Dari mula hingga akhir, kerjaya seorang pesawah akan sentiasa dibantu
subsidi. Justeru subsidi sudah sebati dan mendarah daging. Ia berakar
umbi selama berdekad-dekad.
Semasa proses pemilihan benih padi,
petani dibantu mendapatkan benih yang baik. Jika mahu mendapatkan benih
di pasaran luar, petani terpaksa berbelanja sekali ganda lebih tinggi
berbanding harga subsidi ditawarkan syarikat memonopoli pembekalan
benih.
Setelah benih padi ditabur, sementara menunggu ia membesar
benih itu perlu dibaja dan diracun. Semua baja dan racun adalah baja
dan racun subsidi.
Setelah tiba musim menuai, petani sekali lagi
mendapat subsidi harga padi. Setiap tan metrik padi yang dikumpulkan,
petani akan mendapat subsidi sebanyak RM360.
Kali ini, kadar itu
meningkat RM60 berbanding apa diberikan kerajaan lama. Bagi petani,
kenaikan harga subsidi padi itu tidak memberi makna besar.
Kenaikan itu diiringi dengan kenaikan pemotongan hasil padi hingga 20 peratus setan.
Pengurangan subsidi baja dan racun pada kali ini tidak boleh diterima, apa pun alasan yang diberikan oleh kerajaan.
Tiada bunga manggar atau kompang
Tengah
hari itu, setiausaha sulit menteri pertanian menghubungi saya untuk
memaklumkan Pak Menteri akan hadir ke tempat saya keesokan hari.
Katanya Pak Menteri sendiri mahu menjelaskan masalah baja subsidi kepada petani.
Sesekali
saya tertanya juga: di mana media, jentera kerajaan dan fungsi serta
keberkesanannya sehingga menteri sendiri perlu memberi penjelasan? Saya
tanya saja.
Memang kami tidak perlu menyediakan bunga manggar
atau pasukan kompang untuk menyambut Pak Menteri. Segala persiapan
dilakukan oleh agensi kementerian.
Biasanya memang begitulah, arahan menteri ibarat mantera yang mesti dipatuhi oleh kakitangan kerajaan.
Demonstrasi
petani beberapa hari sebelum itu mengesankan hati Pak Menteri. Apatah
lagi ada video yang menyiarkan rayuan Mak Cik Sitah yang berusia 72
tahun itu yang mahu bertemu dengan Pak Menteri.
Mak Cik Sitah
mahu menyatakan sendiri permasalahannya sebagai petani kepada Pak
Menteri. Ia bukan lakonan atau dibuat-buat. Bukan juga sandiwara. Mak
Cik Sitah seperti juga Wak Ibas dari Sungai Besar yang menyerahkan surat
kepada Pak Menteri sewaktu pelancaran Hala Tuju Kementerian Pertanian
dan Industri Asas Tani di Putrajaya.
Seminggu dua ini, saya
berhubung sendiri dengan Pak Menteri dan pengerusi Lembaga Pertubuhan
Peladang tentang isu baja dan racun subsidi.
Ketua-ketua kampong
di Pasir Salak mengeluh. Panas telinga mereka di warung kopi mendengar
kutukan dan kata perli anak-anak kampung.
Leman anak arwah Pak Lebai Din pun bercakap.
Antara orang ramai dan kakitangan kementerian yang hadir di majlis menteri
"Bang,
takkan tak boleh tolong kitaorang? Kan menteri tu kawan abang?" kata
Leman yang sekarang jadi ketua kampung berkongsi rasa dengan saya.
Begitulah
perkiraan mudah orang biasanya. Asalkan rapat dengan menteri,
segala-galanya akan jadi mudah. Keyakinan bahawa menteri adalah lampu
Aladin sudah tertanam dalam benak masyarakat Melayu khususnya.
Jika bukan pun lampu Aladin, menteri itu boleh juga diibaratkan seperti karung duit dan malaikat pembawa rezeki.
Anehnya dalam era Malaysia Baru, menteri pula seakan kehilangan kuasa sakti yang dimiliki oleh menteri-menteri yang lalu.
Baju sudah basah
Pak Menteri tidak seangkuh dan seganas seperti yang dibayangkan dahulu. Pak Menteri ini sangat terbuka, diplomasi dan mesra.
Semua
permintaan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan hendak dipenuhi.
Itu tidak mungkin. Pak Menteri wajar bermantera sakti.
Tengah
hari panas bahang itu, Pak Menteri berjalan dari pejabat Pertubuhan
Peladang Kawasan Seberang Perak ke stor simpanan baja yang agak jauh.
Pak
Menteri diiringi ketua setiausaha kementeriannya dan puluhan pegawai.
Sekali pandang, macam rombongan hendak menghantar pengantin pun ada.
Dalam
perjalanan itu Pak Menteri sempat singgah menyapa orang ramai yang
berada di kedai berdekatan. Dia bersalaman dan bersembang. Memang
begitulah cara ahli politik meraikan orang ramai.
