Soal takdir, soal Yang Maha Esa, segala yang berlaku telah tertulis. Sebagai umat Islam, kita perlu beriman kepada qadak dan qadar. Bahawasanya segala yang berlaku telah ditentukan lebih awal. 

PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, DUN Sungai Kandis, DUN Balakong dan DUN Semenyih yang paling terkini, sekali lagi menyaksikan parti-parti bertanding akan berkempen demi kemenangan calon masing-masing. 

PRK ini penting untuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membuktikan kepada rakyat bahawa sokongan kepada kedua-dua pihak semakin kukuh atau rapuh. Kita sendiri sudah menyaksikan bagaimana di PRK Parlimen Cameron Highlands, BN terus mengekalkan kerusi yang mereka menangi semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). 

PRK DUN Semenyih pula sudah tentu menjadi medan bakti dan bukti sama ada pemimpin PH mampu bertahan dengan majoriti selesa atau akan wujud undi protes dalam kalangan rakyat mahupun ahli mereka sendiri. 

Harus diingat PH menerima sokongan yang kuat disebabkan isu semasa dan manifesto menarik yang ditampilkan. Selepas setahun pelbagai alasan diberikan untuk semua manifesto tersebut tidak direalisasikan. 

Kempen memansuhkan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang kini dikenali sebagai Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) sudah pasti memberi tekanan kepada PH untuk mengekalkan kerusi DUN Semenyih. Apa pun, bola tanggung yang diberi oleh PH, pandai-pandailah BN buat pukulan smash. 

Pemilihan calon PH juga sudah pasti menjadi perhatian kerana sebelum ini iaitu pada PRU-14, mereka menggunakan lambang PKR. Rakyat sudah pasti ingin melihat kelibat bendera sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau PKR di kawasan mereka.

Satu perkara harus diingat oleh pihak PH mahupun BN, kempen kali ini sudah pasti dinanti-nantikan oleh kedua-dua pihak untuk memberi yang terbaik dari sudut kempen di luar dan dalam media sosial.

Bagi PH, formula kemenangan seperti di PRU-14 dengan menjanjikan penghapusan tol, pendidikan tinggi percuma dan lain-lain janji lagi sudah pasti tidak akan diulang semula. Apa yang pasti, isu sama melibatkan kerajaan BN seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah pasti bergema semula walaupun kes telah disebut di mahkamah. 

Bagi BN, untuk menang atau kalah bergantung kepada tiga elemen iaitu pertama, kerjasama dengan Pas dan parti komponen yang masih setia. 

Nampaknya kerjasama BN-Pas yang bermula di Seri Setia dan terkini di Cameron Highlands membuahkan hasil dengan kemenangan calon BN, Ramli Mohd. Noor.

Kerjasama kedua-dua parti tersebut sesungguhnya amat dinantikan sejak sekian lama kerana jumlah ahli mereka melebihi lima juta tidak termasuk penyokong. 

Elemen kedua dalam memenangi hati pengundi adalah berjanji secara realistik dan sistematik. Janji populis hanya akan menyebabkan rakyat meluat. Setakat bercadang menghapuskan satu tol belum cukup. Kata orang mengapa sekarang baru hendak mansuhkan satu tol, bukan semua. 

Elemen ketiga yang perlu difahami oleh calon bertanding adalah soal anak tempatan. Semenyih mempunyai banyak penduduk pelbagai bangsa dan keturunan. 

Sensitiviti penduduk dan keperluan mereka perlu diberi perhatian. Jangan semberono meletakkan calon yang bercakap di luar konteks DUN. Apa pun kedua-dua pihak mempunyai kepimpinan yang hebat dan lebih memahami apa yang rakyat perlukan.

Yang pasti PRK DUN Semenyih akan menjadi medan demokrasi terus semarak. Kedua-dua pihak sudah mula bermesyuarat untuk memulakan kempen. Selamat berkempen!