https://critoxium.com/shop/

Terkini

Menjalang Agama Dan bangsa Demi Survival Politik

Politik secara ringannya boleh dianggap sebagai ruang untuk memperoleh kuasa, bagi melaksanakan sesuatu aspirasi yang dibawa oleh sebuah entiti kepada komuniti sasar. 

Namun politik bukan harus saja terlihat dari lensa kepartian semata, malah ianya melibatkan proses pengurusan dan pemerintahan.

Sudah tentu politik itu ada keterkaitan hubungan antara pemerintah dan rakyatnya. Segala unsur-unsur kepolitikan itu akan bersangkutan dengan polisi dan dasar yang memberi makna kepada rakyat dan negara.

Menurut Chancellor Bismark politik bukanlah ilmu tetapi seni. Seni ini adalah bagaimana sesebuah kerajaan itu mentadbir sejajar dengan isi bernegara negara tersebut.

Kini seni politik mula bertukar warna. Dari sesuatu yang harmoni ke arah yang sedikit menggugat. Kerencaman pandangan politik sudah tentu tak dapat untuk dielak bertambah lagi dalam dunia langit terbuka dan segalanya terletak dihujung jari.

Peranan politik khususnya yang membawa naratif agama dan bangsa bukan sesuatu yang asing bagi semua negara. Cuma mutakhir ini akibat ruang keterdesakan yang semakin menekan, pembawaan politik sebahagian dari sistem mula melakukan penjalangan terhadap agama dan bangsa.

Yang mereka laung dahulu hidup melayu, akhirnya yang melakukan aktiviti tidak bermoral seperti korupsi adalah dari kalangan mereka yang melaungkan kalimat bangsa itu sendiri. Mereka berselindung dibalik bayang sorakan bangsa walhal mereka sendiri menjarah harta milik bangsa mereka.

Penjalangan ini berterusan hingga mereka cuba melebarkan racun perkauman kerana kegusaran nikmat mereka dalam berpolitik itu semakin hari semakin terhakis. Matlamat mereka kini hanya cuba membakar semangat perkauman tanpa mengambil kira kesannya.

Agama yang dipolitikkan bukanlah sesuatu yang asing. Namun bagaimana ianya ditunggang itu adalah sesuatu yang perlu diperhatikan. Demi untuk membenarkan perlakuan kita yang terbukti salah lalu agama dijalangi dalam memenuhi syahwat politik sesetengah pihak.

Hingga sampai ke suatu kemuncak seperti kita ini yang mengatur agama ini sesuka hati kita. Pada orang lain nas agama itu sesuatu yang munafik, tetapi kepada jajaran politik kita seburuk mana pun, tetap ada dalil agama yang menyokongnya.

Lihat saja produk insan yang lahir dari rahim politik bangsa dan agama yang dinodai pengertian asalnya? Jawapannya akan muncul suara-suara mereka yang ekstrim dalam berpandangan. 

Tidak ikut pandangan aku tentang bangsa, kau bukan dari bangsaku. Dan jika kau tidak mengikut pandangan aku tentang agama, maka munafiklah kau, kafirlah jemaah kamu. Manifestinya nanti bukanlah mustahil untuk pertumpahan darah itu berlaku.

Oleh yang demikian apakah demi survival politik individu mahupun kelompok lalu kita menggadai apa yang diangkat oleh agama iaitu keadilan dan kedamaian. Itu juga matlamat kita dalam berpolitik.

Konklusinya budaya menjadikan agama dan bangsa dalam neraca politik sempit adalah suatu survival politik yang tidak bertanggungjawab. Bimbang cara politik seperti akan menjadikan negara ini bisa menjadi kacau-bilau demi mengisi matlamat peribadi pimpinan tertentu.

Kegagalan menggarap politik pendidikan yang bermatlamat melahirkan rakyat yang kritis dan mandiri, bagi penulis adalah suatu kegagalan yang besar jika hanya berpaksikan politik pergeseran dan sengketa demi keberlangsungan politik mereka yang tak layak dipilih sebagai pemerintah.

Muhammad Syafiq Azmi
Pengerusi NGO Aspirasi Rakyat Marhaen (ARM)
Mantan Ketua Pemuda Amanah Melaka

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.