https://critoxium.com/shop/

Terkini

Beri masa kerajaan PH baik pulih Felda - Pengerusi ANAK

KUALA LUMPUR: Warga FELDA diharap memberikan kepercayaan penuh dan sedikit masa kepada kerajaan baharu dalam usaha untuk memulihkan semula agensi tersebut berikutan kecelaruan pengurusan dan hutang melebihi RM8 bilion.

Dengan usaha optimis yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH), Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Datuk Mazlan Aliman berkata beliau yakin kehidupan peneroka Felda akan kembali baik pada masa akan datang.

“Saya percaya bukan sahaja isu penyelewengan didedahkan tetapi apakah pelan pemulihan yang akan dilakukan (oleh kerajaan). Insya-Allah saya harap masyarakat Felda dapat bersabar dan berikan sedikit ruang dan masa kepada kerajaan baharu untuk kerajaan melakukan reformasi kepada kehidupan mereka.
“Saya optimis dengan pengumuman pada hari ini (pembentangan Kertas Putih), ia akan menjadi detik yang penuh bersejarah bagi kita melangkah pada satu era yang baru dan sama-sama kita dalam satu pasukan untuk bergerak ke depan dengan penambahbaikan,”katanya kepada Astro AWANI, hari ini.

Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membentangkan Kertas Putih Felda selepas sesi pertanyaan lisan persidangan Dewan Rakyat.

Kertas Putih dengan tajuk Ke Arah Kelestarian FELDA itu antara lain mengemukakan usaha kerajaan melaksanakan pelan pemulihan jangka pendek, sederhana dan panjang ke arah kelestarian Felda seperti yang dibentangkan dalam Kertas Perintah Bil 6 Tahun 2019.

Mengulas lanjut, Mazlan turut menyarankan agar kerajaan menyemak semula Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) (GSA) 1960 bagi memastikan sistem pewarisan dalam kalangan peneroka Felda menjamin generasi peneroka.


Katanya, ini penting agar pengiktirafan tidak hanya diberikan kepada peneroka asal sebaliknya kepada generasi kedua dan ketiga, yang dilihat kini memilih untuk meninggalkan kawasan tanah rancangan Felda.

“Saya dapati isunya adalah apabila mahu mereformasi nanti kita kena semak balik Akta GSA di mana di bawah akta ini sehingga hari ini tidak dilakukan pindaan menyebabkan status (generasi) yang ada di Felda ini yang mendapat pengiktirafan adalah peneroka asal.

“Jadi, maknaya dalam hal ini satu reformasi dan pindaan harus dibuat kemudian Felda itu sendiri harus dilihat semula supaya pengiktirafan kepada generasi kedua dan ketiga dilakukan segera,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.