Kerjasama UMNO-Pas, Zahid pegang wasiat Haron Din
BAGAN DATUK . - Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
mendedahkan bahawa kerjasama UMNO-Pas hari ini pernah dibayangkan oleh
tokoh ulama, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din.
Menurutnya, peristiwa itu berlaku pada tahun 1998
ketika beliau menjadi Ketua Pemuda UMNO manakala Haron sebagai Ketua
Penerangan Pas.
Katanya,
pertemuan tersebut bertujuan untuk mendapatkan pandangan ulama itu sama
ada perlu kekal dalam UMNO atau menyertai Pas kerana ketika itu beliau
dipinggirkan oleh parti.
“Ketika itu
rakan-rakan dalam Pas pula ajak sertai mereka tetapi hati saya tebal
kepada UMNO, walaupun sudah buat istikharah, saya masih ragu-ragu.
“Saya
menjangkakan beliau (Haron) akan mencadangkan saya sertai Pas tetapi
tidak, sebalikya beliau mahu saya terus bersama dalam UMNO kerana nanti
apabila tiba waktunya Pas dan UMNO bergabung dalam bentuk pemikiran,
maka saya ada pada ketika itu. Saya anggap itu sebagai wasiat dan saya
pegang sehingga kini,” katanya.
Ahmad Zahid
berkata demikian dalam program Wacana Kepimpinan Kerjasama UMNO dan Pas
Bagan Datuk, Sejauh Mana? yang turut disertai Yang Dipertua Pas Kawasan
Bagan Datuk, Misbahul Munir Masduki di Dewan Utama Kompleks UMNO Bagan
Datuk di sini semalam.
Ahmad Zahid yang juga
Ketua UMNO bahagian berkata, sebenarnya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14
(PRU-14) lagi ada rundingan untuk kerjasama Pas dan UMNO tetapi Pas
membuat keputusan untuk bersendirian.
Menurutnya,
beliau melihat kekalahan BN pada PRU-14 disebabkan pertandingan tiga
penjuru dan mengakui kesilapan itu disebabkan gagal membuat keputusan
muktamad kerjasama antara kedua-dua parti.
“Ketika
itu perbincangan mengenai kerjasama UMNO-Pas gagal dimeterai kerana
rundingan hanya melibatkan kepemimpinan peringkat atasan kedua-dua
parti tetapi tidak dalam kalangan kepemimpinan peringkat negeri dan
kawasan.
“Kini pemimpin UMNO dan Pas benar-benar ikhlas bekerjasama demi Islam, Melayu dan negara,” katanya.-U/M
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.