RM90juta: Cuba gagalkan PAS - Umno
Oleh DR MOHD ZUHDI MARZUKI
SELEPAS sahaja Muktamar
PAS tahun 2015 yang berlangsung di Kuala Selangor, antara langkah
terawal yang diambil oleh pasukan strategi PAS ialah untuk menggariskan
hala tuju PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang
bakal berlangsung dua atau tiga tahun selepas muktamar tersebut. Setelah
kumpulan yang buat onar di dalam PAS tersingkir dan kemudian menubuhkan
parti baru, maka PAS ketika itu telah kembali semula kepada matlamat
perjuangan asal PAS iaitu untuk mendaulatkan Islam di bumi Malaysia.
Matlamat tersebut hampir-hampir dihumbankan oleh kumpulan yang buat
onar, setelah mereka tunduk mengalah dengan kehendak DAP yang mahukan
fahaman Islam ala DAP.
Tugas untuk menggariskan hala tuju PAS
ini kemudiannya telah digalas oleh gabungan golongan professional dan
ulamak dalam PAS yang diterajui oleh Almarhum Prof Dr Khazani Abdullah.
Bermula daripada Permukiman AJK PAS Pusat selepas sahaja Muktamar PAS
2015, antara sasaran yang digariskan ialah untuk mengekang kemaraan DAP
yang semakin hampir menguasai negara.
Strategi ‘pecah dan perintah’ yang
dirancang oleh DAP sedikit sebanyak telah menyebabkan politik umat
Islam di negara ini semakin lemah, malah PAS sendiri sebelum Muktamar
PAS 2015 telah berjaya diretakkan. Lebih membimbangkan lagi, DAP bukan
sahaja parti Chauvinis tetapi juga parti yang telah diresapi oleh
Evangelis.
Kelicikan DAP dalam berpolitik telah
menyebabkan mereka menjadi dominan di dalam blok pembangkang (sebelum
terbentuk PH) ketika itu, apatah lagi selepas PAS ‘disingkirkan’ dari
Pakatan Rakyat (PR) dan Anwar Ibrahim dihukum penjara. Menyedari
mengenai dominasi DAP dalam blok pembangkang, maka kami telah merumuskan
parti-parti komponen yang bersama DAP adalah membawa ancaman yang sama
seperti DAP terutama PAN yang sejak dari awal kemunculannya memang
bertindak sebagai tali barut DAP yang berperwatakkan lebai. Selain
daripada parti-parti politik yang bergabung dengan DAP, beberapa NGO
mesra DAP termasuk NGO yang mengaku sebagai cawangan Ikhwanul Muslimin
di Malaysia turut dipantau.
Kemaraan pertama DAP dan gerombolannya
yang perlu disekat ketika itu ialah matlamat mereka untuk menguasai
Sarawak. Strategi DAP dan gerombolannya ketika menghadapi PRN Sarawak
ialah dengan memecahkan kesatuan kaum Bumiputera dan memupuk kesatuan
penganut Kristian. Kaum Bumiputera di Sarawak disatukan di bawah PBB
tanpa mengira keturunan etnik dan agama yang dipimpin ketika itu oleh
Adnan Satim. Maka usaha telah dilakukan untuk meniupkan permusuhan
sesama etnik antaranya dengan momokan satu etnik ditindas oleh etnik
yang lain. Lebih jauh daripada itu, ditiupkan kebencian kepada
Bumiputera dari Semenanjung sehingga lahir slogan Sarawak for Sarawakian.
PRN Sarawak ini adalah cabaran pertama
yang dihadapi oleh kami selepas golongan buat onar dalam PAS tersingkir.
Semasa berada dalam PAS, golongan yang buat onar ini berpendirian tiada
masalah untuk menyerahkan mandat kepada DAP menerajui negeri Sarawak.
PAS yang begitu menyedari kekuatan PAS di Sarawak masih sangat kecil
telah membuat hubungan strategik berbentuk bukan politik dengan beberapa
pihak di Sarawak untuk memastikan kemaraan DAP di Sarawak berjaya
dikekang. Hasil daripada hubungan strategik tersebut, PAS telah memasuki
PRN Sarawak lebih menumpukan kepada memperkukuhkan dakwah khususnya
kepada pengundi-pengundi Islam. Hasilnya kemaraan DAP dan gerombolannya
berjaya disekat.
Cabaran kedua yang bakal dihadapi oleh
kami selepas PRN Sarawak ialah menyekat kemaraan DAP dan gerombolannya
dalam PRU14. Pada ketika itu, retak dalam Umno sudah menjadi belah
sehingga tertubuhnya PPBM. Kami ketika itu telah berusaha agar PPBM
tidak bergabung dengan blok pembangkang yang akan memudahkan lagi
strategi ‘pecah dan perintah’ DAP. Almarhum Dr Khazani antara yang
ditugaskan untuk meyakinkan PPBM tentang bahayanya gabungan dengan DAP,
yang kelaknya akan menjadikan DAP paling berkuasa dalam kerajaan jika
menang PRU14. Beliau telah membentangkan hasil simulasi yang kami buat
dan mula menarik keyakinan wakil PPBM. Bagaimanapun, usaha ini menemui
jalan buntu.
