https://critoxium.com/shop/

Terkini

Dari Reformasi ke TikTok: Perubahan Digital dan Krisis Demokrasi Global


Oleh Fathi Aris Omar

Dunia digital sudah jauh berubah, khasnya dalam tempoh 15 tahun mutakhir. Gerakan Reformasi yang muncul bersama zaman awal dunia digital memberi saingan kuat terhadap naratif kerajaan BN Sejak PRU 1999, sejak fikiran rakyat tidak dapat dikawal sepenuhnya oleh media konvensional prokerajaan, barisan pembangkang mula mengorak langkah demi langkah kecuali PRU 2004.

Namun PRU tersebut boleh dianggap "anomaly". Tun Dr Mahathir Mohamad letak jawatan, dibantu persempadanan semula, meningkatkan prestasi BN bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Selebihnya, teknologi internet berjaya hakis pengaruh media konvensional yang makin tidak berkesan kawal suara pembangkang yang terus serang skandal demi skandal sejak era Abdullah.

Walau BN juga guna teknologi digital untuk melawan naratif pembangkang, beban isu yang ditanggung itu terlalu besar. DS Najib Razak tidak dapat menahan arus itu pada PRU 2013 dan 2018.

Pada 2013, Dr Mahathir bersama Najib, tidak seperti serangannya pada Abdullah, termasuk melalui blog. Bukan sahaja blog peribadi tetapi blog penyokong. Tetapi 2018, beliau penentang utama.

Sekitar 2004 dan 2006, muncul media sosial seperti Facebook dan Twitter. Diam-diam mereka uji kaji melalui algoritma. Mula-mula mereka tidak jumpa asas tetapi kemudian, 2009 dan 2010, berjaya memerangkap psikologi pengguna media sosial.

Muncullah gejala psikologi, budaya, pendidikan, ekonomi dan politik yang kita tidak sangka-sangka. Sedang asyik bermain dengan media sosial, muncul malapetaka yang serius di serata dunia.

Bukan hanya Malaysia terkejut menyaksikan kebangkitan TikTok pada PRU 2022, disebut "gelombang hijau" PAS-PN, rupa-rupanya perubahan digital sudah jauh mencengkam warga dunia.

Tetapi kita tidak mampu berundur ke belakang lagi. Perubahan sudah terlalu besar. Kawalan sedang difikirkan sewaktu kesan negatif makin jelas dan membawa mudarat besar. Tetapi mampukah?

Saya tunjukkan sejumlah graf dan data (seperti di bawah 👇) kepada sekumpulan pemimpin parti kerajaan hujung minggu lalu. Maklumat ini saya kumpul sejak empat atau enam bulan lepas. Semuanya saya pernah tulis di sini.

Namun trend perubahan teknologi dan politik sering menjadi tumpuan sejak membaca Japan as Number One (Ezra Vogel, 1979), Previews and Premises (Alvin Toffler, 1983), The Cuckoo's Egg (Clifford Stoll, 1989), Powershift (Alvin Toffler, 1990), Being Digital (Nicholas Negroponte, 1995) atau Jihad vs MacWorld (Benjamin Barber, 1995) kira-kira 35 tahun dahulu.

Graf ini dengan jelas menunjukkan kesan perubahan luar biasa sekitar 2010 dan selepasnya apabila manusia terperangkap dalam hegemoni algoritma media sosial. Semua data dari sumber berwibawa, hasil kajian yang meluas. Apa yang berlaku sekitar 2010 (saya hurai ikut susunan grafik, graf dan imej) di bawah:

1. Ringkasan pembentangan: psikologi pengundi mudah terpengaruh dengan fitnah atau maklumat palsu (dis-informatuon) dan maklumat terseleweng (mis-information).

Cerita baik kerajaan akan tenggelam kerana algoritma (asas niags syarikat media sosial) lebih suka pecah-belah, tegang, bertekak dan bodohkan pengguna.

2. Graf yang menunjukkan pelbagai aplikasi media sosial muncul menjelang dan selepas 2010. Kebanyakannya naik dengan pantas dan mendadak, dikuasai oleh Facebok dan YouTube.

