https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kerajaan perlu main peranan terap etika penggunaan media sosial - Pensyarah

KUALA LUMPUR: Kerajaan memainkan peranan penting dalam mendidik nilai murni dan etika menggunakan platform media sosial supaya bebas daripada unsur negatif.

Hal ini sangat penting bagi memupuk kesedaran orang ramai supaya menggunakan media sosial dengan sebaik mungkin serta menyekat penyebaran kandungan yang berunsur prejudis terhadap kaum, agama, jantina, seksual atau keganasan.

Pensyarah di Fakulti Media dan Komunikasi Taylor’s University, Prof Dr Ali Salman berkata, media sosial kini mempengaruhi sebahagian hidup rakyat, oleh itu penggunaan laman tersebut secara beretika adalah penting.

“Media sosial adalah sebahagian daripada hidup kita. Kita tidak boleh hidup tanpa media sosial. Oleh itu, kita perlu ambil serius tentang isu pendidikan seperti ini.

“Kita perlu mewar-warkan etika penggunaan media sosial ini di seluruh negara. Malah, kita boleh mendidik rakyat menerusi televisyen, radio dan surat khabar secara berterusan,” katanya.



Sebanyak 86 peratus menyifatkan kerajaan memainkan peranan penting dalam mendidik orang awam mengenai etika penggunaan laman sosial.
Jelasnya lagi, walaupun kerajaan pernah melakukan penyebaran maklumat berhubung etika penggunaan media sosial, ia masih tidak mencukupi.

Menerusi kaji selidik yang dilakukan syarikat kajian pasaran dalam talian Vase.ai dengan kerjasama Astro AWANI terhadap 1,080 responden, sebanyak 86 peratus menyifatkan kerajaan memainkan peranan penting dalam mendidik orang awam mengenai etika penggunaan laman sosial.

Malah, 61 peratus daripada responden berkenaan juga menyatakan bahawa pihak kerajaan kurang mendidik orang awam mengenai etika penggunaan laman sosial.


61 peratus daripada responden berkenaan juga menyatakan bahawa pihak kerajaan kurang mendidik orang awam mengenai etika penggunaan laman sosial.


Mengulas lanjut, Ali berkata undang-undang penting dalam mengawasi serta memberi hukuman kepada pesalah namun pendidikan juga penting bagi memberi peringatan kepada orang awam.

“Memang dalam masyarakat di mana-mana negara sekali pun, sudah ada undang-undang perlu untuk mengawasi, serta hukuman bagi mereka yang bersalah. Tetapi hukuman sahaja tidak cukup."

Pada masa sama, tegasnya, orang awam perlu sentiasa berwaspada dalam berkongsi sesuatu atau membuat sebarang kenyataan di media sosial agar ia tidak memudaratkan diri sendiri.

“Semua orang perlu tahu bahawa jika mereka berkongsi sesuatu atau membuat kenyataan yang sensitif, ia akan menghantui mereka semula.

“Ya, memang kita boleh padam muat naik itu, tetapi akan ada orang yang memuat turun atau cekupan skrin, jadi kita perlu berhati-hati,” ujarnya.


23 peratus responden mengaku pernah berkongsi dan menyebarkan kandungan berunsur prejudia terhadap kaum, agama, jantina, seksual atau keganasan.

Menurut dapatan hasil kajian, sebanyak 23 peratus responden mengaku pernah berkongsi dan menyebarkan kandungan berunsur prejudis terhadap kaum, agama, jantina, seksual atau keganasan.

Selain itu, Ali juga berpendapat, bukan kerajaan sahaja yang bertanggungjawab dalam mendidik etika penggunaan laman sosial.

Sebaliknya, ibu bapa, guru dan ketua-ketua agama juga berperanan memupuk nilai murni dalam menggunakan laman sosial dengan sebaik mungkin.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.