https://critoxium.com/shop/

Terkini

Maszlee: Semua universiti jangan gentar kutuk serangan pada siswa UM

KUALA LUMPUR, 24 Mac — Semua Naib Canselor universiti wajar mempamerkan sikap mengutuk tindakan tidak beradab sekumpulan individu yang menyerang mahasiswa dan tidak boleh gentar dan takut dalam menyatakan kebenaran atas nama prinsip keluhuran sebuah gedung ilmu bernama universiti.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata pihak pengurusan universiti perlu sentiasa mendukung pendirian dan kebebasan mahasiswa asalkan tidak bertentangan dengan undang-undang negara dan peraturan universiti.

“Adalah tidak wajar untuk pihak pengurusan universiti menunjukkan sikap tidak jelas dan mengambil jalan selamat sedangkan mahasiswa diserang oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Maszlee juga menegaskan kejadian yang berlaku beberapa hari lalu itu boleh berulang di kampus lain jika semua mengambil sikap sambil lewa.

“Semua Naib Canselor khasnya wajar mempamerkan sikap mengutuk tindakan tidak beradab sekumpulan individu yang menyerang mahasiswa ini.

“Kita tidak boleh gentar dan takut dalam menyatakan kebenaran atas nama prinsip keluhuran sebuah gedung ilmu bernama universiti,” katanya.

Jumaat lalu, tercetus insiden tolak menolak antara mahasiswa Universiti Malaya (UM) dan penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sebuah perhentian bas di Pantai Baharu, di sini.

Semasa kejadian, Najib sedang menyampaikan ucapan kepada sekumpulan pelajar di sebuah restoran terletak berhadapan perhentian bas berkenaan.

Polis mengesahkan menerima 12 laporan berikutan insiden itu.

Sementara itu, Universiti Utara Malaysia (UUM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan yang didakwa ala ‘samseng’ ke atas mahasiswa UM Jumaat lepas, kata Naib Canselornya, Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani.

Mengulas kebimbangannya berhubung insiden itu, Ahmad Bashawir berkata kejadian itu adalah serangan terhadap kebebasan bersuara dan demokrasi yang dipertahankan oleh kerajaan Malaysia.

“Universiti berpendapat pelajar institusi pengajian tinggi patut dibenarkan untuk menyatakan pandangan dan perasaan mereka secara aman. Mereka harus diberi peluang dan ruang untuk melaksanakan hak mereka dalam kebebasan bersuara dan mengadakan perhimpunan aman dalam batas kesopanan dan menghormati,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Bashawir juga menggesa agar mereka yang melakukan kesalahan itu disiasat dan mereka yang terbabit dalam perlakuan jenayah itu, dikenakan tindakan undang-undang.

“Kami ingin menghantar mesej yang jelas bahawa perbuatan penganiayaan yang tidak bertamadun tidak akan diterima di kampus UUM. Kami juga menggesa pihak berkuasa yang berkenaan untuk memberikan bantuan yang diperlukan kepada pelajar yang terjejas dan mengambil tindakan undang-undang segera terhadap pelaku sekiranya kesalahan mereka berjaya dibuktikan,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.