https://critoxium.com/shop/

Terkini

Melaka tidak naikkan tarif air domestik tahun ini

Melaka tidak akan menaikkan kadar tarif air domestik di negeri itu tahun ini atau dalam masa terdekat kerana ia telah dinaikkan tiga tahun lepas, kata Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Beliau berkata perkara itu telah diputuskan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka (MMKNM) dan makluman tentang keputusan itu telah diserahkan kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli baru-baru ini.

Beliau berkata kadar tarif air domestik sedia ada iaitu 60 sen untuk 20 meter padu sudah memadai dan ia dilihat agak tinggi berbanding kadar negeri lain.

“Kita tidak termasuk dalam enam negeri yang telah menyatakan keputusan mereka kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli untuk menaikkan kadar tarif air di negeri mereka.
“Kita mengambil keputusan itu setelah melihat beberapa aspek termasuk ia baru dinaikkan tiga tahun lepas selain tidak mahu membebankan rakyat,” katanya pada sidang media Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka hari ini.

Semalam Bernama melaporkan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar mengumumkan enam negeri bersetuju menaikkan kadar tarif air, selaras dengan usaha kerajaan menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini, namun tidak menyatakan enam negeri tersebut.

Pada 28 Mac lepas, Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dilaporkan sebagai berkata tarif air sektor industri Melaka kekal pada kadar RM2 untuk 0 hingga 50 meter padu; antara 50 hingga 100 meter padu (RM2.05) dan RM2.15 untuk kadar penggunaan melebihi 100 meter padu.

Sementara itu, Adly berkata kerajaan negeri bercadang menjadikan dua kawasan tumpuan pelancongan iaitu Stadthuys dan Jonker Walk sebagai zon bebas kenderaan tahun ini.

Beliau berkata sebuah jawatankuasa khas yang diketuai Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Tey Kok Kiew bagi pencapai kata putus dan persetujuan penduduk khususnya di kawasan Jonker Walk terhadap pelaksanaan itu.

“Sekiranya ia dipersetujui, usaha ini akan dilaksanakan selama sebulan sebagai tempoh percubaan dan ia akan menjadi pilot projek pelaksanaan zon bebas kenderaan di negeri itu untuk diperluaskan ke kawasan lain,” katanya.

Katanya penutupan kawasan berkenaan untuk zon tersebut bertujuan menggalakkan penduduk menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan yang mampu menarik kedatangan pelancong.- BERNAMA

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.