Siti Kassim ‘mastermind’ Pusat saman Kelantan?
Oleh NAZMAN CHE IBERAHIM
NEGARA bakal
digemparkan lagi dengan pendedahan terbaharu rakaman audio yang didakwa
suara perbualan antara peguam, Siti Kassim atau nama sebenarnya Siti
Zabedah Kassim dengan seorang penduduk Orang Asli dari Gerik, Perak.
Audio tersebut sekali gus bakal memberi jawapan terhadap tujuan serta
motif saman yang telah dikemukakan Kerajaan Pusat diterajui PH terhadap
Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS berkaitan isu Orang Asli Pos
Simpor baru-baru ini.
Pendedahan itu telah membongkar dan
mengesahkan kesangsian banyak pihak terhadap kemungkinan wujudnya
pencatur yang berkomplot mengheret perkara tersebut ke kancah
perundangan. Kini, ia seolah-olah sedang meletakkan Peguam Negara, Tommy
Thomas di kandang pesalah untuk diadili. Apatah lagi terdahulu sebelum
ini hubungan rapat kedua mereka tidak lagi menjadi rahsia apabila rancak
bersama menari ‘twist’ hingga dilihat mencabar etika profesion guaman.
Dari butiran disebut di dalam audio itu
jelas menunjukkan bahawa saman tersebut adalah satu pelan atau
perancangan, di mana sebenarnya bukan berteras pelanggaran undang-undang
oleh pihak Kelantan dalam mengurus hal ehwal atau hak Orang Asli. Malah
ia turut mendedahkan bahawa 'blockade’ yang kononnya dibentengi oleh pemuda Temiar (baca NGO Jaringan) rupanya menjadi sebahagian angkara didalangi ‘mastermind’ luar yang datang menghasut ini.
Kerana sebagaimana terpampang luas di
dada-dada media, peguam itu bersama NGO Jaringan, serta pemimpin politik
dari PH paling kerap dan aktif turun ke Hutan Simpan Hulu Kelantan
‘memperjuangkan’ isu ini. Namun, apakah persekongkolan secara
‘memperalat’ perundangan dan memperdaya masyarakat Orang Asli untuk
sengaja menghukum satu pihak lain itu selaras dengan prinsip keadilan
atau seiring Maqasid Syariah yang diperjuang dan dilaungkankan oleh PH
selama ini?
Ternyata ‘pakatan’ oleh pihak terbabit hanyalah untuk mencipta 'precedent case’ dari
mahkamah bagi mendesak Parlimen menggubal atau meminda suatu
perundangan berkaitan, bagi mencapai agenda lebih besar pihak mereka.
Tetapi tanpa malu mereka telah meletakkan perjawatan dan institusi
penting negara kepada persepsi, pertikaian dan tohmahan yang boleh
mencemar, merendah dan menghilangkan kredibiliti serta wibawa berkaitan
keyakinan terhadap integriti dan keadilan.
Sehubungan itu juga kami menggesa Peguam
Negara meletakkan jawatan atau sekurang-kurangnya bercuti dari terlibat
dalam kes-kes tersebut setelah terpalit oleh skandal dan kepentingan
seperti tersebar ini. Kami juga menggesa siasatan dilakukan pihak
berkuasa dan jika terbukti benar butiran disebut dalam audio itu, maka
bermakna Peguam Negara telah berada di bawah ‘telunjuk’ politik.
Ianya
sesuatu yang amat mengecewa dan memalukan serta menambah lagi titik
hitam sejarah negara.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.