https://critoxium.com/shop/

Terkini

Bimbang PAS ditendang lagi, perwakilan minta Umno bertaubat

KUANTAN, — “Taawun” atau tolong-menolong dalam perkara yang baik, antara PAS dan Umno menjadi fokus pada Muktamar Dewan Ulama PAS ke-58 apabila para perwakilan negeri menggesa kepimpinan parti itu berhati-hati dan berwaspada dengan kerjasama itu.

Pada muktamar yang berlangsung di Wisma Belia di sini, perwakilan Terengganu Jamaluddin Jusoh berpendapat PAS perlu memastikan Umno ikhlas dalam perjuangan dan bukannya mendampingi parti itu kerana terdesak.

“Kami tidak mahu, sekiranya kita mencapai kemenangan kelak, kami akan ditendang kembali seperti dahulu,” katanya ketika membahaskan ucaptama Ketua Dewan Ulama PAS.

Wakil Kelantan Ishak Hassan mahu kepimpinan mengambil iktibar terhadap apa yang telah dilakukan Barisan Nasional (BN) dan Umno di Kelantan termasuk tidak menyalurkan peruntukan serta royalti minyak.

“Kita mesti minta Umno bertaubat untuk tidak lagi menekan PAS seperti dahulu, ajak Umno pusing satu Malaysia dan kata dia (Umno) bertaubat,” katanya.

Perwakilan Pulau Pinang Mohd Zakaria Hamzah juga menyatakan PAS perlu berwaspada dalam taawun itu serta mengambil langkah mengetuai kerjasama itu supaya tidak diambil kesempatan oleh anggota Umno.

Terdahulu, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamed ketika berucap pada muktamar tahunan Dewan Ulama pada sebelah pagi menyentuh isu taawun parti itu bersama Umno.

Sementara itu, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh yang diumum Ketua Dewan Ulama PAS yang baharu selepas menang tanpa bertanding menggantikan Mahfodz, ketika menggulung perbahasan menyifatkan suara perwakilan yang meminta berwaspada dalam taawun itu adalah kerana sayangkan parti.

Sementara itu, Dewan Ulama PAS meluluskan sebulat suara usul antaranya untuk diwujudkan satu garis panduan terperinci berkaitan taawun bagi dijadikan rujukan seragam untuk dilaksanakan di semua peringkat parti.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Khairil Nizam Khiruddin diumum menang tanpa bertanding untuk mengetuai sayap itu bagi sesi 2019-2021.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat Dr Mohd Fuad Mohd Salleh mengumumkan Khairil Nizam menggantikan Muhammad Khalil Abdul Hadi yang tidak mempertahankan jawatan selepas mengetuainya sejak 2017. — Bernama

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.