Melayu tentukan nasib PRK DUN Semenyih?
PILIHAN Raya
Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Selangor, menjadi
perbualan hangat dalam kalangan ahli-ahli politik. Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calonnya pada 26 Februari dan
hari mengundi pada 2 Mac ini. PRK ini diadakan berikutan penyandangnya
meninggal dunia pada 11 Januari 2019.
PRK DUN Semenyih adalah PRK yang keempat diadakan
di Selangor selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan kedua dalam
tahun 2019. Sebelum ini, tiga PRK telah diadakan di Selangor iaitu DUN
Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong dan Parlimen Cameron Highlands di
Pahang. Ketiga-tiga PRK bagi DUN di Selangor dimenangi oleh PH dan
Parlimen Cameron Highlands dimenangi oleh BN.
Jumlah
pengundi berdaftar bagi DUN Semenyih adalah sebanyak 54,503 pengundi.
Dalam jumlah itu, jumlah pengundi Melayu merupakan terbesar iaitu 36,857
(69.2 %), Cina 8,939 (16.8%) dan India 7,062 (13.3%).
Memandangkan
peratusan jumlah pengundi Melayu melebihi jumlah pengundi bukan Melayu,
maka pandangan secara kasarnya, undi Melayu dilihat sebagai undi yang
mampu menentukan keputusan PRK Semenyih.
Pada
PRU-14, calon daripada Pakatan Harapan (PH) yang mewakili Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM), pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad, menang
kerusi ini dengan majoriti 8,964 apabila memperoleh 23,428 undi. Beliau
menewaskan calon BN, Pas dan PSM dalam persaingan empat penjuru.
Rekod
keputusan PRU-12, 13 dan 14 menunjukkan bahawa BN mempunyai penyokong
tegar seramai 15,000 pengundi dan Pas memiliki 7,000 pengundi di DUN
Semenyih. Malah, Pas pernah memperoleh 6,966 undi pada PRU-14.
Jadi,
meskipun calon PH menang dengan majoriti yang agak besar pada PRU-14,
tetapi sekiranya undi Pas dicampurkan dengan undi BN, maka calon PH
hanya menang dengan majoriti lebih kurang 1,000 undi sahaja.
Kerjasama
politik BN dan Pas di Cameron Highlands telah menghasilkan kemenangan
buat BN. Kejayaan gabungan strategik ini telah mengorak langkah baru
bagi Pas dan BN terus bersatu menentang PH dalam PRK Semenyih. Dengan
itu, Pas memberi laluan kepada BN menentang calon PH .
Dalam
pada itu, analisa pola pengundian menunjukkan bahawa calon PH
mengalahkan calon BN pada PRU-14 kerana sebahagian besar pengundi India,
yang biasa menyokong BN, dan sebahagian pengundi Melayu ‘atas pagar’
dikesan mengalih sokongan mereka kepada calon PH.
Dengan
sokongan hebat itu, calon PH memperoleh 23,428 undi berbanding dengan
hanya 14,464 undi oleh calon BN. Selain itu, calon PH menang DUN
Semenyih pada PRU-14 kerana tercetusnya gelombang perubahan yang
mempengaruhi minda pengundi untuk mengubah kerajaan.
Malah,
sebahagian besar pengundi India dan Melayu mengalih sokongan kepada PH
kerana tertarik dengan Manifesto PH, yang menjanjikan pelbagai kemudahan
kepada rakyat untuk meringankan kebebanan kos sara hidup.
Namun,
medan politik telah banyak berubah selepas PRU-14. Malah rakyat, yang
meletakkan PH di singgahsana Putrajaya, dilaporkan kecewa kerana
kebanyakan janji-janji PH yang dibuat pada PRU-14 bukan sahaja belum
dilunaskan.
Malah kepemimpinan utama PH
mengaku bahawa PH tidak mampu menepati semua janji-janji tersebut. Pada
hal, Manifesto PH pada PRU-14 disediakan semata-mata untuk meraih
sokongan rakyat kepada PH untuk menjatuhkan BN.
Sehubungan
itu, sokongan orang Melayu kepada kerajaan PH berdasarkan kajian
dijalankan baru-baru ini menunjukkan hampir 60 % orang Melayu menolak
PH. Penolakan ini adalah kerana kerajaan PH kononnya gagal melunaskan
janji-janji politiknya.
Malah sebahagian
besar pengundi Melayu mendakwa Putrajaya kini dikuasai DAP yang kononnya
mampu menyebabkan terhakisnya kedaulatan hak-hak politik orang Melayu
dan agama Islam.
Memandangkan majoriti
pengundi DUN Semenyih adalah orang Melayu, maka persepsi orang Melayu
terhadap kerajaan PH dijangka akan diterjemahkan dalam pengundian PRK
nanti.
Kalau orang asli menentukan keputusan PRK Cameron Highlands, maka orang Melayu dijangka akan menentukan keputusan PRK Semenyih.
Soalanya, apakah kerjasama Pas dengan BN mampu mengalahkan calon PH, seperti yang mereka lakukan di PRK Cameron Highlands?
Apakah
PH mampu mempertahankan serangan yang bakal dilancarkan oleh gabungan
strategik BN dan Pas atau mungkinkah PH akan tersungkur lagi pada PRK
ini?
DATUK M. PERIASAMY ialah penganalisis politik.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.