https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kuasa politik terhad untuk penuhi harapan rakyat

Oleh Zin Mahmud

Awal tahun baru ini, sebahagian besar rakyat mungkin memikirkan persoalan sama ada aspirasi kehidupan mereka dapat dipenuhi berdasarkan prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak penubuhannya pada 9 Mei tahun lalu.

Gaya pemerintahan PH dan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dapat difahami dengan melihat apa yang berlaku pada negara, sepanjang tempoh 6 bulan lalu. Dari situ dapat dibayangkan apa akan berlaku selama 2 tahun akan datang lagi iaitu sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih kuasa. Iaitu jika tidak berlaku sebarang peristiwa drastik yang boleh mengubah keseluruhan kerangka politik sedia ada.

Sepanjang 6 bulan lagi terdapat banyak kejutan yang tidak dapat dijangka. Tetapi kejutan itu ditangani oleh kerajaan pimpinan Dr Mahathir tanpa menjejaskan kestabilan pada negara.

Perkara terkini yang tidak dijangka adalah peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong. Pilihan raya kecil Parlimen Cameron Highland juga tidak dijangka. Begitu juga dengan kehendak sebahagian pemimpin akar umbi PPBM yang mahu mereka diberikan projek kerajaan.
Akhirnya, rakyat Malaysia tetap terbahagi. Sebahagiannya adalah penyokong PH. Sementara banyak pula menjadi pembangkang kepada kerajaan. Sebahagian yang lain pula berada di atas pagar. Sejak tempoh 6 bulan lalu, perubahan sokongsn telah berlaku. Ada penyokong PH yang kecewa. Mereka beralih arah dan menjadi pembangkang ataupun duduk di atas pagar.

Begitu juga, terdapat banyak penyokong Barisan Nasional (BN) atas pelbagai sebab meninggalkan parti mereka. Bukan saja mereka kini menjadi penyokong Dr Mahathir, malahan turut memohon masuk PPBM.

Banyak pula rakyat yang berasa puas hati dan lega terhadap apa yang dilakukan oleh kerajaan dalam usaha membanteras rasuah, korupsi dan penyelewengan. Usaha ini menyegarkan perasaan mereka untuk bersikap optimis terhadap masa depan negara dan generasi anak cucu mereka.

Dalam pada itu, ada sebahagian rakyat yang bertambah bimbang dan takut terhadap kedudukan kaum dan agama mereka. Tidak dapat dinafikan perasaan perkauman dan keagamaan meningkat akibat sentimen takut dan marah ini, lebih-lebih lagi adanya isu palsu dimainkan secara meluas melalui media sosial, iaitu suatu keadaan yang tidak pernah wujud sebelum adanya internet dahulu.

Apabila tiba tarikh 9 Mei 2019 kelak, maka ia merupakan masa sesuai untuk membuat penilaian semula terhadap prestasi setahun kerajaan dan juga gabungan PH. Tetapi sebelum sampai tarikh itu pun, dapat dirasakan kuasa politik sebenarnya adalah terhad untuk memenuhi harapan tinggi rakyat.

Banyak perkara boleh dibuat melalui sistem politik yang ada tetapi ia tidak dapat memenuhi semua harapan rakyat. Apabila dapat dicapai sebahagian besar harapan rakyat itu pun, ia wajar dianggap sudah memadai. Ini kerana Malaysia mempunyai faktor pelbagai dimensi politik yang kompleks, oleh itu rakyat tidak boleh menaruh harapan tinggi.

Kira-kira setahun yang lalu, kebanyakan rakyat berada dalam keadaan resah kerana mereka berasa amat tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak. Terdapat banyak punca yang menyebabkan keadaan itu tetapi perkara utama adalah isu kleptokrasi skandal 1MDB. Namun banyak orang berasa mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana BN dianggap kebal dengan masih terdapat banyak penyokongnya.

Pada Januari 2018, cara untuk melakukan perubahan adalah hanya melalui pilihan raya umum ke-14 yang ketika itu menjelang tiba tetapi tidak diketahui bila akan diadakan. Di bawah kepimpinan Dr Mahathir, PH yang tidak dapat didaftarkan berusaha untuk melakukan perubahan melalui sistem politik yang mana ada antara mereka menggubal suatu manifesto menarik bagi memancing sokongan rakyat.

