Sebab itu apabila ucapan selebriti terkenal, Oprah Winfrey dalam Golden Globes awal Januari lalu mengandungi banyak sindiran terutama sekali senario politik AS, ramai yang membuat andaian beliau akan bertanding pilihan raya Presiden pada 2020 sebagai pencabar kepada penyandang, Donald Trump.

Tidak menghairankan juga apabila muncul gambar selebriti Malaysia yang berlatar belakang papan tanda Semenyih, maka heboh andaian beliau yang mempunyai jutaan pengikut dalam media sosial akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih pada 2 Mac ini.

Ramai berjaya

Telah terbukti ramai selebriti yang menceburi politik berjaya mencapai matlamatnya tetapi sama ada berjaya menunaikan tanggungjawabnya sebagai pemimpin politik sebagaimana kejayaan dalam dunia hiburan masih boleh dipertikai.

Di AS umpamanya, pelakon filem gred B iaitu Ronald Reagan memulakan karier politik sebagai Gabenor California seterusnya menjadi Presiden selama dua penggal dari 1981 hingga 1989. Atlet bina badan, Arnold Schwarzenegger dan ahli gusti, Jesse Ventura juga sering dikaitkan dengan selebriti dan politik AS. Sama ada ketiga-tiga selebriti tersebut berjaya atau sebaliknya dalam dunia politik adalah kesimpulan yang sentiasa menjadi tanda tanya. 

Bukannya menjadi satu kesalahan apabila selebriti menceburi politik tetapi lazimnya individu tersebut akan mempamerkan kecenderungan berpolitik paling minimum dalam tingkah laku seharian. 

Winfrey umpamanya tidak mengejutkan jika beliau mengambil keputusan untuk bertanding pilihan raya Presiden kerana kecenderungan mengeluarkan kenyataan berbaur politik adalah begitu nyata sekali. Begitu jua Winfrey begitu aktif dalam aktiviti sosial membela golongan minoriti kurang bernasib baik dan tatacara seperti ini adalah prasyarat utama selebriti yang ingin berjaya dalam karier politik.

Menjelang pilihan raya Presiden AS pada 2020, setakat ini agak ramai selebriti sama ada secara bersungguh atau berseloroh mempamerkan kesediaan untuk bertanding antaranya Kanye West, Roseanne Barr dan Chris Rock. Kebolehan selebriti ini untuk memikul tanggung jawab sebagai Presiden mahupun ahli politik biasa sememangnya sukar diramalkan.

Faktor

Senario politik semasa adalah faktor utama dan lebih spesifik lagi disebabkan dorongan cara tadbir urus di bawah Trump yang dianggap sebagai agak kucar kacir. Mengapa rakyat yang mempunyai kuasa mengundi merasa teruja apabila ada selebriti menceburi politik adalah kerana selebriti tersebut berjaya dalam bidang masing-masing dan persepsinya adalah kejayaan dalam politik juga mampu dicapai. 

Sebab itu dihujahkan, sokongan rakyat bukan sahaja di AS malah juga di kebanyakan negara lain kepada selebriti yang berpolitik adalah kerana wujudnya harapan supaya kepincangan suasana politik dapat diperbetulkan oleh selebriti berkenaan. Umpamanya di AS pada ketika ini di mana ahli politik lebih mengutamakan kepentingan agenda parti masing-masing sehingga kepentingan kelangsungan kehidupan rakyat dilupakan.

Kritikal

Begitu jua di Malaysia, parti politik tidak boleh secara semberono menggunakan status selebriti terkenal hanya untuk meraih undi kerana pengundi masa kini adalah begitu kritikal sekali harapan dan kehendak mereka. Status popular dalam bidang masing-masing hanya dapat membantu sedikit usaha meraih sokongan pengundi dan tidak boleh dianggap sebagai faktor utama untuk menjamin kemenangan.

Secara analoginya jika Winfrey bertanding pilihan raya Presiden AS 2020, sokongan rakyat AS kepada beliau bukan kerana beliau ialah selebriti tersohor tetapi disebabkan aktiviti sosial yang sudah lama diamalkannya. Begitulah juga rakyat Malaysia, penilaian serupa juga digunakan bagi menentukan sama ada selebriti yang menceburi politik bakal membawa manfaat kepada rakyat.