https://critoxium.com/shop/

Terkini

Biarlah Zahid terus bercuti

SEJAK akhir-akhir ini terdapat gerakan oleh penyokong Ahmad Zahid Hamidi untuk membawa beliau balik dari bercuti dan mengambil semula tugas sebagai Presiden Umno. Bunga-bunga ke arah itu juga telah dinyatakan oleh Zahid sendiri dalam rencana yang beliau keluarkan di akhbar Utusan Malaysia baru baru ini.

Tindakan Zahid dan penyokong rapat beliau bukanlah sesuatu yang baik untuk Umno bangkit dan bergerak ke hadapan.

Telah mula ada tuduhan kononnya Umno sekarang tiada hala tuju. Perlu diingat bahawa antara sebab berlaku desakan untuk Zahid bercuti adalah disebabkan oleh tiadanya hala tuju jelas semasa beliau menjadi presiden Umno sehingga berlaku kes lompat parti oleh sebahagian ahli parlimen dan ketua ketua bahagian.

Malah Umno juga dijangka akan terus lemah jika beliau tidak berhenti atau bercuti pada ketika itu.
Umno dilihat stabil dan mula mendapat kembali keyakinan masyarakat khususnya orang Melayu di bawah kepimpinan Mohamad Hasan yang dilihat lebih diyakini dan bersih pada mata masyarakat.

Memang belum semua penyokong Umno balik menyokong parti kerana masih ada golongan yang menganggap Umno belum benar benar berubah, masih mendukung pemimpin yang dituduh dengan pelbagai tuduhan salah guna kuasa dan rasuah.

Namun begitu bukan mudah juga untuk mewujudkan persepsi bahawa Umno sebenarnya sudah berubah kerana sikap acah-acah Zahid yang tidak memberi keuntungan kepada Umno.

Memang benar Zahid dipilih secara demokrasi tetapi apa yang berlaku selepas pemilihan tidak membolehkan beliau terus menjadi pemimpin Umno yang berkesan. Jika beliau dituduh dan didakwa sebelum pemilihan parti, belum tentu beliau boleh menang jawatan presiden.

Bukan kita tak sayang Zahid mahupun Najib sebagai orang yang banyak berjasa kepada Umno tetapi kita lebih sayangkan parti yang perlu memenangi hati rakyat untuk menang kembali pada masa akan datang.

Umno telah sedikit sebanyak berjaya menarik sokongan golongan B40 terutamanya masyarakat Melayu kerana merekalah golongan yang terkesan dengan masalah ekonomi seperti kejatuhan harga komoditi utama dan pengurangan subsidi serta bantuan kepada rakyat.

Janji tak tertunai juga membantu hilangnya sedikit keyakinan golongan ini dengan kerajaan Pakatan Harapan.

Namun begitu Umno juga perlu mengambil hati golongan pertengahan, profesional dan atasan yang bukan hanya melihat soal-soal tersebut tetapi mereka juga mahukan pemimpin Umno mempunyai persepsi positif pada mata mereka seperti latar belakang yang meyakinkan, sejarah kepimpinan yang tidak terlalu dilihat mengamalkan kronisme, tidak dilihat mengamalkan politik wang dan lain-lain.

Kepada mereka ini, Umno sepatutnya harus terus diberi nafas baru dan Zahid bukanlah orangnya.
Kita doakan Zahid mahupun Najib diberi peluang untuk mendapat keadilan yang sewajarnya diatas segala pertuduhan yang mereka hadapi.

Lepaskanlah Umno ini kepada pemimpin yang ada dan tak perlulah lagi beracah acah untuk kembali.
Jika selesai kes beliau dan beliau dibersihkan, tiada siapa yang boleh melarang beliau sekali lagi untuk menawarkan diri bertanding apa juga jawatan dalam parti.

Berhentilah acah mengacah kerana ia tidak baik untuk parti.

* Maulizan Bujang merupakan Ketua Umno Bahagian Tebrau.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.