https://critoxium.com/shop/

Terkini

Bahaya 'wartawan rakyat' tak beretika

Oleh Mohd Johari Ibrahim

SELARAS dengan kemajuan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), dunia melihat kepada perkembangan tanpa batasan penyertaan masyarakat dalam paparan dan penyampaian maklumat terutama dalam media sosial.

Bermula di Amerika Syarikat, kini konsep itu berkembang ke seluruh dunia menyaksikan kegilaan penggunaan teknologi ICT terutama di platform media sosial seperti blog, Twitter, Facebook, Instagram, Telegram dan WhatsApp, antara yang popular.

Kewujudan platform ini sekali gus membuka ruang demokrasi yang amat luas kepada komuniti dalam urusan penyampaian maklumat.

Berlumba-lumba sebar maklumat

Di Malaysia, sama ada sedar atau tidak, keterbukaan itu mewujudkan konsep ‘kewartawanan rakyat’ atau ‘kewartawanan komuniti’. Konsep ini berkembang selaras dengan naluri manusia yang mahu berkongsi maklumat di tambah pula dengan perkembangan infrastruktur dan gajet
seperti telefon pintar yang memudahkan aktiviti itu.

Ramai orang ingin menjadi yang pertama melaporkan apa sahaja. Buka laman media sosial terutama Facebook dan Instagram, akan berjumpa dengan segala maklumat baharu sama ada berkaitan dasar kerajaan, perniagaan, personaliti hatta cerita ‘dalam kelambu’ orang lain dipaparkan.

Ada juga yang mewujudkan kumpulan tertentu atau popular dengan istilah cyber trooper atau ‘tentera siber’ yang tugasnya menyebar luas sesuatu maklumat atau hantaran dan memberi komen tertentu kepada isu tertentu.

Setengahnya pula, soal betul atau tidak menjadi perkara kedua, asalkan maklumat disebarkan dahulu. Pukul dahulu tanya kemudian, kata sesetengah orang.

Penulisan perlu beretika, bermaklumat

Pada asasnya, konsep kewartawanan rakyat adalah sesuatu yang baik apabila masyarakat memainkan peranan yang aktif dalam mengumpul, menulis, menganalisis dan melaporkan berita dan maklumat, asalkan ia benar dan beretika.

Ini juga lambang keterbukaan dengan pembabitan masyarakat dalam media secara bebas, tepat, relevan selaras dengan demokrasi yang diamalkan di negara ini. Yang menjadi isu ialah maklumat separuh benar atau tidak benar dan sengaja memainkan sentimen negatif untuk ‘memancing’ komen orang ramai.

Apa yang membimbangkan ialah apabila rakyat tidak sedar bahawa konsep kewartawanan rakyat itu wujud menyebabkan mereka tidak cukup prihatin dan berhati-hati dengan mesej yang mahu disampaikan.

Setiap ‘wartawan rakyat’ sebenarnya perlu mengetahui etika berkomunikasi atau sekurang-kurangnya tahu asas undang-undang jenayah dan fitnah kerana isu yang mereka paparkan adalah serius dan memberi kesan mendalam kepada banyak pihak.

Keperluan kepada pengetahuan etika dan perundangan datang bersama dengan kewujudan konsep kewartawanan rakyat itu sendiri, sama ada secara formal atau sebaliknya.

Salah guna media sosial

Malangnya, berdasarkan kepada banyak hantaran di media sosial pada masa ini, kita boleh melihat sebahagian besar pengguna masih menganggap kemudahan itu sebagai ‘pusat gosip’ atau ‘kedai kopi’ terbuka yang membolehkan apa saja dibicarakan tanpa tapisan.

Ini sesuatu yang malang kerana mahu atau tidak mahu, wartawan rakyat sepatutnya terikat dengan etika pelaporan maklumat dan berita serta undang-undang tertentu.

Akibat tindakan ‘wartawan rakyat’ yang gagal mematuhi etika, kita melihat ada maklumat dan gambar yang tidak sepatutnya disebar atau memerlukan suntingan kendiri, tidak dilakukan.

Begitu juga hantaran berkaitan kritikan kepada dasar kerajaan yang separuh benar atau tidak benar sama sekali yang dihantar tanpa disertakan sumber sahih. Ada juga hantaran itu berbaur sentimen agama dan kaum yang mengundang pula komen yang kadang-kadang ‘menakutkan’.

Jika wartawan yang bertugas di media arus perdana mendapat latihan asas mengenai kaedah mengumpul dan menyiarkan berita dan maklumat, di manakah pula wartawan rakyat ini boleh mendapat ‘pendidikan’ mereka?

Dalam hal ini, perkara paling asas dalam komunikasi alam maya ialah ‘jangan buat perkara yang kita tidak suka orang lain buat kepada kita.’

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.