Israk ialah perjalanan pada waktu malam dari Masjidilharam, Mekah ke Masjidil Aqsa, Palestin. Mikraj pula adalah perjalanan dari Masjidil Aqsa menuju ke Sidratul Muntaha.

Peristiwa ini besar pengertiannya bagi umat Islam kerana Nabi Muhammad SAW sendiri dijemput oleh Allah untuk menerima kewajiban solat fardu.

Oleh Ini cukup berbeza dengan kewajiban amalan lain yang kebiasaannya hanya melalui perantaraan Malaikat Jibril.

Sehubungan itu, solat adalah satu kewajiban yang perlu diberi perhatian oleh umat Islam. Solat perlu dihayati dengan betul iaitu memahaminya dari sudut bahasa terlebih dahulu. Solat menurut bahasa adalah perhubungan.

Sebagai perbandingan, seorang juruterbang perlu sentiasa berhubung dengan menara kawalan dalam tempoh tertentu. Dalam hal ini, juruterbang wajib menghubungi menara kawalan untuk memberitahu keadaannya.

Jika juruterbang tidak menghubungi menara kawalan melebihi tempoh sepatutnya, ini bererti kapal terbang sudah sesat atau hilang dari radar.

Begitu juga dengan solat. Setiap umat Islam wajib menghubungi Allah sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam. Seandainya kita tidak menghubungi Allah dalam tempoh ditetapkan, bermakna kita telah termasuk dalam golongan orang yang sesat.

Dalam al-Quran terdapat dua surah yang membicarakan hal tersebut:
  • Surah al-Isra’ - surah ke 17. Mengandungi 111 ayat, 1,559 perkataan dan 6,480 huruf.
  • Surah al-Ma’arij - surah ke 70. Mengandungi 44 ayat, 217 perkataan dan 947 huruf.
Semoga pembaca ruangan ini dapat menjadikan al-Quran dan hadis sebagai panduan utama dalam apa jua bidang diceburi.