https://critoxium.com/shop/

Terkini

Jangan tambah derita pemandu e-hailing

Oleh

APABILA perkhidmatan kongsi kereta atau e-hailing diperkenalkan di negara ini, ia menjadi trend. Bukan kepada pengguna semata-mata, tetapi kepada mereka yang terkena impak kemelesetan ekonomi.

Izinkan saya mengguna perkataan kemelesetan ekonomi sebagai tanda solidariti kepada pemandu sambilan e-hailing. Alasan saya jelas, mereka kini berjuang mencari pendapatan tambahan akibat kemuncupan pendapatan atau kehilangan pekerjaan tetap.

Semua ini berkaitan dengan masalah ekonomi yang bermula sejak 2015 dan kekal berlarutan hingga sekarang.

Realiti data Jabatan Buruh mengenai hampir 30,000 kehilangan pekerjaan pada 2018, tidak wajar diabaikan. Lonjakan jumlah pemandu e-hailing berkait rapat dengan fenomena kehilangan pekerjaan.
Total angka kehilangan pekerjaan sejak kemelesetan ekonomi melanda negara mulai 2014 mungkin mencecah 100,000 orang.

Selain isu hilang kerja, lambakan pemandu e-hailing paling ketara berpunca daripada suasana ekonomi yang memburuk.

Seorang jurujual kereta yang selama 31 tahun hidup dengan gaji pokok yang kecil tetapi sukses kerana komisen jualan kereta dan pinjaman bank kini terjejas teruk. Ini kerana merudumnya industri jualan kereta sejak 2015.

Sebagai tindakan bijak untuk menjana pendapatan akibat penguncupan sumber pendapatan, mereka memandu e-hailing.

“Saya lega kerana kali ini, ada e-hailing untuk dijadikan sandaran. Dulu masa 1998, ketika krisis matawang, saya terpaksa meminjam wang dan menjual tanah di Pokok Sena, Kedah untuk terus hidup,” kata Mohd Attan Ahmad, 56 tahun.

Sebagai jurujual yang sudah tiga dekad mencari rezeki dalam industri automobil, Mohd Attan kini lebih bersedia. Sejak 2016, ketika jualan kereta mulai terjejas teruk, dia memilih menambah rezeki dengan memandu e-hailing.

“Dulu purata pendapatan jurujual kereta boleh capai RM5 ribu sebulan. Itu gaji dan komisen menjual empat atau lima biji kereta sebulan,” katanya.

Namun sejak 2016, purata pendapatan sekitar RM3,500. Pengurangan RM1,500 menyebabkan Mohd Attan mengalami masalah dalam menyara empat anaknya yang belajar di universiti.

“Kebetulan anak sulung tidak mendapat pinjaman bagi tahun pertama jurusan perubatan di kolej swasta. Manakala, tiga lagi anak hanya menerima 75 peratus pinjaman PTPTN. Jadi, saya perlu menanggung baki 25% yuran semester,” katanya.

Justeru, Mohd Attan memandu e-hailing setiap Sabtu dan Ahad serta pada hari cuti umum.

“Saya boleh dapat RM1,200 pendapatan bersih dengan lapan hari bekerja dengan e-hailing. Itu pun kena pandu 10 ke 12 jam sehari pada setiap hujung minggu,” katanya.

Pendapatan itu berbaloi bagi mengekalkan keupayaannya sebagai bapa yang menyara empat anak yang tidak diberikan pinjaman penuh di universiti.

Teori domino ini perlu difahami. Bagi pemandu sambilan, majoritinya bergantung kepada e-hailing kerana isu impak ekonomi yang berjangkit.

Pertama, dalam kes Mohd Attan, keperlahanan ekonomi menyebabkan pendapatannya menurun.
Kedua, apabila PTPTN memperkenal dasar tiada pinjaman 100 peratus, ia menambah beban Mohd Attan untuk menyediakan 25 peratus baki yuran semester empat anaknya. Itu belum wang saku untuk anak-anak di universiti.

Apa relevan kisah Mohd Attan sekarang?

Mohd Attan adalah antara pemandu sambilan e-hailing yang kini jadi mangsa pelbagai caj dan fi yang akan diperkenalkan kerajaan mulai Julai ini.

Yuran lesen memandu PSV, pemeriksaan kesihatan, insurans, permit e-hailing dan kos pemeriksaan kenderaan di Puspakom. Semuanya sekitar RM1,000 dan mesti disediakan sekaligus atau lump sum
.
Angka pemandu e-hailing di seluruh megara kini sekitar 160 ribu orang. Ada laporan mengatakan 40% memandu sebagai kerja sambilan. Ada sumber lain memberikan data lebih ekstrem dengan mengatakan 80% bekerja sebagai pemandu sambilan.

Kos sekitar RM1,000 ini beban besar bagi pemandu sambilan. Pada masa sama, kerajaan tidak pula menegur operator e-hailing untuk menurunkan kadar komisen.

Pada masa ini, operator mengenakan 25% caj komisen. Kadar ini dianggap pemandu sebagai sangat tinggi.

“Caj servis sistem saja 25%. Sekarang datang pula caj dan fi tambahan kerajaan,” rungut pemandu yang saya gunakan servisnya.

Mubarakh Merican, memilih untuk memandu e-hailing selepas ditamatkan kontrak pekerjaan berikutan penggantungan status pembinaan MRT3.

“Saya sudah tujuh bulan memandu e-hailing sementara menunggu status baharu kedudukan kerja saya,” katanya.

Menurutnya, fi atau apa saja caj tambahan tidak sesuai dilaksanakan sekarang ketika ramai pemandu sambilan e-hailing ialah mangsa yang terjejas teruk akibat pelbagai masalah ekonomi.

“Memandu e-hailing kini pilihan kami. Tetapi apa yang boleh lakukan sekarang. Kami faham kerajaan baharu PH tidak boleh membuat magik membaiki ekonomi dalam tempoh setahun. Tetapi jangan tambah beban kami,” rungut Mubarakh dengan nada marah.

Selain memandu untuk survival kerana kehilangan kerja bergaji RM12,000 sebulan setelah status MRT3 dikaji semula, Mubarakh tertekan kerana isu insurans kesihatan anaknya.

“Saya memandu 14 ke 15 jam sehari dan tujuh hari seminggu. Hilang kerja mendadak dan anak menderita athma kronik menjadikan saya bapa dan suami yang menghabiskan hidup di atas jalan!”

Suara penderitaan pemandu e-hailing tidak sukar dikesan. Anda hanya perlu menggunakan servisnya. Derita mereka mengalir bersama perbualan sepanjang perjalanan.

Itu belum kisah-kisah terpencil. Pengalaman saya menaiki e-hailing dengan janda muda berusia 26 tahun. Bukan janda itu yang jadi tarikan. Saya sayu melihat bayi tujuh bulan yang dibaringkan di kerusi penumpang hadapan.

“Harap tuan tak mengadu pada operator. Saya terpaksa bawa bayi sebab tidak ada orang nak jaga. Saya baru tiga bulan diceraikan. Saya perlu wang untuk bela anak dan fi peguam untuk mulakan tuntutan saman nafkah,” rayunya.

E-hailing memang gaya hidup glamor. Tetapi kisah hidup pemandunya banyak yang boleh menitiskan air mata.

Saya menyokong dasar kerajaan untuk menaik taraf apa saja keperluan bagi industri ini. Tetapi dengar juga suara rakyat yang kini memandu e-hailing.

Mereka sedang menderita. Jadi, jangan tambah derita mereka sekarang!

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.