https://critoxium.com/shop/

Terkini

PH perlu berkomunikasi dengan rakyat

Oleh Muhammad Affendy Hasni

Saya ditanyakan sahabat soalan yang susah hendak dijawab tetapi mempunyai asas yang cukup baik.
Soalan beliau adalah: “Apa sudah jadi kepada komunikasi Pakatan Harapan (PH)? Mengapa dilihat agak perlahan dan Datuk Seri Najib Razak dilihat menguasai media sosial?”

Saya kemudiannya mengambil sedikit masa menelaah laman Facebook Najib dan ada kebenarannya dalam soalan tersebut.

Najib (atau mungkin pasukan media sosial beliau) berterusan membuat kenyataan demi kenyataan mengkritik dasar dan program kerajaan PH. Secara purata terdapat 3 kenyataan berbeza dalam sehari dan kebelakangan ini, kenyataan beliau dikongsi dan ditularkan ribuan yang membaca.
Terdapat pelbagai pandangan sama ada wujud keperluan untuk sentiasa membalas atau menjawab isu-isu yang dibawakan Najib. Ada yang mengambil pendirian usah dilayan sangat kenyataan itu kerana latar belakang dan prestasi beliau sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Dengan pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan bersangkutan kes-kes 1MDB, adalah molek tidak diberikan perhatian terhadap isu-isu yang dibangkitkan Najib kerana itu menjadikan beliau kembali relevan dengan arus perdana.

Pun begitu, saya mengambil pendirian sedikit berbeza kerana isunya bukan tertumpu kepada personaliti, tetapi lebih kepada isu-isu yang dibangkitkan itu bersangkutan rakyat terbanyak dan akibat tidak diberikan penjelasan pantas menyebabkan rakyat mudah percaya kepada naratif dibawakan.

Ambil contoh, Najib mengulas segala macam isu yang berlegar seperti projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), tarif air, malah sudah bertukar menjadi pejuang hak untuk perokok.

Mungkin latar belakang sebagai bekas perdana menteri memberi kelebihan kepada beliau untuk mengulas sesuatu isu dari sudut berbeza berdasarkan maklumat dimiliki dan kedudukan sebagai bekas perdana menteri menyebabkan rakyat mengambil serius setiap kenyataan dan serangan.

Kerajaan PH harus kembali menguasai naratif umum berhubung dasar dan keputusan dicapai.
 Permulaannya harus digerakkan dengan struktur komunikasi lebih tersusun di peringkat kerajaan dan parti agar fakta tepat mengenai sesuatu isu tidak diberikan ruang untuk dimanipulasikan.

 Cara PH berkomunikasi tidak boleh lagi terikat dengan cara lama atau mentaliti kerajaan sebelum ini (malah kerajaan sebelum ini kalah pilihan raya kerana cara komunikasi yang sama), sebaliknya harus diolah dengan cara baru yang jauh lebih proaktif dan tersusun.

Saya mencadangkan pimpinan kerajaan PH mengambil keputusan khusus dengan memutuskan satu strategi khas komunikasi dalam menerangkan isu-isu semasa nasional yang sensitif dan mempunyai kesan langsung kepada rakyat supaya perang persepsi ini menjadi lebih seimbang dan tidak dikuasai sepenuhnya oleh Najib dan pembangkang.

Memenangi perang fakta dan persepsi ini tidaklah ditentukan sangat siapa yang memiliki data atau fakta kerana kedua-dua pihak memiliki kelebihan tersebut.

Apa yang diperlukan kerajaan PH sekarang adalah rutin dan disiplin dalam memberikan maklum balas kepada setiap serangan dan kenyataan dengan lebih tersusun.

Jikalau ini dapat dilaksanakan, pandangan umum akan dapat ditangani dengan lebih seimbang dan rakyat sudah tentu boleh menilai dan memahami.

Muhammad Affendy Hasni ialah ketua penerangan Pemuda PKR.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.