Kerjasama meyakinkan Pas-UMNO
Oleh
Kerjasama dua parti ini suatu gabungan disatukan
oleh pendirian keras, membentuk satu gelombang baharu nasionalisme
Melayu haluan kanan dengan kumpulan Islam ekstrem.
Pada
masa sama, kerjasama Pas-UMNO ini juga cenderung disifatkan seolah-olah
telah muktamad, dimeterai menjelang pilihan raya kecil di Semenyih dan
dianggap seperti satu pakatan baharu dalam senarai parti dan gabungan
politik di Malaysia.
Hakikatnya, kerjasama
Pas-UMNO kekal berada di haluan sederhana walaupun di dasari
konservatisme dan proses pembinaan dan pengukuhan kerjasama ini masih di
peringkat awal.
Paling utama dan asas,
kerjasama antara parti seperti ini ialah satu amalan biasa dalam
demokrasi, yang kekal dilaksanakan dalam pelbagai bentuk dan peringkat
oleh parti-parti politik sepanjang sejarah Malaysia.
KEGELISAHAN DAP?
Parti
yang paling menunjuk keresahan terhadap kerjasama Melayu, DAP,
menyifatkan kerjasama ini jika berkuasa akan jadi seperti Taliban di
Afghanistan yang melaksana dasar dan peraturan keras dan melampau.
Parti
sekutu kuat DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) terus memberi gambaran
negatif kerjasama Pas-UMNO, tetapi sekadar mencerminkan kerisauan DAP
dan kritikan parti ini sebahagian besarnya hanyalah ejekan dan tidak
menampakkan asas pendirian selain menyampai keresahan DAP dan keresahan
sendiri sebagai parti serpihan Pas.
Dalam kalangan komuniti liberal, sebarang hal berkaitan kerjasama politik Melayu sudah sedia ditanggapi dengan amat negatif.
Dalam
bahasa wacana liberal, sebarang kerjasama apatah lagi penyatuan lebih
tersusun dan formal dikait dengan kecenderungan perkauman yang menggugat
keharmonian.
Sejak kerjasama Pas-UMNO ini
menjadi lebih jelas, banyak pandangan diutarakan, seperti menyifat
kerjasama ini tindakan berundur ke belakang daripada kemajuan dalam
keharmonian kaum, malah disifat bertunjang ideologi haluan kanan
ekstrem.
Malah, tanpa kerjasama ini pun, Pas sudah sedia diberi gambaran sangat negatif oleh kelompok liberal.
Kerjasama
parti beridentiti agama dengan parti Melayu konservatif ini memudahkan
pihak liberal menerus dan meningkat kempen negatif.
Tafsiran
salah ini boleh difahami disengajakan untuk memberi gambaran paling
buruk pada kerjasama yang berpotensi mengubah landskap politik negara
ini.
Propaganda yang mudah menjurus kepada
kempen kebencian ini sebahagian persaingan wacana untuk memenangi
pendapat umum demi sokongan, dari dalam dan luar negara.
Ini
ditunjukkan dengan jelas oleh gambaran-gambaran yang mereka suarakan,
seperti kerjasama Pas-UMNO sebagai satu bentuk ‘kanser’ yang menggugat
perpaduan kaum dan konsep ketuanan yang diberi tafsiran supremacy malah
hegemony.
Dari sudut ideologi, kerjasama ini
sama ada sengaja atau tidak, disalahertikan sebagai satu keputusan
politik yang didorong kecenderungan berhaluan kanan jauh dan
nasionalisme etnik ekstrem, ataupun memberikan makna ekstrem pada
konservatisme yang mendasari kedua parti.
Walaupun
tidak ada tanda jelas bahawa kerjasama Pas-UMNO satu perkembangan ke
arah nasionalisme Melayu berhaluan kanan, perhatian pengkritik secara
simplistik sentiasa memberi tumpuan pada pelabelan yang salah ini.
NASIONALISME MELAYU
Kaitan
dan perbandingan dengan Taliban amat jauh dan sebenarnya mendedahkan
kemalasan dan kelemahan pemahaman ideologi pihak yang menuduh, selain
mendedahkan Islamofobia yang menjangkiti mereka.
Apabila
diperhati dengan cermat, kerjasama Pas dengan UMNO sememangnya perlu
diakui satu tindak balas segera kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14
(PRU-14) yang telah meletak parti bukan Melayu dan wakil rakyat bukan
Melayu menguasai pentadbiran negara di peringkat persekutuan dan negeri.
Dalam
tempoh terdekat selepas tumbangnya Barisan Nasional (BN) pimpinan UMNO
dan kemaraan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dikuasai DAP, boleh
dijangkakan retorik bangsa dan agama disuarakan dengan agak keras,.
