https://critoxium.com/shop/

Terkini

Rakyat semakin terima aspirasi Malaysia Baharu

SETAHUN berlalu, membujur lalu melintang patah. Tanggal 10 Mei 2018, rakyat Malaysia menyaksikan satu detik bersejarah apabila parti Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti mudah bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan baharu.

Di saat kemenangan ini, masih ada segelintir yang risau dan takut dengan apa yang akan berlaku kemudian.

Ini kali pertama selama 61 tahun, sebuah parti lain mengambil alih kerajaan. Apakah yang akan berlaku selepas ini, yang dikatakan sebagai satu era baharu?

Dalam diam, sudah hampir setahun pertukaran kerajaan ini berlaku, bukan sesuatu yang dimimpikan oleh seluruh warga negara, namun ia sudah terjadi dan bukan lagi satu igauan.

Tampuk pemerintahan kembali diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad yang sudah 15 tahun meninggalkan politik, kini kembali semula atas dasar negara perlu diselamatkan daripada bencana kleptokrasi.

Ironinya, itu semua setahun yang lalu, sedikit demi sedikit perubahan yang beliau impikan sudah nampak akan hasilnya.

Walaupun ramai mengatakan kerajaan campuran ini tidak akan bertahan walaupun setahun, dan ada yang meramalkan ia adalah kerajaan yang terpendek dalam sejarah Malaysia, namun hari ini sudah membuktikan sebaliknya.

Kerjasama antara parti politik di bawah kerajaan campuran ini amat mengagumkan walaupun mempunyai ideologi berlainan.

Lebih memberangsangkan ialah dengan wujudnya pengiktirafan daripada kuasa besar dunia terhadap kerajaan baharu ini, seolah-olah mereka amat menantikan perubahan besar berlaku dalam negara ini.

Ini terbukti dengan mencurahnya lawatan daripada pembesar luar negara sejurus sahaja kemenangan diperoleh kerajaan PH.

Kebebasan bersuara

Bagi pengiraan penulis, kejayaan terbesar dimiliki kerajaan PH sejak setahun lalu ialah mereka berjaya mengubah sikap dan pemikiran rakyat Malaysia. Rakyat tidak lagi terkongkong untuk hanya mengundi parti kerajaan yang memerintah.

Malah, mereka lebih berani untuk menyatakan bantahan jika kerajaan semasa membuat sebarang kesilapan.

Ini terbukti dalam dua pilihan raya kecil yang terakhir yang memperlihatkan rakyat memberi mandat kepada parti pembangkang walaupun tidak mengubah sebarang komposisi kerajaan.

Apatah lagi, jika dilihat pada perhimpunan mega yang berlangsung dalam masa setahun ini. Yang pasti jangan bermimpi ia boleh berlaku di zaman pemerintahan terdahulu.

Yang nyata, siapa juga bebas bersuara akan tetapi kebebasan ini juga diletakkan sempadan dengan menghalang penghinaan terhadap agama dan raja.

Kadang-kadang kebebasan ini disalahgunakan sehinggakan ada menghina agama yang menjadi teras kepada negara ini.

Malah, ramai mempertikai kerajaan seolah-olah lambat bertindak, namun kepada mereka yang mengikuti kes sebegini akan menyedari sejauh mana benarnya cakap-cakap sebegitu.

Malah, data lampau membuktikan ketika setahun ini ketegasan dan kepantasan melampaui rekod 15 tahun terdahulu.

Malah, kerajaan semasa mengklasifikasi semua isu berkaitan penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi beraja diambil-alih serta-merta oleh pasukan khas Bukit Aman untuk siasatan dan pendakwaan, pasukan dikenali sebagai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).

Ini merupakan tindakan pantas kerajaan semasa dalam menjaga kestabilan negara.

Bagi penulis ini menunjukkan hala tuju kerajaan semasa dalam mendaulatkan undang-undang serta satu langkah ke depan untuk rakyat boleh menyuarakan pendapat, dalam kerangka yang dibenarkan, membuktikan Malaysia Baharu di bawah pimpinan Dr Mahathir yang didukung rakyat, menjunjung prinsip demokrasi, hak bersuara tidak tersekat.

Janji utama PH

Pasti kita semua masih ingat, janji utama kerajaan PH pada PRU-14 ialah untuk menghapuskan semua penyelewengan yang berlaku pada zaman pemerintahan terdahulu.

Penulis pasti, ini antara sebab utama gerakan besar-besar peralihan undi kepada parti dalam PH.
Hakikatnya, janji ini sudah pun terlaksana dengan jayanya. Kerajaan telah dan sedang bertindak ke atas pihak yang melakukan jenayah besar yang hampir-hampir memusnahkan negara seperti skandal 1MDB dan penyelewengan dalam jabatan kerajaan, badan-badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Semua mereka yang terlibat sudah pun diadukan untuk siasatan, malah ada yang sudah dibawa ke muka pengadilan dan menunggu masa ditetapkan untuk dibicarakan dengan adil.

Pada masa sama janji utama kedua ialah untuk melakukan rombakan dan transformasi terhadap pentadbiran agar ketelusan boleh dilihat dan mengelakkan daripada berlakunya gejala ketirisan dan rasuah, sudah pun terlaksana.

Ia menerusi pembentukan jawatan kuasa dan badan kawal selia. Antaranya ialah reformasi institusi bagi memulih dan mengukuhkan sistem pentadbiran negara; antaranya:
Menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai pencegahan rasuah;
Melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019 -2023.
Memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan Perkhidmatan Awam.

Menubuhkan Pusat Governan, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC).
Pengisytiharan harta oleh anggota Kabinet dan Ahli Parlimen PH.

Tidak ada lagi pengeluaran surat sokongan untuk projek dan kontrak.

Memperkasakan Parlimen dengan menubuhkan enam jawatankuasa terpilih yang dianggotai pelbagai parti.

Memulakan langkah reformasi sistem pilihan raya termasuk cadangan merendahkan umur mengundi kepada 18 tahun dan undang-undang pembiayaan politik.

Pada masa sama, satu rang undang-undang sudah pun disiapkan untuk dibentangkan pada sidang parlimen akan datang untuk mengehadkan tempoh menjadi Perdana Menteri hanya untuk dua penggal sahaja. Ini adalah langkah proaktif supaya jawatan ini tidak disalah gunakan untuk kepentingan peribadi.

Menariknya, beberapa negeri di bawah Kerajaan PH telah berjaya menggubal peraturan mengehadkan tempoh menyandang jawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar dan diluluskan menjadi satu peraturan walaupun belum setahun masa memegang tampuk pemerintahan.

Malangnya, ramai lagi di antara kita yang tidak menyedari akan perubahan positif yang dilaksanakan kerajaan PH. Masalah utama dalam kerajaan PH sekarang ialah kelemahan sistem penyampaian mengakibatkan rakyat cepat termakan akan propaganda negatif yang menguasai media ketika ini.

Saya menyarankan agar semua penjawat ketika ini supaya berkomunikasi dengan lebih baik dan berkesan dengan semua peringkat dan golongan masyarakat supaya yang baik dipanjang-panjangkan yang buruk di sempadankan. Jangan cepat prejudis jika kita tidak tahu akan sesuatu kebenaran.

Bagi penulis buat warga Malay-sia, teringat saya akan kata-kata yang pernah diucapkan oleh
Saidina Ali bin Abu Thalib; “Janganlah kalian memusuhi apa yang tidak kalian ketahui. Kerana kebanyakan ilmu itu berada pada tempat yang tidak kamu ketahui.”

Penulis merupakan bekas Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir, UUM.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.