PPBM sebaliknya telah menjadi rakan
kerjasama blok pembangkang sehingga terbentuknya PH. Segala konflik
antara Tun Dr Mahathir dengan pimpinan-pimpinan blok pembangkang
terutamanya Anwar Ibrahim dan DAP berjaya dipadamkan untuk sementara.
Senario ini telah menyebabkan pengundi-pengundi Melayu-Islam terpecah
tiga iaitu penyokong BN, penyokong GAGASAN dan penyokong PH. Dengan
berbekalkan imej Dr Mahathir yang terkenal dengan ultra-Melayu,
gabungannya dengan DAP sedikit sebanyak dapat menggantikan sokongan
pengundi Melayu-Islam yang dibawa oleh PAS dalam PR sebelumnya. Situasi
ini sekiranya tidak ditangani dengan cermat akan menyebabkan kemaraan
DAP tidak dapat disekat.
Melihat kepada senario politik yang
berubah pantas daripada apa yang disasarkan, maka kami ketika itu
mensasarkan perlu ada persefahaman dengan Umno (electoral understanding)
iaitu mengelakkan pertembungan di kerusi-kerusi Parlimen yang berisiko.
Persefahaman ini bukanlah bermaksud kerjasama atau gabungan
memandangkan ia amat sukar diterima di kedua-dua belah pihak. Bagi
melaksanakan persefahaman tersebut, 44 kerusi Parlimen (persempadanan
lama) telah dikategorikan sebagai kerusi yang berisiko, iaitu PAS dan
Umno tidak boleh bertembung. Sekiranya berlaku pertembungan di
kerusi-kerusi itu akan menyebabkan DAP dan gerombolannya memenangi
kerusi tersebut.
Saya yakin strategi ini dapat dicium
oleh pasukan strategi PH, lantaran mereka berusaha sedaya mungkin
menggagalkan sebarang bentuk persefahaman PAS dan Umno untuk mengelakkan
pertembungan di kerusi-kerusi tersebut. Salah satu provokasi yang
dibuat oleh PH ialah PAS dan Umno mahu bergabung, supaya menimbulkan
reaksi negatif di pihak PAS dan reaksi negatif di pihak Umno. Pada
ketika itulah ditimbulkan isu PAS makan dedak Umno RM90 juta. Fitnah ini
telah menyebabkan usaha mewujudkan persefahaman mengelakkan
pertembungan PAS dan Umno di kawasan-kawasan berisiko semakin sukar. Di
dalam PAS sendiri wujud desakan untuk bertanding di mana sahaja Umno
meletakkan calon.
Allah mentakdirkan arkitek yang berusaha
untuk mengekang kemaraan DAP ini dijemput pulang ke rahmatNya lebih
awal sejurus selepas Muktamar PAS tahun 2017. Kehilangan beliau amat
dirasai, kerana beliau antara tonggak penting untuk meyakinkan pimpinan
PAS terutama di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi supaya ada
persefahaman dengan Umno. Saya amat berkeyakinan beliau tidak pernah
menerima dedak daripada Umno, sebaliknya merancang hanya untuk mengekang
kemaraan DAP dan gerombolannya. Saya sendiri yang merupakan pembantu
kuat Almarhum Dr Khazani dalam usaha ini, bukan sahaja tidak menerima
dedak tetapi saya terpaksa bersara dari Universiti Malaya atas tekanan
pihak atasan dalam kerajaan BN.
Hari ini, saya melihat isu RM 90 juta
telah menjadi sejarah atau akademik. Hari ini, PAS sudah boleh
bekerjasama dengan Umno dalam blok pembangkang termasuklah kerjasama
strategik untuk menghadapi PRK-PRK sebelum ini. Program-program anjuran
bersama PAS dan Umno juga sudah semakin diterima di peringkat akar umbi.
Oleh sebab itu, isu RM90 juta ini bukan lagi peluru untuk PH bagi
menghalang persefahaman yang pernah kami usahakan sebelum ini. Dalam
PRU15 akan datang, dengan perkembangan semasa ini, bukan lagi
persefahaman yang boleh berlaku tetapi boleh jadi kerjasama strategik
antara PAS dan Umno serta parti-parti lain. Jika ini berlaku, dengan
izin Allah kerajaan PH pula akan menjadi sejarah dan akademik.
DR MOHD ZUHDI MARZUKI
Pusat Penyelidikan PAS




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.