Ini
memandangkan tindakan dan kenyataan ramai dalam PH yang menampakkan
sikap tidak mesra dengan Islam dan segala hal berkaitan Melayu.
Kerjasama
dua parti ini bagaimanapun masih awal untuk diberikan kesimpulan yang
berupa ancaman kepada keharmonian politik negara, lebih-lebih lagi
dengan kepelbagaian dalaman kedua-dua parti ini.
Satu
pihak mewakili banyak kepentingan Melayu pelbagai dan satu lagi
mewakili kumpulan Islam yang tidak boleh dengan mudah disifatkan
seragam.
Malah, dua parti bukan Melayu sekutu UMNO, MCA dan MIC akhirnya mengambil keputusan untuk kekal dalam BN yang ditunjangi UMNO.
Ini
menunjukkan kemungkinan sikap berhati-hati dua parti itu supaya tidak
terkecuali daripada sebarang prospek aturan perkongsian kuasa pada masa
depan sekiranya Pas dan UMNO berjaya dalam pilihan raya, sambil pada
masa sama menyelamatkan kerjasama ini daripada menjadi eksklusif
melibatkan Melayu sahaja.
Kerjasama Pas
sebuah parti bertunjangkan agama dengan UMNO yang etnonasionalis
sebenarnya mendorong kedua-dua parti melakukan kompromi melibatkan
pendirian masing-masing dan pada masa sama membuka ruang kerjasama lain.
Pas
misalnya turut menerima kerjasama dengan rakan UMNO dalam BN iaitu MCA
dan MIC, membuktikan aliran pertengahan masih berperanan dalam mencorak
kerjasama dua parti Melayu.
BERHALUAN SEDERHANA
Pada
masa sama, Pas kekal meneruskan barisan Gagasan Sejahtera yang
diwujudkan menjelang PRU-14 lalu yang anggota komponennya juga pelbagai
dari segi ideologi walaupun Pas ialah parti yang dominan dalam pakatan
ini.
Kerjasama antara dua parti daripada dua
gabungan berbeza ini memerlukan lebih banyak perincian untuk
dikendalikan, kerana selain perbezaan dan pertindihan kepentingan antara
Pas dengan UMNO, perbezaan juga wujud dalam kalangan parti-parti
komponen kedua-dua gabungan.
Sepanjang
kerjasama Pas dan UMNO dalam beberapa pilihan raya kecil, termasuk yang
terbaharu di Semenyih, UMNO memasuki pilihan raya sebagai BN, pakatan
yang boleh disifatkan sebagai yang paling berhaluan sederhana dalam
politik negara ini.
Bentuk kerjasama inilah
telah kelihatan dengan jelas ialah kerjasama melibatkan pembahagian
kerusi dalam pilihan raya, dengan fokus pada kawasan-kawasan majoriti
Melayu yang Pas dan UMNO mempunyai kelebihan.
Ini
satu ruang kerjasama segera sebagai respons kepada pembahagian kuasa
tidak seimbang ekoran pilihan raya umum lalu. Kerjasama dalam
pembahagian kerusi ini boleh dikatakan kerjasama pada tahap minimum yang
boleh dilaksanakan tanpa kerjasama atau pakatan lebih formal.
Selain
itu, kedua-dua parti juga bersetuju bekerjasama dalam hal disepakati
berkaitan kedudukan agama Islam dan Melayu seperti disebut dalam
perlembagaan.
Walau bagaimanapun ia tidak
boleh dianggap sesuatu yang disepakati secara keseluruhannya kerana
perbezaan dua parti Melayu itu dalam tafsiran tertentu.
Maka
boleh dikatakan kerjasama pada tahap ini ialah kerjasama dalam bentuk
pilihan raya, yang telah ditunjukkan sejak selepas PRU-14 hingga ke
Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau tidak lama lagi.
Di
negeri-negeri, masih tidak wujud kerjasama dalam bentuk lebih rapat
antara kedua parti dan kekal bersendirian dalam mentadbir negeri
dimenangi.
Bentuk kerjasama pada PRU-15 masih
agak jauh, kerana ini akan menuntut lebih daripada kerjasama sedia ada
dan kerjasama lebih rapat dan kohesif pada masa itu nanti akan
ditentukan sejauh mana cabaran semasa - terutama berkait kepentingan
yang bertindan melibatkan kedua-dua parti dapat ditangani dengan
berkesan.
Sekiranya cabaran ini semua dapat
ditangani dan diuruskan dengan baik, kerjasama Pas-UMNO ini nanti, apa
pun bentuknya, mempunyai potensi untuk dilihat sebagai satu kerjasama
politik yang paling meyakinkan.
PENULIS ialah penganalisis isu politik tanah air dan global serta bekas editor kanan Harakah
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.