Entah
berapa kali Pak Menteri berhenti, bersembang sebelum sampai ke pentas
utama. Pak Menteri periksa kampit baja yang baru sampai dari kilang
Nafas di Gurun.
Baja itu mesti sampai ke situ sebelum Pak Menteri sampai. Yang berswafoto pun ada.
Penat saya memerhati. Basah sudah baju dengan peluh dek terik matahari.
Ini
adalah kali kedua Pak Menteri datang ke tempat kami sejak kerajaan baru
tertubuh. Kali pertama, dia datang selepas kami jemput. Kali kedua ini,
Pak Menteri datang sendiri.
Ucapannya ringkas dan bersahaja, tetapi sarat dengan makna - kepada petani dan juga kepada dirinya sebagai menteri.
Beberapa
jurugambar meletakkan kemera dan memfokuskan kepada setiap butir kata
dan riak wajah Pak Menteri dan juga yang mendengar ucapan menteri.
Selepas
itu ada majlis simbolik penyerahan baja dan racun sabsidi kepada
wakil-wakil petani. Majlis diakhir dengan makan tengah hari. Ada ikan
haruan dan udang galah. Tetapi itu bukan ikan dan udang dari kampung
yang airnya sudah sarat dengan racun kimia.
Pakat ramai-ramai masuk bendang
Ia ibarat sebuah kehidupan yang hilang pertimbangan akal fikiran. Segalanya macam mahu dipolitikkan.
Seusai
majlis itu, Pak Menteri mahu pergi tengok bendang Mak Cik Sitah. Lalu,
berderetan kereta membuntuti kereta Pak Menteri, lalu di lorong tanah di
tengah sawah Seberang Perak.
Bagai sukan lumba kereta di kampung. Berterbangan debu-debu. Memang filem Hindustan.
Pak
Menteri keluar dari kereta ‘roti john’ hitam milik kerajaan dan
menyingsing seluar. Dia tanggalkan stokin dan kasut kulit hitamnya.
Awalnya
saya hanya tengok saja. Kemudian beberapa pegawainya pun mula buka
kasut dan membenamkan kaki ke lumpur berselut. Seorang demi seorang.
Ramai juga yang mengambil foto adegan kaki berselut tanah bendang.
Saya
pun rasa bersalahlah pula. Sebagai orang tempatan dan membesar di
kelilingi bendang, tidak manis pula jika saya tidak turut turun menyapa
selut.
Akhirnya saya beralah dan terpaksa turun bersama Pak Menteri dan para pegawainya.
Gambar fail
Tidak
beberapa lama, foto Pak Menteri dan kami pun tular ke seluruh pemilik
telefon pintar milik orang pintar dan tidak pintar. Segera dikomen dan
dipuji dengan segala macam fikiran.
Ada sinis mengatakan bahawa
itu hanyalah lakonan politik murahan. Ada yang kutuk lebih teruk. Ini
kerana kita sudah lama diasah bakat dan kemahiran mengutuk dan memerli.
Tidak
dinafikan wujud juga suara menghargai tindakan segera Pak Menteri yang
ikhlas, tetapi pada masa sama ada juga membodek. Itu lumrah alam politik
yang sarat kepura-puraan. Kehidupan yang organik semakin hilang.
Masyarakat
petani kita berkembang hidupnya dengan baja subsidi sekian lama. Baja
kimia. Bukan baja organik seperti digunakan Wan Empuk dan Wan Malini
berhuma dahulu.
Gambar fail
Masyarakat petani kita membangunkan hidupnya dengan racun sabsidi sekian lama. Racun kimia. Bukan alang-kepalang racunnya.
Dibunuh
segala rumput-rampai dan serangga perosak. Hingga sepat, keli dan
haruan tidak lagi dapat bernafas dalam bendang yang jernih dan bening
itu.
Masyarakat petani hidupnya dengan segala macam kemudahan yang
pelbagai. Tuhan kurniakan tanah subur. Kerajaan bantu petani kerana
merekalah benteng kedua pertahanan negara selepas tentera.
Sawah bendang masyarakat petani adalah kubu negara. Pengeluaran padi adalah persoalan keselamatan makanan negara.
Masyarakat
Malaysia tidak mampu berjuang mempertahankan kedaulatan negara dengan
perut yang kosong nasi. Perut masyarakat Malaysia adalah perut jenis
nasi.
Masyarakat perlu dibina dengan kehidupan yang organik.
Kembali kepada keupayaan diri sendiri. Tapi jangan dikerat subsidi
mendadak.
Perut dan otak sabsidi memang begitu fikirannya. DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.
Mak Cik Sitah nak jumpa menteri
Reviewed by editorreformis
on
Mac 09, 2019
Rating: 5
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.
Saya tertarik dengan pendedahan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025...
Bicara Islam
Comments
Recent Comments:
Recent Posts
Email
Teknologi
Wawancara
Notis
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.