Hadi: PAS tak pernah nak jadi PM
PAS tidak pernah mencalonkan mana-mana pemimpinnya untuk diangkat sebagai perdana menteri kata Abdul Hadi Awang.
"Seingat saya PAS tidak pernah mencalonkan diri untuk menjadi perdana menteri, atau menggelarkan diri sebagai perdana menteri menanti.
"Mungkin saudara Lim (Kit Siang) lebih kuat ingatannya, atau lebih tinggi andaiannya," kata Abdul Hadi melalui media sosialnya hari ini.
Kenyataan Abdul Hadi itu dikeluarkan sebagai menjawab dakwaan Lim yang dimuat naik di blognya.
Lim melalui tulisan itu mendakwa Abdul "berbohong" tentang DAP dengan menggelarnya sebagai anti-Melayu dan anti-Islam kerana parti itu enggan menyokong presiden PAS berkenaan menjadi calon perdana menteri pada PRU pada 2013.
Ketika itu PAS ialah rakan sekutu DAP dalam Pakatan Rakyat sebelum gabungan terbabit dibubarkan.
Bagaimanapun kata Lim pemimpin PAS agak licik kerana tidak mencadangkan pemimpin mereka secara langsung.
Sebaliknya kata anggota parlimen Iskandar Puteri itu PAS secara diplomatik mencadangkan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon perdana menteri.
Ditanya mengenai jawapan Abdul Hadi hari ini, Lim yang ditemui di Cameron Highlands sebaliknya tetap dengan dakwaan tersebut.
Menjawab dengan ringkas pada wartawan, Lim bertanya semula: "Adakah kamu menjangkakan dia akan mengaku?"
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.