https://critoxium.com/shop/

Terkini

Era membazir sudah tamat...

Oleh Roslan Hamid

RAMADAN lalu ada kalanya saya berbuka puasa di masjid. Suatu petang, saya menyertai majis berkenaan yang turut disertai Adun Duyong, Melaka daripada kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN), Damian Yeo Shen LI daripada DAP.

Saya berkesempatan mewancara Damian. Saya mendapatkan pandangan beliau mengenai beberapa isu semasa. Antaranya polemik pendidikan termasuk isu matrikulasi dan pemimpin bukan Islam masuk masjid untuk menyampaikan bantuan.

Damian yang pada majlis berbuka puasa itu diadakan di pekarangan masjid (bukan dalam masjid) mengemukakan pandangannya...antara lain beliau berkata pendekatan politik sekarang oleh pihaknya adalah berdasarkan perkembangan, situasi dan keperluan semasa. Malah inilah yang menjadi pendekatan kerajaan HARAPAN, dakwanya.

Damian memberi contoh, di Melaka walaupun parti Amanah ada dua kerusi Dun, pemimpinnya Adly Zahari dipersetujui sebagai Ketua Menteri (malah sudah setahun berada di kedudukan itu) sedangkan DAP ada lapan (kerusi) manakala bakinya dipegang Bersatu dan PKR menjadikan HARAPAN ada 15 kerusi berbanding BN 14 kerusi dalam Dun Melaka.

Katanya, pihaknya tiada masalah dalam hal ini; "kita mengikut keperluan, kepentingan, kehendak serta situasi semasa." Mengenai isu pemimpin bukan Islam masuk masjid, beliau berkata itu pun berdasarkan kehendak serta permintaan semasa.

"Saya ke sini (majlis berbuka puasa) berada di luar masjid tetapi ada majlis di masjid lain AJK mempelawa saya masuk masjid...jadi saya mengikut kehendak AJK. Saya menjaga adab sebagai tetamu. Saya mengikut kehendak tuan rumah."

Mengenai tuduhan yang dihadapkan kepadanya, Damian dalam akuan Facebooknya sendiri mencatatkan: "Saya tidak merasmikan apa-apa majlis atau memberi apa-apa ucapan. Saya hanya memberi sumbangan raya dan kain pelekat kepada pegawai syarak termasuk penggali kubur, kerana merekalah yang terawal dan terakhir di kubur sekiranya ada kematian.

"Pemberian saya adalah ikhlas kerana jasa mereka yang tidak terhingga. Saya hanya dijemput oleh pihak masjid untuk memberi sumbangan tersebut. Yang merasmikan majlis khatam al-Quran adalah Speaker Dun."

Demikianlah pendirian Damian (berpolitik mengikut kepeluan, kepentingan dan kehendak semasa), dan sesetengah pemimpin HARAPAN khasnya daripada DAP sekarang ini, agak-agak penulis (LANH); jadi terpulanglah kepada orang awam termasuk pembaca untuk membuat penilaian...
Gelagat dan pendirian pemimpin politik adalah satu hal, apa yang penulis mahu memaklumkan kepada pembaca bahawa sekarang ini majlis berbuka puasa di bawah kerajaan HARAPAN tidaklah semewah dulu.

Pada zaman BN Umno memerintah dulu, majlis seperti ini disajikan jaudah hebat daripada pelbagai jenis kuih-muih, luak pauk dan pelbagai jenis minuman dan dalam kuantiti yang banyak pula yang kadang-kadang membawa pembaziran yang teruk...tetapi pada majlis terbaru yang penulis hadiri, disediakan ketupat, mi goreng dan sedikit kuih muih. Ya, makanan tidak beraneka jenis tetapi alhamdulilah cukup untuk semua...yang pentingnya tidak dilakukan pembaziran. Bagi minuman, air mineral sudah memadai...ya ini baik untuk kesihatan!

Seorang AJK masjid memberitahu penulis, peruntukan makanan berbuka puasa boleh dijimatkan - jika dulu dalam anggaran RM1,000 sekarang ini boleh 'dipotong' kepada RM600 - dapat dijimatkan RM400...yalah ini wang rakyat yang perlu digunakan secara maksimum untuk kegunaan umum bukan dibazirkan untuk 'perkara bukan-bukan'. Ini bukan 'duit mak bapak' yang boleh dibelanjakan dan dihaguskan sampai berbilion-bilion ringgit seperti dilakukan sesetengah pihak. Apa taknya ada kes, 'screw driver' berharga RM5, boleh buat tuntutan RM500!

Sekarang ini, ucapan pemimpin pun tak panjang-panjang. Misalnya, apabila diberi peluang berucap sebelum solat Hari Raya pun mereka tak 'membebel' banyak-banyak...baguslah tu jangan BAZIRKAN masa rakyat. Masa itu emas, rakyat ada banyak lagi perkara nak dibuat...kalau nak beri maklumat kepada rakyat pun, zaman sekarang ini maklumat sudah ada di hujung jari!

Pemimpin sekarang pun perlu kena tepati waktu janjinya. Kalau 'disuruh' datang atau merasmikan sesuatu majlis pukul 8.00 pagi; datanglah tepat pada waktunya atau lebih baik lagi 10-15 minit lebih awal. 'Be an early bird', kata orang putih!

Jangan dibiarkan rakyat menunggu dan terus menunggu macam buah tak gugur. Jangan DIBAZIRKAN waktu rakyat; masa itu emas kata peribahasa Melayu manakala Arab kata masa itu pedang, kalau awak tak potongnya, dia akan potong kepala kamu. Cuba bayangkan kalau seorang rakyat masanya 'dicuri' 30 minit, 1,000 rakyat sudah hilang 30,000 minit - itu sudah berapa hari, jam dan minit dah?

"Come on', pemimpin dan kerajaan HARAPAN, anda boleh tamatkan era pembaziran yang menjadi amalan rejim bobrok lama yang anda sendiri singkirkan pada Mei 2018!














Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.