https://critoxium.com/shop/

Terkini

Prk Semenyih : Berubahkah Landskap Politik Negara ?

Oleh Mohammad Agus Yusoff

Kelmarin saya berforum di UKM atas tajuk "Cameron Highlands ke Semenyih: Landskap Politik yang Akan Berubah?"

Kenyataan saya mudah. Saya tegaskan tidak akan berubah selagi mana isu-isu agama dan kaum masih mendominasi politik negara; selagi tidak wujud sistem dua parti yang kukuh; selagi pemimpin kita bercakap tentang perubahan prosedural, bukan substantial; dan selagi reformasi institusi yang rakyat harapkan tidak dilaksanakan oleh kerajaan. 

Menyentuh tentang parti mana yang akan menang di PRK Semenyih, saya katakan PH tidak selesa--sukar untuk menang biarpun tidak mustahil.

Saya memberikan hujah berikut. Pertama, power of incumbency PH sudah hilang kerana kegagalannya menunaikan janji manifesto dan ketidakcekapan kabinet. Kedua, imej dan perpaduan PH yang longgar dan semakin tidak meyakinkan rakyat. Ketiga, banyaknya isu-isu yang berpihak kepada BN, manakala PH pula masih lagi dalam kerangka memainkan isu 1MDB dan RM90 juta serta menyalahkan kerajaan lama. Keempat, kekuatan jentera setiap parti yang bertanding masih hambar, tetapi sekiranya kerjasama UMNO-PAS diteruskan dengan baik, ia memberi kelebihan kepada BN.

Akhirnya, saya jelaskan pertembungan di PRK ini adalah tentang kebijaksanaan rakyat melawan keangkuhan kerajaan.

Rakyat akan bersuara di Semenyih dan menghantar mesej kepada kerajaan PH supaya memberi perhatian kepada menjaga perut mereka.

Hari ini saya terbaca kenyataan di bawah. Saya tegaskan di sini saya tidak pernah menulis atau mengeluarkan kenyataan tersebut di mana-mana forum atau media.

Berpolitiklah, tetapi biarlah secara jujur. Terima kasih

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.