3. Tinjauan kesihatan emosi Gallup ini cuba hubungkan psikologi negatif dengan konflik dan keamanan. Mereka yang emosi kurang stabil mudah percaya maklumat palsu dan mudah dihasut untuk kegiatan yang menjurus pada konflik.

Satu kajian lain mendapati rusuhan, protes dan mogok meningkat lebih 200 peratus antara 2011 hingga 2019, sebelum wabak Covid-19 lagi.

4 dan 5. Dua graf ini menunjukkan peningkatan luar biasa protes di serata dunia menjelang dan selepas 2010. Teknologi internet dan media memudahkan komunikasi untuk menyusun gerakan demonstrasi.

6. Graf ini, daripada The Economist, sebahagian kajian tentang kemerosotan demokrasi di seluruh dunia. Lihat kemerosotan bermula pada 2010 dan terus merosot. Sebaliknya, kegagalan denokrasi ini, diganti oleh sentimen kaum, politik identiti dan idea pelampau sayap kanan (far right).

7. Rusuhan dan amukan anak muda Gen Z yang terbaharu di banyak negara, termasuk Indonesia dan Nepal, dalam tempoh yang singkat. Bukan demonstrasi biasa tetapi rusuhan yang menyerang anggota keselamatan, pemimpin dan kebakaran.

8 dan 9. Tetapi bukan hanya konflik politik berubah pantas. Kesakitan mental remaja dan anak muda turut meningkat. Gejala ini dikesan mulai 2010, sejajar dengan meluas kesan negatif media sosial. Data ini melibatkan remaja di Amerika Syarikat. Kumpulan pakar cadang hadkan umur remaja yang membuka akaun media sosial kepada 16 tahun ke atas. Pakar juga cadang kanak-kanak bawah 14 tahun tidak dibenar pegang telefon pintar.

10. Graf hilang kepercayaan rakyat pada pemimpin dan insitusi negara di Amerika Syarikat. Perhatikan kemerosotan ketara mulai 2010, sejak era Barack Obama lagi. Semuanya angkara media sosial 11. Tajuk esei tulisan profesor Jonathan Haidt yang hurai kenapa media sosial merosakkan diskusi politik dan kenapa perbincangan isu-isu semasa merosot hingga ketara kebodohannya!

Siapa Haidt ini? Beliau dan rakannya yang berkempen untul kawal remaja akses kepada media sosial. Lihat huraian saya pada graf 8 dan 9 tadi.

Dua graf ini datang daripada buku beliau (2024), The Anxious Generation: How the Great Rewiring of Childhood Is Causing an Epidemic of Mental Illness.

Idea ini sudah mula dilaksana di Australia hujung tahun lepas. Malaysia dan Singapura sedang pertimbang untuk perkenal dasar kawalan sama.

12. Buat pertama kali dalam sejarah pendidikan moden, sejak 200 tahun lalu, anak muda lebih lemah fikiran daripada generasi ibu bapa mereka.

Tidak pernah berlaku. Kali pertama dalam sejarah dunia. Anak lebih lemah fikiran (kognitif) berbanding ibu bapa mereka. Berzaman-zaman, anak selalunya lebih pandai daripada ibu bapa. Pakar sains kognitif ini memetik kajian kemerosotan di 80 buah negara. Apa sebabnya? Puncanya, mulai 2010, sekolah masukkan gajet, telefon dan aplikasi digital dalam pelajaran sekolah. Kajian ini dibentang kepada Kongres Amerika.

13. Graf kemerosotan dalam penilaian asas matematik, membaca dan sains di semua 38 negara maju/kaya OECD. Perhatikan kemerosotan mendadak prestasi murid mulai 2010. Graf ini diambil di laman web After Babel yang digerakkan oleh Haidt dan kumpulan penyelidiknya.

Kesimpulannya apa? Manusia di seluruh dunia, termasuk kita di Malaysia, sedang dihantuk tekanan syarikat media sosial yang merosakkan. Mereka mahu untung besar tetapi hidup manusia hancur!!

 














Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.