Rantau menjadi tumpuan kerana penyandangnya adalah calon yang juga berprofil tinggi seperti di Port Dickson iaitu Pemangku Presiden dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) yang telah mengetuai kemenangan Barisan Nasional (BN) di Cameron Highlands dan Semenyih. 

Adakah pertembungan di Rantau merupakan antara bakal Perdana Menteri kelapan dari Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan BN? 

MB, BEKAS MB

Adakah Anwar melihat PRK ini akan menguji kekuatan beliau sendiri kerana kedudukannya sebagai Yang Berhormat (YB) Port Dickson sebagaimana Semenyih dirujuk kepada referendum Perdana Menteri oleh sesetengah pihak?

Dengan PKR menguasai kepimpinan negeri, ia juga menjadi pertembungan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan bekas menteri besar.

Bagi penulis, PRK tidak boleh dijadikan penanda aras kekuatan mana-mana pihak kerana ketara berbeza daripada pilihan raya umum sebagaimana dilihat di Ijok, Sungai Besar dan Teluk Intan sebelum ini.

Tok Mat kini tidak mempunyai imunasi Pejabat Menteri Besar sebagaimana jentera kerajaan negeri di bawah kepimpinan beliau. Maka tawaran beliau adalah pencapaian dan kejayaan di bawah pentadbirannya serta kedudukan Rembau di bawah wakil rakyat BN, YB Khairy Jamaluddin dan jentera UMNO berbanding calon PKR, Dr. S. Streram yang akan dibantu oleh jentera kerajaan negeri dan Pusat serta cabang. 

Streram diberikan peluang kedua atas inisiatif menang di mahkamah menyebabkan hak beliau sebagai calon jelas pada hari penamaan, Sabtu lalu.

Naratif isu-isu di PRK DUN Rantau akan sekali lagi melihat putaran isu agama, etnik, momentum kejayaan di Semenyih dan Cameron Highlands serta untuk memain peranan semak dan imbang di Negeri Sembilan di mana 20 kerusi oleh PH dan 16 oleh BN (termasuk Rantau). 

‘Janji lawan Tipu’ akan juga mewarnai PRK ini. Kenyataan YB Nurul Izzah Anwar yang menyuarakan pandangan secara terbuka ke atas kepimpinan Perdana Menteri juga akan memberi nilai tambah baharu ke atas isu di PRK ini.

MASALAH DALAMAN PKR

Bagi PH, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menolak calon; masalah dalaman PKR negeri apabila enam daripada lapan tidak menyokong menteri besar; masalah cabang apabila Ketua Cabang Rembau, Thangam menawarkan diri atau Ketua Wanita Cabang, Bathmavathi sebagai calon yang juga merupakan isteri beliau.

Ketika pengumuman dibuat, calon juga dilibatkan dengan soal kewangan sehingga Ahli Parlimen Segamat, R. Santhara Kumar (PKR) membuat laporan polis ke atas hutang calon kepada beliau.

Streram yang menetap di Klang, Selangor dikatakan pernah menjadi sukarelawan di Afghanistan dan Sudan.

Bersediakah juga UMNO dan BN untuk memastikan masalah dalaman seperti PKR boleh diminimumkan kerana sudah pasti ada yang tidak berpuas hati dengan ketegasan Tok Mat untuk mengetuai PRK ini dan mengenakan gencatan tertentu ke atas parti sendiri?

Sebagai bekas pemain bola, strategi 4-4-2 Tok Mat yang dipakai di dua PRK lain akan ditukar kepada 4-3-3 barangkali untuk bersifat lebih ofensif dan game Rantau memerlukan suntikan baharu apatah lagi akan berhadapan dengan 27%pengundi India dan 21% Cina. Tidak boleh ditolak bahawa king maker di sini adalah pengundi India.

SURVIVAL

PRK ini bakal melihat survivalitas beberapa perkara, antaranya:

i) Sentimen atau pencapaian akan menjadi perhitungan pengundi? Jika sentimen, Tok Mat akan berhadapan dengan persaingan sengit tetapi jika sumbangan diberikan keutamaan, ia akan kekal status quo. Isu utama seperti tanah, kebajikan masyarakat ladang, kuil dan pendidikan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) diselesaikan sewaktu pentadbiran beliau termasuk di Kampung Pasir dan Kampung Saga.

ii) Adakah ‘aura’ personaliti Tok Mat akan melepasi paras ‘simpati’ ke atas Streram? Tok Mat besar keperibadiannya manakala Streram merupakan individu yang membawa isu ini ke mahkamah dan menang.

iii) Strategi apakah yang ‘luar biasa’ bagi BN atau PH kerana BN perlu meneruskan momentum kemenangan manakala PH perlu memulihkan sokongan selepas dua kekalahan PRK berturut-turut?
iv) Adakah parti atau isu akan mendominasi lebih daripada calon? 

v) Jika calon PKR tewas, adakah impaknya ke atas menteri besar sekarang? Jika menang, barangkali akan terhakis desakan untuk beliau meletak jawatan.

vi) Jika calon PKR tewas, bagaimana kesannya ke atas bakal Perdana Menteri kelapan? Adakah ia membuka peluang kepada seteru politik beliau untuk menjadikan ia sebagai ‘bahan’ bagi menidakkan apa yang sudah dipersetujui? Jika menang, adakah ia membuka laluan baharu kepada PKR berbanding kekalahan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Semenyih? Ini adalah ujian pertama beliau sebagai presiden parti.

vii) Jika calon PKR tewas, bagaimanakah kesannya ke atas pola pengundian etnik Melayu berbanding etnik bukan Melayu?

viii) Jika calon BN tewas, impaknya kepada struktur dan fasa pemulihan dan pengukuhan yang sedang dilakukan kerana Tok Mat dikagumi dengan ketokohan beliau untuk mengemudi parti dari fasa kekalahan lepas. Jika menang, secara langsung memberi legitimasi moral dan keabsahan politik kepada kepimpinan beliau.

ix) Jika calon BN tewas, impaknya ke atas kerjasama UMNO-Pas kerana kerjasama politik kedua-duanya rancak berlaku atas kewibawaan Tok Mat bagi pihak UMNO dan BN.

x) Jika calon BN tewas, bagaimanakah kesannya ke atas pola pengundian etnik bukan Melayu berbanding etnik Melayu?

xi) Adakah garis etnik dan agama akan berterusan jika kemenangan berpihak sama ada kepada BN mahupun PKR?

xii) Adakah sabotaj dalaman akan ketara untuk PKR atau BN kerana masing-masing memerlukan kemenangan bukan sahaja untuk parti tetapi juga untuk survivalisme politik dan penyokong mereka?

PRK ketujuh ini bakal menyaksikan pertembungan yang meletakkan masing-masing dalam keadaan bergelut untuk setiap pengundi. Strategi akan diubah untuk memenuhi tuntutan politik angka walaupun tidak mengubah struktur pentadbiran Seremban mahupun Putrajaya.

Sekali lagi, peratusan keluar undi dan kumpulan etnik akan menjadi penentu kemenangan dan ramai pihak memerhati dan yakin kemampuan Tok Mat untuk mengekalkan status quo dalam berhadapan dengan persaingan daripada Streram.

Calon PKR ini bergandingan pula dengan tokoh-tokoh utama parti untuk menjadi giant killer kerana tahu PRK ini bukan sebarangan tetapi ‘PRK Segala PRK’ 2019.

PROFESOR DR. P. SIVAMURUGAN berkhidmat di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).