Jangan berbohong kepada dunia
Oleh
Dengan menggunakan lima senapang
semi-automatik, penyerang yang dikenali sebagai Brenton Tarrant, seorang
warganegara Australia, telah membunuh 49 nyawa dan mencederakan
berpuluh lagi.
Tidak diketahui bilangan kanak-kanak yang turut terbunuh
atau tercedera di dalam peristiwa tersebut. Apa yang lebih menyedihkan
pembunuh telah menyiarkan secara langsung perbuatannya melalui media
sosial. Peristiwa serangan di Chrishurch ini memberi pengajaran kepada
semua pihak.
Pertama, serangan ini merupakan serangan,
dalam istilah kajian terrorisme, lone-wolf (serangan keganasan
perseorangan) yang tidak dikaitkan dengan mana-mana kumpulan pengganas.
Menurut laporan media, walau bagaimanapun,
tindakan pelaku itu telah dicelarukan dengan ideologi yang dibawa oleh
kumpulan-kumpulan white-supremacy (Ketuanan Orang Putih).
Di dalam 74-halaman manifesto yang juga
disiarkan melalui akaun media sosial pembunuh tersebut, tindakan nya
banyak dipengaruhi oleh kata-kata yang dikutip daripada para pemimpin
gerakan sayap kanan seperti Felix Kjelberg, yang menggunakan Youtube
sebagai alat menghina bangsa lain termasuk agama Islam; dan Justiar
Brevik, warganegara Norway yang menyokong ideologi kumpulan ekstremis
Kristian abad ke-12 yang menentang kekuasaan Empayar Ottoman.
Apa yang lebih menarik di dalam manifesto
Brenton Tarrant adalah kepercayaannya bahawa Islam telah disamakan
dengan fascime yag menyebabkan pertumpahan darah di seluruh dunia. Dia
menyalahkan dasar imigrasi yang membawa penyakit sosial dan agama kepada
masyarakat negara Barat. Malah ‘jihad’; pelaku ini telah diperkuatkan
dengan memetik beberapa ayat dalam bahagian Matthew 26:52 kitab Injil
bagi menjustifikasikan tindakannya.
Ketaksuban Ketuanan Orang Putih dan
kepercayaan agama Kristian yang ekstrem membawa kepada pengajaran yang
kedua bahawa terrorisme masa kini dengan jelas tidak boleh dikaitkan
hanya dengan Islam. Walaupun semua agama mempromosikan agenda keamanan,
sikap toleransi dan hormat menghormati, kita tidak dapat mengelak
daripada berhadapan dengan segelintir yang menggunakan agama untuk
bertindak di luar daripada batasan kemanusiaan.
Tetapi menyamakan agama dan pengikutnya
dengan tindakan keganasan atau terorisme adalah satu kesilapan besar.
Para pemimpin dan masyarakat Barat harus sedar bahawa golongan ektremism
wujud dalam semua agama.
Apa yang berlaku di Myanmar, Nigeria dan yang
terbaharu New Zealand merupakan bukti yang jelas. Malah, Perdana
Menteri New Zealand, Jacinde Kate Laurell, sendiri telah melabelkan
insiden yang berlaku sebagai satu perbuatan terrorisme.
Akhir sekali, akibat kegagalan mengenalpasti
bahawa kegiatan terrorisme adalah merentas semua agama, wujudlah
kealpaan di pihak berkuasa keselamatan terutamanya di dalam fokus mereka
mengumpul maklumat risikan.
Menurut laporan media, penyerang Brenton
Tarrant, bukanlah mereka yang termasuk dalam senarai orang bahaya kerana
ketiadaan rekod jenayah yang berkaitan. Tetapi para pengkritik New
Zealand menegaskan, perkara ini timbul kerana badan perisikan negara
tersebut hanya memberi fokus kepada komuniti Islam sebagai sasaran
risikan mereka.
Pihak berkuasa keselamatan enggan menerima
hakikat dan lupa bahawa pergerakan Ketuanan Orang Putih juga telah lama
menjadikan New Zealand sebagai pusat pergerakan mereka selain di Amerika
Syarikat (AS). Komuniti Islam dan migran sering menjadi sasaran
serangan kecil di Christchurch. Di AS, kumpulan pihak berhaluan kanan
ini sering dikaitkan dengan insiden seperti pembakaran kitab al-Quran
dan siri serangan terhadap masyarakat Islam, kulit hitam dan pendatang.
Oleh itu, para pemimpin dan masyarakat Barat,
harus belajar dan mengambil iktibar daripada peristiwa ini. Walaupun
ada dalam kalangan mereka cuba menafikan kaitan serangan ini dengan
idelogi ekstremisme Kristian dan pergerakan Ketuanan Orang Putih, mereka
sudah tidak lagi boleh berbohong kepada dunia bahawa pertama Islam
bukanlah agama keganasan, dan kedua perilaku dan keganasan juga wujud
dalam semua agama.
Mereka seharusnya cuba mencari strategi dan
titik kesefahaman untuk menolak sebarang ideologi politik atau
pergerakan keganasan yang menggunakan agama sebagai alat perjuangan
mereka.
* Kamarulnizam Abdullah ialah
Profesor Keselamatan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa, dan
Felo Kanan di Institut Penyelidikan Indonesia, Thailand, dan Singapura
(ITS), Universiti Utara Malaysia, Sintok
Post Comment
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.