MCA perlu berdikari
Berikut adalah
wawancara Mingguan Malaysia bersama bekas Presiden MCA, Tan Sri Dr.
Chua Soi Lek berhubung kerjasama MCA bersama UMNO dan MIC dalam BN.
MINGGUAN: Berdasarkan situasi politik semasa, adakah kerjasama antara parti komponen dalam BN masih relevan?
SOI LEK: MCA seharusnya
keluar daripada BN, sokongan kaum Cina kepada MCA dan BN kian merosot
sejak 2008, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pula mereka kehilangan
kuasa sebagai parti pemerintah. Kita perlu mengkaji punca MCA dan BN
yang dahulu kukuh dan mempunyai prestasi cemerlang tetapi hari ini orang
Cina tidak mahu sokong lagi. Ini kerana, DAP berjaya meraih sokongan
masyarakat Cina, India dan sebahagian orang Melayu di bandar kerana
kepimpinan UMNO dianggap rasuah, sombong, salah guna kuasa dan tidak
tahu menghormati pemimpin parti komponen BN lain. Saya sudah menjadi
wakil rakyat lebih 30 tahun sejak 1986 hingga bersara, perubahan sikap
UMNO semakin ketara. Mereka tidak begitu sensitif dan tidak boleh saling
bantu membantu. Mereka terus menghina parti komponen lain seperti
dilakukan Datuk Seri Nazri Aziz, jadi ini yang dieksploitasi oleh DAP.
Selain itu, masyarakat Cina melihat peranan
MCA dalam BN hanya sebagai pak turut dan gagal menjaga kepentingan
negara dan kaum Cina. Faktor ini digunakan oleh DAP dengan menuding jari
terhadap semua masalah disebabkan BN dan kelemahan MCA.
Jika MCA keluar BN adakah mampu meraih semula sokongan kaum Cina?
SOI LEK:Ini berlaku
disebabkan pengundi mahu menukar kerajaan ketika PRU Ke-14 dan selepas
tukar sokongan rakyat sudah pasti tidak kembali secara automatik.
Selain itu, jika MCA keluar BN, sokongan kaum Melayu kepada mereka juga
akan turun. Bagaimanapun, pada pandangan saya MCA kena keluar BN dan
berani berdikari, jika terus bersama-sama UMNO dan kemudiannya UMNO
menjalin kerjasama dengan Pas, MCA akan mati lebih cepat kerana tidak
mendapat sokongan masyarakat Cina.
Pemimpin Pas ada hak menjaga umat Islam dan
Melayu tetapi janganlah sampai menguris hati bangsa lain, jika dilihat
beberapa kenyataan yang dikeluarkan Pas sebelum ini seperti lebih baik
negara dipimpin orang Islam yang rasuah berbanding dipimpin bukan Islam
yang bersih dan cekap tidak boleh diterima orang lain. Perkara ini juga
menunjukkan orang bukan Islam dianaktirikan. Apabila berlaku isu ini,
DAP akan muncul tanpa perlu bekerja bersungguh-sungguh.
Tetapi jika BN bekerjasama dengan Pas, sudah pasti MCA peroleh kelebihan terutamanya di kawasan majoriti pengundi Melayu.
SOI LEK:Itu di kawasan
Melayu, bagaimana kawasan Cina? Orang Cina tetap akan tolak Pas, bukan
sebab agama. Orang Cina tiada masalah dengan Islam sebab pernah sokong
BN dahulu. Isunya mereka sombong, tidak menghormati sensitiviti dan
keluarkan pandangan menguris hati orang lain.
Dalam PRU Ke-13 Pas bersama DAP dalam
Pakatan Rakyat (PR), kenapa masyarakat Cina boleh menerima kerjasama
ini berbanding BN dan Pas?
SOI LEK: Ini disebabkan
masyarakat Cina hendak menukar kerajaan kerana sudah bosan dengan UMNO
dan BN, kalau lihat situasi sekarang DAP pun sudah tidak berani bersama
Pas.
Pestasi Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong sebagai Presiden MCA ?
SOI LEK: Tidak dapat
dinafikan beliau berjaya memainkan peranan ini tetapi malangnya hanya
beliau seorang sahaja berjuang. MCA perlu berjuang sebagai satu parti
pembangkang bukan hanya bergantung kepada Ka Siong.
Bagi saya, setakat ini beliau berjaya sebagai
pemimpin yang memainkan peranan sebagai pembangkang biar pun dari sudut
lain rakyat hanya nampak UMNO lebih menonjol. Namun sekarang rakyat
melihat hanya Datuk Seri Najib Tun Razak menonjol dalam UMNO dan
mewakili UMNO sebagai suara pembangkang, jadi dimanakah pemimpin UMNO
yang lain? Kenapa tanggungjawab yang besar ini diserahkan kepada Najib
sahaja.
Mesej Tan Sri kepada MCA?
SOI LEK: Masalah MCA
sekarang mereka berpuak-puak, jika ditanya kepada akar umbi mereka
mengakuinya tetapi kepimpinan MCA menafikannya, malah sehingga kini nama
saya masih menghantui mereka biar pun saya sudah bersara. MCA tidak
seharusnya hanya menumpu perhatian terhadap isu kaum Cina tetapi turut
sama memperjuangkan isu semasa melibatkan semua kaum. Biar pun
berteraskan kaum Cina, mereka perlu menonjolkan ciri-ciri Malaysia,
dengan tidak hanya menyentuh isu berkaitan sekolah aliran cina, kampung
Cina dan tokong. Biar pun, isu ini penting mereka juga perlu menyentuh
isu berkaitan semua rakyat Malaysia.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.