https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ketegasan Menteri Besar Negeri Sembilan wajar dicontohi

1. Ketegasan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun yang sedia melepaskan jawatannya sebagai Presiden Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) sekiranya larangan jualan arak di premis itu baru-baru ini ditarik balik adalah suatu sikap terpuji dan wajar dicontohi oleh semua pemimpin. Beliau telah membuat keputusan yang tepat tanpa ragu-ragu bagi menjaga kepentingan umat Islam di negeri itu. 

2. Saya menyeru agar pemimpin kerajaan yang beragama Islam dan bertaraf Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri Selangor agar mencontohi sikap Aminuddin Harun itu. Ketegasan beliau memperlihatkan sikap sebenar pemimpin umat Islam yang tidak berkompromi dengan perkara mungkar walaupun tidak disukai oleh ahli-ahli kelab atau masyarakat lainnya. Beliau sanggup hilang jawatan sebagai Presiden Kelab Eksklusif itu daripada tunduk dengan kemahuan dan bertentangan dengan prinsip yang diperjuangkannya itu.

3. Sebagai Menteri Besar di sebuah negeri yang majoriti penduduknya beragama Islam, Aminuddin berhak melarang penjualan arak di kawasan terbabit. Beliau telah pun memberikan alasan yang kukuh iaitu kerana kelab tersebut terletak di kawasan yang dikelilingi taman perumahan dan perkampungan yang majoriti penduduknya orang Melayu dan Islam. Selain itu terdapat juga masjid berhampiran dan kedudukan beliau sebagai pengerusi Jawatankuasa Bertindak Agama Islam Negeri Sembilan (Exco Agama Islam). Sudah tentu ia mencemar kedudukan beliau sebagai Exco Agama Islam namun gagal membendung jualan arak yang beliau sendiri menjadi presiden kelab tersebut.

4. Sepatutnya sebagai ahli-ahli kelab mereka patut akur dan faham dengan keputusan Presiden SIGC dan merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan. Sebagai MB, Aminuddin mempunyai autoriti bagi menjaga maslahat rakyat di negeri terbabit agar tidak timbul masalah lain di kemudian hari. Mereka perlu berfikir bahawa sebarang bantahan boleh menimbulkan implikasi ke atas pengurusan kelab lebih lagi jika Menteri Besar meletakkan jawatannya sebagai Presiden kelab SIGC.

5. Malah tindakan ahli-ahli kelab yang membantah larangan jualan arak itu dan akan mengadakan satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) mengenainya dianggap biadap. Mereka tidak menghormati ketua kerajaan Negeri Sembilan dan lebih mementingkan diri sendiri. Sedangkan jika tiada jualan arak pun, aktiviti kelab masih boleh berjalan dengan baik tanpa menjejaskan sebarang kesan pun kepada diri mereka.

YB MOHD FAKHRULRAZI MOHD MOKHTAR
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI MERU
SELANGOR DARUL EHSAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.