Dasar pertahanan bebas politik
Oleh
APABILA Menteri
Pertahanan, Mohamad Sabu menegaskan Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang
akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Julai ini tidak akan mengandungi
maklumat sulit dan sensitif mengenai pertahanan negara, kenyataan
tersebut amat dihargai kerana hal keselamatan tidak boleh didedahkan
sewenang-wenangnya.
Malaysia tidak pernah mengeluarkan KPP tetapi
bagi negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan United
Kingdom (UK) ia menjadi perkara lumrah kerana KPP adalah asas kepada
pembentukan Dasar Pertahanan mereka.
Paling
hampir dengan KPP ialah Malaysia pernah menggubal Dasar Keselamatan
Dalam Negeri (DKDN) pada 2016 dan sebelum itu Dasar Pertahanan Negara
(DPN) pada 2010.
Tetapi
kedua-dua DKDN dan DPN dianggap tidak menyeluruh dan hanya merangkumi
tempoh jangka masa pendek berbanding dengan konsep KPP yang lebih
terperinci dan lazimnya melampaui masa sehingga satu dekad lamanya.
Tetapi
bagi sesetengah negara kuasa besar seperti AS dan UK umpamanya, KPP
mereka adalah untuk jangka pendek kerana pelaporan bersifat dinamik.
Secara idealnya pembentukan DKDN dan DPN sepatutnya berpandukan kepada
KPP tetapi ini tidak dilaksanakan kerana Malaysia tidak pernah mempunyai
KPP.
Antara negara ahli ASEAN yang telah
melaksanakan KPP secara berkala ialah Brunei, Kemboja, Filipina dan
juga Singapura. Tetapi paling mencuri perhatian adalah KPP Singapura
yang terkini dibentuk pada 2004 dan tahun ini dijangka memperbaharui KPP
mereka yang lazimnya mengguna nama Strategi Keselamatan Nasional.
Mengapa
dikatakan KPP sebagai dokumen yang penting dan terperinci adalah kerana
Singapura menggunanya sebagai asas dasar pertahanan mereka dan ini
termasuk peruntukan pertahanan.
Bukan
sahaja setiap tahun peruntukan pertahanan mereka di antara empat hingga
lima peratus Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) tetapi juga mengambi
kira kadar inflasi sebanyak empat peratus setiap tahun. Kesemua ini
dilakukan berlandaskan saranan yang terkandung dalam KPP mereka.
Australia
yang sering melalui percaturan politik yang menyaksikan pertukaran
kepimpinan kerajaan silih berganti tetapi hakikatnya adalah hala tuju
pertahanan mereka tidak akan berubah hanya kerana perubahan kerajaan dan
itu lah sebenarnya matlamat KPP. Kali terakhir Australia menggubal KPP
mereka ialah pada 2016.
Penggubalan KPP
Malaysia tidak syak lagi sudah berada pada fasa terakhir kerana beberapa
hari lepas Menteri Pertahanan mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat
Peringkat Tertinggi KPP.
Ia turut
dihadiri oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri
Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Komunikasi dan
Multimedia, Gobind Singh Deo dan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin
Tong.
Berpandukan keanggotaan mesyuarat
tersebut ia sebenarnya menggambarkan kepentingan KPP yang merangkumi
segala aspek pertahanan, keselamatan dalam negeri yang juga berkait
rapat dengan hal ehwal ekonomi dan komunikasi.
Seperkara
agak kritikal dalam setiap KPP adalah dokumen itu diguna sebagai asas
pembentukan dasar pertahanan, maka implikasi kewangan mesti diambil kira
dalam penggubalan KPP.
Tidak guna jika
perancangan dilakukan tetapi hakikatnya tidak mampu dilaksanakan kerana
kekangan kewangan. Jika ini berlaku maka KPP dianggap sebagai dokumen
setakat hanya enak dibaca dan jika itu senarionya maka matlamat sebenar
KPP gagal dicapai.
Sebab itu juga agak
janggal apabila Kementerian Kewangan tidak diwakili sama ada oleh
menteri atau timbalannya. Mohamad juga menegaskan antara kandungan KPP
yang sedang digubal ialah strategi menghadapi bentuk ancaman semasa
terutama sekali yang disebabkan oleh kumpulan militan dan pengganas.
KPP
2004 Singapura umpamanya memberi perhatian khusus kepada ancaman bentuk
baharu ini yang mungkin berpunca dari individu atau kumpulan kecil yang
lebih sukar dibendung.
Hari ini ancaman
militan tetap wujud tetapi dalam dimensi berlainan. Jika sebelum ini
militan guna landasan alam maya siber melaksanakan perang dan gerak
saraf tetapi kini kemajuan teknologi sekali lagi boleh di salah guna.
Era
sebelum ini yang digelar Revolusi Industri 3.0 (IR3.0) di mana
teknologi siber meledak tetapi hari ini kita sudah melangkah ke era
baharu iaitu IR4.0 di mana sempadan di antara alam fizikal dan siber
tidak wujud.
Sebab itu amat kritikal KPP
yang sedang digubal mengambil kira bukan sahaja ancaman militan tetapi
juga ancaman militan dalam era IR4.0.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.