https://critoxium.com/shop/

Terkini

Melahirkan gerakan seni-budaya Malaysia baru

Oleh DINSMAN

Sempena suatu pertemuan kecil seniman-budayawan-cendekiawan Malaysia di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar pada Jumaat 26 April, bagi membincangkan prestasi Deklarasi Kuala Kangsar (DKK) sempena mengingati dua tahun pengisytiharannya di situ pada 9 April 2017, sambil melakar masa depan gerakannya, saya membuat catatan ini.

Ada orang mungkin belum tahu apa itu Deklarasi Kuala Kangsar (DKK) walaupun kita sedang menyambut dua tahun pengisytiharannya. Okey, DKK ialah suatu pernyataan mengenai seni-budaya di negara ini seperti yang difahami dan dikehendaki oleh sekumpulan seniman-budayawan-cendekiawan yang bertemu di USAS dua tahun lalu, pada 7-9 April 2017.

Kemudian pernyataan itu dibincang dan diperhalusi lagi dalam suatu seminar khas yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur; yang menerima kesemua pernyataan tersebut dengan sedikit penambahbaikan, dan hasilnya adalah seperti berikut:

1. Pertemuan Seni @USAS 2017 bersetuju bahawa para seniman dan budayawan Malaysia hendaklah menghidupkan semula peranan memajukan masyarakat dan menentukan wujudnya keharmonian dan keseimbangan antara aktiviti kemasyarakatan, berpolitik dan berseni-budaya; iaitu keseimbangan Tekad Budaya dengan Tekad Politik. Keharmonian dan keseimbangan ini penting demi melahirkan kehidupan masyarakat yang maju, progresif dan sejahtera.

2. Pertemuan Seni @USAS 2017 berpendirian bahawa seni-budaya adalah pancaran falsafah, pemikiran dan tamadun bangsa yang melampaui kedudukannya sebagai hiburan semata-mata.

3. Pertemuan Seni @USAS 2017 juga menegaskan bahawa seni-budaya mempunyai haknya dalam dana dan sumber ekonomi negara yang mesti dibelanjakan untuk aktiviti seni-budaya; bukan sekadar tarian dan muzik sahaja, tetapi lebih kepada teater atau seni persembahan, wacana ilmu dan penulisan serta seni visual: melalui kerajaan persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan di seluruh negara.

4. Pertemuan Seni @USAS 2017 berpendirian bahawa pihak kerajaan wajib mengaturkan peruntukan kepada seni-budaya (yakni landskap minda dan jiwa) tidak kurang daripada peruntukan yang diberi kepada landskap fizikal tanah dan pokok.

Itulah empat perkara yang terkandung dalam teks DKK yang dimaksudkan. Selama dua tahun ia diwujudkan dan disebarkan dalam pelbagai program di seluruh negara, namun ia belum pernah dikemukakan secara rasmi kepada mana-mana pihak kerajaan, dengan tujuan menuntut pihak kerajaan supaya melaksanakannya.

Kalau ada pun hanya dengan pihak Majlis Perbandaran Kuala Kangsar sahaja.

Seperti dapat dilihat dan difahami dalam teksnya itu, penglibatan pihak kerajaan adalah penting dan diperlukan bagi melaksanakan dan merealisasikan dasar dan kehendak deklarasi itu. Tetapi mengapakah selama dua tahun kewujudannya perkara tersebut tidak dilakukan?

Jawapan saya ialah pertama, kita tidak mahu dilihat seperti kebanyakan hasil pertemuan dan seminar yang berakhir dengan segumpal resolusi yang dikemukakan kepada pihak kerajaan dan mengharapkan kerajaan melaksanakannya. Dan habis di situ. Kita berbeza, kerana kita tidak pernah habis di situ.

Seperti jelas disebut pada perkara satu: Pertemuan Seni @USAS 2017 bersetuju bahawa para seniman dan budayawan Malaysia hendaklah menghidupkan semula peranan memajukan masyarakat dan menentukan wujudnya keharmonian dan keseimbangan antara aktiviti kemasyarakatan, berpolitik dan berseni-budaya…

Itulah yang pertama dan paling penting dalam DKK para seniman dan budayawan itu sendiri mestilah aktif berperanan. Walau apa pun dan walau bagaimana pun tanggapan, peneriman dan layanan pihak kerajaan terhadap seni-budaya baik atau buruk, positif atau negatif, terima atau tolak, suka atau tak suka seniman tetap seniman dan budayawan tetap budayawan; sama sahaja menjalankan peranan mereka, semampu mereka.

Itu yang pertama dan utama tanggungjawab individu terhadap panggilan dalamannya. Tanpa menunaikan tanggungjawab ini maka tiadalah yang lain-lain itu semuanya. Dan apabila panggilan dan tuntutan dalaman diri ini sudah ditunaikan, barulah kita persoalkan hak seni-budaya pada kerajaan dan hak kerajaan pada seni-budaya.

PAKSI agak kurang aktif membawa DKK kepada pihak kerajaan selama ini bukanlah tanpa sebab. Kita membuat beberapa percubaan tetapi hasilnya memang agak mengecewakan. Makanya kita mengambil sikap berhati-hati dan menunggu. Kebetulan pula terdapat pergolakan dalam politik yang memungkinkan berlaku perubahan.

Memang betul, seperti semua telah maklum, memang telah berlaku perubahan besar dalam politik dan pentadbiran negara ini dalam tempoh dua tahun yang lalu. Pada 9 Mei 2018 teraju pemerintahan negara telah berubah, kerajaan telah berubah, menteri-menteri telah berubah, sebahagian pimpinan institusi-institusi penting negara juga telah berubah.

Tetapi ada banyak juga lagi yang belum berubah. Namun samada yang telah berubah dan yang belum berubah kedua-duanya tetap masih bermasalah.

Beberapa minggu dalam tempoh awal pertukaran kerajaan, PAKSI begitu optimis dengan menteri-menteri baru yang kebanyakannya adalah kawan-kawan dan kenalan-kenalan kita yang pernah sama-sama mengalami musim Reformasi dengan pelbagai kenangan perlawanan dengan pihak berkuasa yang zalim ketika itu.

Beberapa pertemuan pun berlangsung. Semuanya dalam suasana mesra, terbuka dan penuh harapan dan janji. Namun suasana mesra-terbuka-penuh harapan itu tidaklah lama. Sekejap sahaja. Suasana bertukar semula kepada yang asal, seperti yang sebelum 9 Mei 2018. Seni-budaya tetap berada di pinggiran dan tidak dipedulikan, selain hanya dijanjikan apabila kita membuat pertemuan dengan mereka.

Kini hampir setahunlah sudah kawan-kawan seperjuangan kita itu berada di kerusi-kerusi penting pihak berkuasa dalam kerajaan baru. Faktor ini pun, di samping yang lain-lain lagi, tentulah akan ditimbuulkan dalam perbincangan mengenai DKK dan Tekad Budaya pada 26 April ini, di Kuala Kangsar.

Di samping itu saya juga telah mengadakan beberapa perbincangan dengan Tan Sri Nordin Kardi, Naib Canselor USAS, untuk meningkatkan lagi penglibatan USAS dalam aktiviti seni-budaya, dan cuba memberi sentuhan akademik kepada beberapa aktiviti seni-budaya yang sering dijalankan oleh pihak-pihak awam di negara ini.

Semoga perbincangan 26 April ini akan memberi tenaga baru kepada gerakan seni-budaya Malaysia baru!

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.