https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pembangkang cemburu keutuhan PH - Mohamed Azmin

HULU LANGAT: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menyifatkan dakwaan bahawa parti itu dan DAP tidak membantu kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, hanyalah propaganda palsu pembangkang.

Mohamed Azmin berkata, propaganda itu dilontarkan kerana pembangkang mencemburui ikatan kukuh antara parti komponen PH.

Beliau berkata, kerjasama itu terutama daripada PKR, juga terbukti dengan kehadiran beberapa pemimpin tertinggi parti berkenaan di Semenyih sejak beberapa hari lalu bagi memberi sokongan kepada calon PH, Muhammad Aiman Zainali.

“Ini propaganda pembangkang yang tidak selesa dengan keutuhan PH. Saya sendiri berada di sini beberapa malam, kecuali tiga hari lalu kerana urusan kerja di luar negara.

“Begitu juga pemimpin lain, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; (Pengerusi Majlis Penasihat PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, semua berada di sini dan kita ada jadual serta kawasan tumpuan tertentu.

“Kita tidak akan terkesan dengan propaganda pembangkang ini kerana mahu Semenyih dipertahankan PH. Kita mahu meneruskan tradisi peduli rakyat yang menjadi dasar Kerajaan Selangor,” katanya kepada pemberita di Kampung Pasir Baru, Semenyih, dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bahawa parti itu tidak boleh dipersalahkan jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kalah pada PRK DUN Semenyih kerana mendakwa DAP dan PKR tidak membantu kempen PH.

Sebelum ini, timbul khabar angin kemungkinan berlaku komplot untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, oleh pihak tertentu dalam PH.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin menegaskan, kempen PH di Semenyih tidak terkesan dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Tidak (terkesan dengan kehadiran Najib). Mereka berhak datang berkempen dan kami juga berhak mencerakinkan kejayaan dinikmati rakyat melalui dasar yang peduli rakyat.

“Ini demokrasi. Saya melihat sokongan rakyat dan pengundi Semenyih masih mantap (kepada PH) untuk memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.