Serang musuh dengan teknologi maklumat
KEMAMAN: PAS
mengingatkan umat Islam mengenai pengaruh alam siber dan teknologi
maklumat masa kini, yang digunakan oleh musuh bagi menentang Islam.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul
Hadi Awang berkata, teknologi maklumat di zaman ini dipergunakan oleh
musuh-musuh Islam.
Bahkan, katanya tanpa disedari terdapat di kalangan generasi muda menjadi penentang-penentang Islam.
“Teknologi maklumat sangat berpengaruh di zaman ini. Contoh yang terdekat, bagaimana pilihan raya yang lalu.
“Kita menyaksikan orang-orang Islam
khususnya di kalangan generasi muda. Mereka dipengaruhi oleh WhatApps,
alam siber tak sedar menjadi penentang-penentang Islam.
“Dipergunakan oleh musuh-musuh Islam,
sehingga berlaku perubahan politik yang membahayakan umat Islam di tanah
air kita. Apabila pemerintahan didominasikan oleh orang-orang bukan
Islam,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap
merasmikan majlis penutup Ijtimak Siber Malaysia Peringkat Kebangsaan
2019, di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, hari ini.
Menurutnya, lebih malang lagi terdapat di kalangan orang Islam sendiri diperalatkan oleh musuh-musuh Islam.
Sehubungan itu, beliau menyeru mereka yang berada di saf perjuangan ini dan mempunyai kemahiran alam siber mempertahankan Islam.
“Mereka yang berada di dalam saf
perjuangan Islam mesti menggunakan segala kemahiran dan kebolehannya
untuk menyebar dan menegakkan Islam.
“Mereka yang berada di lapangan ini,
yang ada kebolehan mempunyai tanggungjawab untuk menyebarkan Islam,
mempertahankan Islam dan menyerang musuh-musuh Islam dengan teknologi
maklumat,” tegasnya kepada hampir 2,000 peserta ijtimak siber tersebut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang
berkata, teknologi maklumat telah mencetuskan ‘perang’ siber yang
berlaku di dunia hari ini.
“Sehingga dianggap ‘dunia tanpa
sempadan, langit terbuka’. Boleh menyebar apa sahaja ke pelosok dunia
sama ada menyebarkan Islam atau menentang Islam.
“Kita menyaksikan banyaknya kumpulan
yang menentang Islam di seluruh pelosok dunia, melalui alam siber
teknologi maklumat dengan perbagai fitnah.
“Kita menyaksikan pertembungan di alam
siber teknologi maklumat. Serangan ke atas Islam, pemimpin dan
pendukungnya dengan berbagai hujah dan fitnah, untuk memberi kesan
negatif terhadap Islam. Menghina Islam, menjatuhkan Islam dan menakutkan
orang terhadap Islam,” jelasnya.
Dalam masa sama, katanya perkembangan Islam juga berlaku dengan pesat melalui alam siber ke seluruh pelosok dunia.
Beliau berharap agar Ijtimak Siber ini dapat memberi input yang sangat bermakna kepada mereka yang bergerak di alam siber.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.