Kemenangan PH adalah suatu yang tidak mustahil tetapi tetap tidak dijangka. Kandungan manifesto mereka bukan saja menarik tetapi ia menaikkan harapan rakyat untuk menukar kerajaan dan mengadakan pembaharuan terhadap negara.

Tetapi banyak penyokong PH bukan saja tidak membaca manifesto itu, tetapi tidak menghiraukannya. Tumpuan mereka hanyalah untuk menjatuhkan kerajaan BN sementara perkara lain dibiarkan untuk perbincangan kemudian apabila menang kelak.

Maka apa yang brlaku adalah kurang sangat didebatkan kandungan manifesto PH, jauh sekali dibuat penilaian sama ada ia dapat dilaksanakan sepenuhnya atau tinggal saja sebagai dokumen.

Daripada jawapan yang penulis perolehi setelah bertanya kepada aktivis DAP dan Amanah dengan penyediaan manifesto itu, mereka menceritakan dengan geli hati bagaimana dokumen itu ditulis tanpa penelitian mendalam.

Apabila sudah menang dan masanya tiba untuk melaksanakannya, tentulah mula disedari bahawa tidak semua perkara dalam manifesto itu dapat dilaksanakan.

Walaupun pemimpin PH berusaha melaksanakan semua perkara dalam manifesto, tetapi ia adalah realistik untuk menerima hakikat bahawa kuasa politik dalam sistem demokrasi berparlimen ada hadnya.

Ditambah pula dengan slogan dan gagasan Malaysia Baru yang muncul sebaik saja PH memenangi PRU14 lalu meningkatkan lagi harapan rakyat terhadap masa depan negara. Malaysia Baru menggambarkan negara akan menjadi hebat dan berbeza daripada keadaan sebelum ini. Sedangkan kemenangan PH hanyalah perubahan kuasa kepada parti yang berlainan.

Institusi negara dan lebih penting lagi ialah rakyat pada umumya adalah serupa, dari segi watak budayanya, hinggalah kepada kemampuan ilmu dan kemahiran masing-masing.

Semua pelaku politik pasti sedar mengenai had ini. Tetapi perasaan yang mereka miliki dan gambaran daripadanya adalah seolah-olah semua perkara boleh dilakukan dengan adanya kuasa politik.

Apabila memasuki pilihan raya, janji bulan dan bintang ditaburkan dengan anggapan perkara penting adalah kemenangan. Apabila sudah menang, pasti kuasa politik yang ada itu dapat digunakan dan dengan itu, segala apa perkara yang dihajati dapat dipenuhi.

Tetapi apabila menang, ahli politik PH ini mendapati perubahan tidaklah mudah untuk dibuat seperti dihujahkan semasa menjadi pembangkang dahulu. Jentera kerajaan dan rakyat adalah sebahagian daripada perkara itu. Malah parti politik yang menjadi wadah perjuangan mereka juga menghadapi banyak halangan untuk ditangani.

Maknanya, untuk melaksanakan perubahan, parti politik di negara ini juga perlu bermutu. Bukan saja pemimpin dan ahli-ahlinya perlu bagus tetapi yang penting ialah struktur dan parti politik perlu kemas. Bukan saja parti baru seperti PPBM dan Amanah perlu meningkatkan kualiti mereka tetapi juga parti lama dalam PH seperti DAP dan PKR.

Keadaan yang tidak kemas dalam parti, iaitu dari segi pengurusan keahlian, pelantikan pemimpin serta pendanaan politik merupakan antara perkara yang mengehadkan kemampuan kuasa politik untuk melaksanakan sesuatu inisiatif.

Dengan menyedari realiti operasi politik di negara ini, semua pihak, sama ada ahli politik mahupun aktivis tidak mudah menabur janji yang meningkatkan harapan rakyat ke tahap tidak wajar.

Biarlah rakyat menelan kepahitan realiti politik ini daripada menanggung beban kekecewaan apabila semua aspirasi mereka tidak dapat dipenuhi oleh kerajaan. Berjaya mencapai sebahagian aspirasi pun sudah mencukupi jika disedari tentang hakikat kuasa politik ada hadnya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.