https://critoxium.com/shop/

Terkini

Biro politik, Lembaga Disiplin PKR akan tentukan keahlian Haziq

SHAH ALAM: Status keahlian Haziq Abdullah Abdul Aziz, individu yang mengaku sebagai lelaki dalam video lucah yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, akan ditentukan Biro Politik dan Lembaga Disiplin PKR.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata parti perlu membuat keputusan berhubung isu itu, namun pada masa sama perlu memastikan keadilan kepada semua pihak.

“Itu (gantung keahlian) adalah keputusan Biro Politik dan Lembaga Disiplin PKR. Namun, bagi saya, parti sememangnya perlu membuat keputusan mengenainya, ada proses yang perlu dilakukan.

“Namun, pada masa sama kita kena hormati dan menjaga keadilan kepada semua pihak,” katanya selepas Majlis Perasmian Pusat Beli Belah Central i-City di sini, hari ini yang disempurnakan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Amirudin berkata, mesyuarat MPP PKR akan bermesyuarat bulan depan, namun tidak dapat mengesahkan sama ada usul membabitkan keahlian Haziq akan dibangkitkan.

“Jika parti merasakan perlu memanggil atau membuat keputusan segera, proses lain perlu dilalui terlebih dulu,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya gesaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Otai Reformasi supaya Azmin bercuti, beliau berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Cadangan supaya bercuti dikhuatiri hanya mahu mengganggu perjalanan pentadbiran Malaysia baharu,” katanya.

Semalam, BH melaporkan Haziq ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Haziq ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, ketika berada di terminal pelepasan antarabangsa untuk ke Manila, Filipina.

Haziq menjadi tumpuan selepas mendakwa dirinya adalah individu dalam klip video yang dikaitkan dengan Azmin.

Sebelum ini Haziq sudah digantung tugas sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.