat kroni Najib.

Di Cameron Highlands, Mohamad sengaja membakar isu agama dengan tuduhan: PH berusaha menutup sekolah tahfiz.

“Sehinggakan usaha dilakukan untuk menutup sekolah tahfiz. Tahfiz dituduh ada anasir yang memecahbelahkan rakyat pelbagai kaum.

“Tetapi mereka tak tanya pula mengapa SJKC (sekolah jenis kebangsaan Cina) masih bertambah. Di situlah kebencian terhadap orang Melayu disemai,” katanya lagi.

Mohamad orang lama dan imejnya selama ini bukan penyebar dusta. Justeru, dia perlu menyatakan hujah secara fakta: Berapa banyak sekolah agama dan pusat tahfiz sudah ditutup atas arahan kerajaan PH?

Politik perkauman dan keagamaan jadi motif kerjasama Umno dan PAS di Cameron Highland.
Memandangkan calon PH, M Manogaran bukan Islam, isu DAP sebagai musuh Islam dan Melayu diwar-warkan untuk mendapatkan undi.

Berhentilah berdusta, wahai Hadi dan Mohamad.

Kempen patut kekal dengan menegur Manifesto PH dalam PRU14 yang masih tidak dilaksanakan dengan baik sejak lapan bulan PH berkuasa.

Kempen PRK Cameron Highland wajar ada nilai intelek dan pencetus perubahan ke arah menjadikan PH lebih tekun berkerja menunaikan janji manifesto.

Anda berdua taiko dua parti pembangkang. Rakyat berharap kempen Cameron Highland berdaya ekonomi dan dipenuhi agenda pembaharuan sosial. Bukan lubuk meniupkan sentimen kebencian ras dan agama.

Cukup-cukuplah usaha jahat dan sengaja memandikan darah perkauman dan beza agama. Jangan jadi penjahat politik kelas kambing. Isu perkauman dan sentimen agama tidak wajar dikokokkan dua nama utama yang mengetuai blok pembangkang.

Mohamad sangat cauvinis apabila menyifatkan, DAP parti “musuh” yang “tiada perasaan belas ihsan terhadap orang Melayu dan agama Islam.”

Mohamad macam tidak tahu perkembangan global. Cara Adun Rantau ini menuduh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai boneka DAP sangat meloyakan.

Dr Mahathir alat DAP? Kalau PM alat DAP, mengapa dihabiskan masa di Eropah dalam lawatannya minggu lalu sebagai platform mencela kejahatan Israel terhadap umat Islam Palestin?

Hadi dan Mohamad adalah simbol pemimpin jumud dan buta realiti. PRK Cameron Highland tidak wajar dijadikan medan melagakan kaum dan agama.

Cameron Highland bukan landas mencipta api permusuhan untuk mengembalikan 13 Mei 1969.
Sebenarnya BN ada peluang di Cameron. Isu kos sara hidup dan kelesuan ekonomi adalah teras kempen paling efisien untuk meraih undi.

Pada masa ini, PH perlukan amaran keras yang kritikal terhadap prestasi pentadbiran mereka dalam konteks ekonomi.

Kasar untuk membahasakan “mangkuk hayun”. Sangat- sangat kasar istilah itu.

Namun, kalau demi politik, ada yang sengaja menghancurkan keamanan Malaysia dengan isu agama dan kaum, memang jelaslah – itu pemimpin kelas “mangkuk hayun”! –

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.