https://critoxium.com/shop/

Terkini

'Penipuan besar’ berlaku dalam Felda, kata Jomo

KETIKA tumpuan seluruh dunia melekat kepada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), “penipuan besar” dalam Felda tidak mendapat perhatian sewajarnya, kata pakar ekonomi ternama Jomo Kwame Sundaram.

Bekas ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) itu berkata Felda yang dahulunya mewah dengan rizab, kini jadi agensi rugi besar kerana penipuan sehingga menyusahkan rakyat.

“Penipuan besar berlaku dalam Felda sehingga merugikan pembayar cukai,” kata Jomo.

“Ketika Tan Sri Alias (Muhammad Alias Raja Muhammad Alip) berundur daripada jawatan pengerusi Felda, beliau tinggalkan lebihan (rizab) antara RM8 bilion hingga RM9 bilion, sekarang defisit lebih daripada jumlah tersebut kerana kita masih belum ambil kira semua kerugian yang didakwa ketua pengarah berlaku.

“Ia besar, penipuan besar-besaran. Bagaimana anda boleh urus syarikat yang ada lebih RM8 bilion hingga (sekarang) defisit lebih RM8 bilion.

“Semuanya dilakukan dalam tempoh 17 hingga 18 tahun,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Laporan Status Padi dan Industri Beras Malaysia oleh Khazanah Research Institute hari ini.

Jomo berkata , walaupun saga 1MDB mendapat perhatian ramai, kes korupsi, penipuan dan salah tadbir di Malaysia yang lain juga perlu didedahkan.

“Masalahnya sekarang adalah semua orang beri tumpuan kepada 1MDB (tetapi) ada penipuan besar lain yang juga berlaku, (seperti) ECRL dan sebagainya….semua ini perlu dibongkar,” katanya kepada wartawan.

Kerajaan hari ini mengumumkan peruntukan RM6.23 bilion untuk menyelamatkan Felda yang kini sarat masalah kewangan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali hari ini membentangkan Kertas Putih Felda di Parlimen, mendedahkan antara lain pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak menggunakan dana RM2.7 bilion diperuntukkan kepada Felda untuk membiayai kempen pilihan raya.

Masalah Felda bermula ketika agensi itu cuba mempelbagaikan pelaburan untuk meraih lebih keuntungan apabila harga minyak sawit dunia meningkat dengan menubuhkan anak syarikat tiada kaitan dengan sektor perladangan.

Pada 2009, ketika Najib jadi perdana menteri, hutang agensi itu adalah RM1.5 bilion dan ia melonjak kepada RM8 bilion pada 2018.

Masalah Felda mula berlaku ketika Mohd Isa Samad menjadi pengerusinya, antara 2011 hingga 2017. Dia sudah didakwa kerana pecah amanah dan rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Kuching oleh anak syarikat Felda, Felda Investment Group (FIC).

Antara masalah utama Felda adalah penyenaraian awam Felda Global Holdings (FGVH) yang merupakan initial public offering (IPO) kedua terbesar di dunia pada 2012, di belakang Facebook. FGV kini hilang 60% nilai sahamnya.

Kontroversi juga berlaku dalam pembelian pegangan Eagle High Plantation, urusniaga yang dilakukan bersama taikun Indonesia Peter Sondakh yang merupakan sekutu rapat Najib.
Kerugian Felda dianggarkan RM1.7 bilion kerana urus niaga itu.

Felda juga tidak mampu membayar peneroka untuk tuaian hasil ladang mereka. Malah, peneroka Felda kini terbeban dengan pinjaman diberikan Felda untuk program penanaman semula

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.